Utama Apple Pelan Apple untuk Kamera Periskop pada iPhone dilaporkan tergendala kerana Paten Samsung

Pelan Apple untuk Kamera Periskop pada iPhone dilaporkan tergendala kerana Paten Samsung

454
0
Kamera Periskop Samsung

Apple dilaporkan sejak tahun lepas sedang merancang untuk menyertakan kamera periskop pada model iPhone akan datang. Kini, laporan terkini dari The Elec menyatakan Apple mungkin berdepan dengan isu berkaitan dengan paten kamera periskop tersebut.

Menurut media berpangkalan di Korea Selatan berekaan, Apple dikatakan merancang menghasilkan kamera periskop dengan penggerak bebola. Mekanisme tersebut digunakan untuk menggerakkan lensa di dalam modul sesebuah kamera.

Bagaimanapun, inovasi teknologi ini telah dipatenkan oleh pengeluar telefon pintar saingannya, Samsung. Samsung telah memperkenalkan mekanisme pengimejan tersebut menerusi produk mercunya seperti Galaxy S21 Ultra.

Pengeluar iPhone tersebut dijangka akan memperoleh modul kamera periskop tersebut dari pembekal lamanya, LG InnoTek. Tetapi, pembekalnya ini mendapatkan penggerak bebola berkenaan dari Samsung Electro-Mechanics, menurut The Elec.

Langkah ini akan menyebabkan Apple perlu membayar lesen paten untuk menggunakan teknologi tersebut pada model iPhone keluaran akan datang.

The Elec juga menerangkan keadaan yang hampir serupa juga membelenggu Apple dalam mendapatkan modul OIS baharu dari pembekalnya, Jahwa Electronics.

Menurut laporan, pihak pembekal tidak mampu menyediakannya kerana teknologi tersebut dibangunkan secara bersama dengan Samsung dan anak syarikatnya Samsung Electro-Mechanics.

Halangan-halangan sebegini dikatakan telah menyebabkan Apple sedang berusaha mencari alternatif baharu. Ia mungkin sama ada menukar reka bentuk modul kamera periskop tersebut untuk mengelakkan dari menggunakan teknologi yang dipatenkan. Atau, mungkin perlu membayar lesen paten teknologi pengimejan tersebut kepada Samsung.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.