Utama Apple Apple Intelligence dijangka akan ditawarkan pada harga US$20 sebulan – Pakar Analisis

Apple Intelligence dijangka akan ditawarkan pada harga US$20 sebulan – Pakar Analisis

95
0

Ketika Samsung mengumumkan platform Galaxy AI bersama-sama siri telefon pintar Galaxy S24 keluarannya awal tahun ini, platform berkenaan akan ditawarkan secara percuma sehingga 2025. Bayaran bagi penggunaan platform tersebut dijangka akan dikenakan selepas dari tempoh tersebut.

Dalam pada masa yang sama, Apple Intelligence juga dijangka tidak akan ditawarkan secara percuma selama-lamanya. Walaupun tidak diketahui bilakah perkhidmatan baharu dari Apple tersebut akan mengenakan bayaran, pakar analisis telah mengeluarkan pandangan berapakah kos yang akan dikenakannya kelak.

CNBC memetik rakan Counterpoint Research, Neil Shah menyatakan Apple Intelligence dijangka berharga sekitar US$10 (~RM44) hingga US$20 (~RM89). Ia mungkin akan ditawarkan sebagai sebahagian daripada langganan Apple One.

Sebagai perbandingan, langganan Apple One di Malaysia berharga RM19.90. Anggaran harga yang dibuat oleh pakar analisis tersebut mengambil kira pelaburan terhadap kecerdasan buatan adalah tinggi dan Apple ingin memindahkan kos tersebut kepada penggunanya.

Laporan yang sama juga memetik Ketua Penyelidik CCS Insight Ben Wood yang menyatakan Apple merupakan sebahagian daripada segelintir pengeluar peranti yang berjaya menjana keuntungan dari khidmat nilai tambah yang ditawarkannya.

Beberapa ciri Apple Intelligence dijangka akan ditawarkan secara percuma dengan ciri-ciri tambahan yang lebih berkeupayaan akan dikenakan bayaran. Ia mungkin sama dengan kaedah yang digunakan oleh OpenAI terhadap model ChatGPT yang menawarkan harga premium untuk mendapatkan ciri-ciri tambahan.

Buat masa ini ketersediaan Apple Intelligence mengalami sedikit kelewatan yang pada asalnya dijadualkan akan diperkenalkan bersama-sama iOS 18, kini telah ditunda ke iOS 18.1. Kemungkinan besar Apple tidak akan mengenakan bayaran untuk ciri-ciri premium berkenaan, namun segalanya bergantung kepada pengumuman rasmi yang dikeluarkannya kelak.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.