Utama Teknologi Samsung umumkan siri Monitor keluarannya bagi tahun 2024; Pra-tempahan kini dibuka dengan...

Samsung umumkan siri Monitor keluarannya bagi tahun 2024; Pra-tempahan kini dibuka dengan Harga dari RM1,138

254
0

Samsung telah mengumumkan siri monitor keluarannya bagi tahun 2024 dengan menampilkan siri Odyssey OLED, Smart Monitor, dan ViewFinity. Siri-siri baharu ini menjanjikan peningkatan pengalaman pengguna menerusi ciri-ciri inovatif dan teknologi terkini dari Samsung.

Misalnya untuk Odyssey OLED G8 yang merupakan monitor rata gaming OLED Samsung yang pertama bersaiz 32-inci. Ia menampilkan resolusi UHD 4K, kadar penyegaran semula 240Hz dan waktu respon pantas kelabu-ke-kelabu (grey-to-grey, GtG) 0.03ms.

Dalam pada masa yang sama, Odyssey OLED G6 27-inci pula menawarkan resolusi QHD, dengan kadar masa respon yang sama pantas dengan varian 32-inci, cuma lebih pantas pada kadar penyegaran semula skrin pada 360Hz. Kedua-dua model ini menggunakan pemprosesan NQ8 AI Gen3, jenis yang sama digunakan pada TV Samsung 8K 2024, membolehkan kandungan dinaikkan kualitinya menghampiri 4K.

Odyssey OLED G8 dan G6 juga menampilkan OLED Safeguard+ yang merupakan teknologi khusus Samsung. Ia bertujuan untuk mencegah kerosakan burn-in dengan menggunakan paip pemanasan bergetar dan sistem penyejukan dinamik bagi menguruskan haba dengan lebih cekap dan melindungi paparan.

Selain itu, monitor-monitor ini juga dilengkapkan dengan FreeSync Premium Pro bagi menstabilkan kualiti paparan dan kadar penyegaran semula skrin. Teknologi Samsung OLED Glare Free juga disediakan bagi mengekalkan kejituan warna dan mengurangkan pantulan untuk pengalaman tontonan yang lebih baik.

Dari segi rekaan, monitor Odyssey OLED direka dengan kerangka logam super nipis dan menyertakan Core Lighting+ untuk pencahayaan ambien yang menyegerakkan dengan aksi di atas skrin. Cagak untuk monitor-monitor berkenaan juga boleh dilaraskan ketinggiannya, serta boleh disengetkan dan dicondongkan bagi memberikan pengalaman penggunaan yang lebih ergonomik.

Samsung Smart Monitor (2024)

Seterusnya, siri Smart Monitor yang terdiri daripada model M8 (M80D), M7 (M70D) dan M5 (M50D), mengadunkan elemen hiburan dan produktiviti ke dalam pengalam berbilang peranti yang lebih selanjar (seamless).

Samsung Smart Monitor M8 4K UHD 32-inci dipertingkatkan dengan keupayaan AI, termasuk pembesaran skala secara AI untuk kualiti imej yang lebih baik. Active Voice Amplifier Pro pula mengoptimumkan dialog dengan menganalisa hingar latar belakangnya untuk memberikan lontaran suara yang lebih jelas. Model ini juga menyertakan 360 Audio Mode untuk bunyi yang lebih imersif dan SlimFit Camera terbina dalam untuk panggilan video yang lebih mudah melalui Samsung Dex.

Seterusnya, Smart Monitor M7 boleh didapati dalam pilihan saiz 32-inci dan 43-inci dengan resolusi 4K UHD. Manakala model M5 pula hadir dalam saiz 27-inci dan 32-inci dengan resolusi FHD. Satu lagi penambahan yang perlu diambil perhatian pada Smart Monitor ini adalah pada Workout Tracker. Ia boleh dipadankan dengan Galaxy Watch untuk memaparkan data kesihatan secara masa nyata pada skrin walau ketika sedang menonton kandungan penstriman seperti Netflix.

Samsung ViewFinity

Khusus untuk pengguna kreatif dan profesional, Samsung turut menawarkan siri ViewFinity yang dioptimasikan untuk kegunaan produktiviti dan kelestarian. ViewFinity S8 ditawarkan dalam pilihan model 27-inci dan 32-inci dengan resolusi 4K UHD, hab USB untuk ketersambungan dan cagak yang boleh dilaraskan ketinggiannya. Ia juga menyertakan suis KVM untuk pensuisan mudah antara dua input peranti dan port USB-C yang mampu mengecaskan peranti lain dengan kuasa sehingga 90W.

Manakala Samsung ViewFinity S7 pula boleh didapati dalam saiz 27-inci dan 32-inci dengan resolusi 4K UHD, dengan ViewFinity S6 pula menawarkan pilihan saiz 24-inci, 27-inci dan 32-inci dengan resolusi QHD dan kadar penyegaran semula 100Hz.

Monitor-monitor berkenaan menyokong HDR10, warna paparan 1 billion dan mengintegrasikan ciri Intelligent Eye Care dengan persijilan TÜV-Rheinland bagi mengurangkan keletihan mata untuk penggunaan jangka panjang. Kesemua monitor tersebut juga didatangkan dengan Easy Setup Stand yang membolehkan pemasangan dilakukan dengan pantas tanpa perlu menggunakan alatan seperti pemutar skru.

Harga Samsung Odyssey OLED, Smart Monitor dan ViewFinity di Malaysia

Pra-tempahan untuk model-model Samsung Odyssey OLED, Smart Monitor, dan ViewFinity baharu ini boleh dibuat menerusi laman web rasmi Samsung bermula dari 6 Jun sehingga 16 Jun 2024. Pembelian dalam tempoh tersebut juga berpeluang menerima harga istimewa bersempena promosi pengenalannya.

Odyssey OLED G8 dan G6 berharga masing-masing RM5,399 dan RM3,999 dengan Smart Monitor M8, M7 dan M5 pula berharga RM2,888, RM1,588 dan RM1,138 masing-masing. Untuk ViewFinity S7 32-inci dan 27-inci pula harganya adalah masing-masing RM1,499 dan RM1,249.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.