Utama Mobile iOS Apple tolak aplikasi penimbang digital yang guna 3D Touch iPhone 6s

Apple tolak aplikasi penimbang digital yang guna 3D Touch iPhone 6s

2799
0

Aplikasi penimbang digital yang dibina berdasarkan ukuran tekanan melalui teknologi paparan 3D Touch Apple iPhone 6s telah ditolak dari memasuki App Store sebagaimana yang dialami oleh pembangun aplikasi penimbang digital yang dikenali sebagai Gravity.

3D Touch merupakan fungsi terbaru yang diperkenalkan pada iPhone 6s untuk membolehkan pengguna melakukan tugasan tertentu berdasarkan kadar kekuatan tekanan yang dihasilkan pengguna terhadap paparan peranti terbabit. Sebagai contoh, pengguna boleh membuat pratonton emel dengan melakukan tekanan tahap sederhana dan jika ingin melihat emel secara keseluruhannya, pengguna boleh melakukan dengan tekanan yang lebih kuat.

Bagaimanapun, paparan dengan teknologi 3D Touch sebenarnya mampu melakukan lebih dari itu kerana ia boleh membezakan tahap-tahap tekanan dengan lebih terperinci. Disebabkan itu, sekumpulan pembangun aplikasi berhasrat membina aplikasi penimbang digital berdasarkan konsep tahap tekanan pada paparan iPhone 6s.

Sebagaimana yang dilaporkan, 3D Touch menukarkan tahap tekanan dengan ukuran nombor, dengan 0.00 sebagai ukuran paling minimum dan 1.00 yang ditandakan sebagai tekanan berkadar sederhana. Untuk itu, secara teorinya iPhone 6s boleh dijadikan sebagai alat penimbang digital.

Aplikasi Gravity yang dibina sebagai alat penimbang digital untuk iPhone 6s bagaimanapun masih lagi memerlukan alatan lain seperti sebatang sudu sebagai sokongan input kapasitatifnya. Malah, penggunaannya juga masih lagi terhad di mana had maksima jisim yang boleh ditimbangnya adalah sekitar 300 gram sahaja.

Pada mulanya, Apple telah menolak permohonan aplikasi Gravity atas alasan penerangannya yang mengelirukan pengguna. Ini kerana, terdapat pelbagai aplikasi penimbang palsu untuk suka-suka yang ditawarkan di App Store dan bukan aplikasi sebenar yang boleh digunakan seperti Gravity.

Pihak pembangun Gravity cuba memberikan penjelasan, permohonan tersebut masih ditolak. Mungkin, dalam kata lain Apple tidak mahu pihak pembangun aplikasi menggunakan teknologi 3D Touch sebagai alat penimbang. Lagipun, penggunaan iPhone 6s sebagai alat penimbang meningkatkan risiko berlakunya kerosakan fizikal terhadap peranti pintar berkenaan.

Sumber berita diperoleh dari Mac Rumours

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.