Teknologi komunikasi hari ini telah menyaksikan semakin banyak penyedia perkhidmatan telekomunikasi memperkenalkan piawaian eSIM dan tidak mustahil telefon pintar tanpa slot kad SIM fizikal hadir ke pasaran dalam masa terdekat ini.
Menurut laporan dari The Wall Street Journal, siri iPhone 14 yang akan datang mungkin hanya menawarkan versi eSIM sahaja di beberapa pasaran terpilih. Apple dijangka tidak akan memperkenalkan perubahan dari SIM fizikal kepada eSIM sepenuhnya pada peranti-peranti keluarannya. Kemungkinan Apple sekadar menguji sejauh mana penerimaan penggunanya terhadap telefon eSIM sahaja.
Apple sebelum ini dialporkan telah memaklumkan kepada beberapa penyedia rangkaian utama di Amerika Syarikat untuk bersedia dengan kedatangan model iPhone eSIM sahaja sekitar musim luruh ini.
Para pengeluar dapat memanfaatkan kelebihan ketiadaan slot kad SIM fizikal ini dengan mampu menempatkan lebih banyak komponen lain seperti storan, RAM dan juga ruangan bateri yang lebih besar kapasitinya. Selain itu, ciri keselamatannya juga dapat dipertingkatkan apabila penyedia telekomunikasi dapat menghantar kemaskini keselamatan secara serentak kepada jutaan penggunanya.