Utama Apple Apple akan menamakan Ciri AI yang ditawarkannya sebagai ‘Apple Intelligence’

Apple akan menamakan Ciri AI yang ditawarkannya sebagai ‘Apple Intelligence’

306
0

Apple dikatakan sedang mengusahakan untuk menambah kecerdasan buatan (artificial intelligence, AI) ke dalam sistem operasinya. Terdahulu, terdapat laporan yang mengatakan Apple hampir-hampor bekerjasama dengan OpenAI untuk menjayakan hasrat tersebut.

Kini, muncul laporan terkini berkenaan perkembangan AI dari syarikat berpangkalan di Cupertino, California, Amerika Syarikat ini yang mengatakan akan menamakan penawaran AI daripadanya sebagai “Apple Intelligence.”

Laporan tersebut datangnya daripada penulis pojok khas mengenai Apple di Bloomberg, Mark Gurman. Berdasarkan sumber rapat dengan Apple, ciri AI tersebut akan hadir pada versi baharu sistem operasi iPhone, iPad dan Mac.

Menurut beliau, Apple akan menggabungkan penggunaan teknologi yang dihasilkannya sendiri dengan OpenAI untuk membawakan Apple Intelligence ke peranti-perantinya. Kerjasama dengan firma AI tersebut juga akan membawakan chatbot mirip ChatGPT ke dalam peranti-peranti Apple.

Berdasarkan perkembangan tersebut, dijangkakan Siri kelak mampu mengawal aplikasi-aplikasi dengan lebih langsung. Siri juga mungkin mampu membuat rumusan artikel, menyunting foto mengikut permintaan pengguna, atau memadamkan email. Selain itu, melalui penggunaan AI, pengguna kelak boleh merumuskan nota mesyuarat, mesej berteks, dan email.

Menurut Gurman lagi, Apple lebih cenderung mengintegrasikan teknologi AI tersebut dengan lebih banyak aplikasi bagi memberikan kemudahan kepada penggunanya. Apple juga dilihat kurang berminat untuk menggunakan AI untuk menjana imej dan video seperti kebanyakan syarikat teknologi masa kini.

Apple dilaporkan merancang untuk menawarkan AI secara pilihan yang mana penggunannya boleh memilih untuk menghidupkannya. Ia secara tidak langsung memberikan kelebihan kepada penggunanya yang mementingkan privasi pada peranti. Dijangkakan siri iPhone 15 Pro atau salah satu model iPhone yang akan diperkenalkan pada tahun ini akan ditawarkan dengan keupayaan “Apple Intelligence.”

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.