Utama Telco Astro Astro hadapi cabaran permintaan, langganan menurun

Astro hadapi cabaran permintaan, langganan menurun

910
0

KUALA LUMPUR, 21 Jun 2020 – Penurunan dalam permintaan serta hasil langganan dan penangguhan acara sukan adalah cabaran yang akan menyulitkan Astro Malaysia Holdings Bhd (Astro) bagi mendapat lonjakan pada tahun akan datang.

RHB dalam satu nota penyelidikan menjelaskan, ia menurunkan unjuran pendapatan teras untuk tahun kewangan yang akan datang selepas menjangkakan penyusutan dalam hasil dari tahun ke tahun Astro.

“Kami mejangkakan pendapatan teras tahun kewangan 2021 terus jatuh sebanyak 11 peratus berikutan penundaan kandungan sukan (Olimpik dan Euro 2020). Kos purata wajaran kami dinaikkan kepada 9.8 peratus berbanding sembilan peratus sebelumnya bagi mengira masuk premium berisiko tinggi yang terkait dengan pandemik serta perubahan dalam tingkah laku pelanggan,” katanya.

Sementara itu, Public Investment Bank berkata, selepas Astro mencatatkan hasil yang lebih rendah dalam suku pertama, ia mengurangkan anggaran pendapatan tahun kewangan 2021 sehingga tahun kewangan 2023.

“Pandemik COVID-19 membawa impak yang tidak pernah berlaku, menghasilkan separuh pertama yang sangat lemah. Bagaimanapun, kami berpendapat, pendapatan mampu pulih secara beransur-ansur pada suku yang akan datang selepas ekonomi dibuka semula,” katanya.

Bank pelaburan itu juga mengunjurkan pendapatan separuh kedua Astro yang lebih tinggi disebabkan oleh tahap kemusiman.

“Kumpulan ini terus menjadi kegemaran kami memandangkan kemampuannya untuk memberi tindak balas yang pantas dalam menyesuaikan diri dengan normal baharu, pengoptimuman kos yang berterusan dan keupayaannya bagi merebut peluang dalam mewujudkan aliran pendapatan baharu melalui platform beli-belah, jalur lebar, kandungan ‘over the top’ (OTT) dan digital,” katanya.

Keuntungan bersih Astro susut kepada RM73.84 juta untuk suku pertama berakhir 30 April 2020, daripada RM76.20 juta yang dicatatkan sebelum ini.

Sumber berita diperoleh dari Bernama

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.