Google secara rasminya telah memperkenalkan kemaskini utama bagi sistem operasinya, Android 12. Pengumuman tersebut dibuat di dalam Persidangan Pembangun I/O 2021 awal hari ini.
Kemaskini beta Android 12 kini ditawarkan pada telefon pintar Google Pixel, merangkumi dari siri Pixel 3 hingga ke Pixel 5.
Bagi anda yang tidak memiliki peranti Pixel, beberapa model telefon pintar Android jenama lain turut ditawarkan dengan kemaskini beta ini. Antaranya, termasuklah:
- ASUS ZenFone 8
- Xiaomi Mi 11, Xiaomi Mi 11 Ultra, Mi 11i, and Mi 11 Pro
- OPPO Find X3 Pro
- iQOO 7 Legend
- Realme GT (model China sahaja)
- Techno Camon 17
- TCL 20 Pro 5G
- ZTE Axon 30 5G Ultra
Android 12 – ciri baharu, perubahan rekaan dan banyak lagi
Perubahan terbesar pada Android 12 lebih tertumpu pada pilihan privasi. Antaranya merangkumi papan pemuka privasi baharu, kebolehan menutup terus kamera dan mikrofon dengan sekali ketik, pengurusan kata laluan yang dinaik taraf dan sistem baharu yang memberi notifikasi apabila sesebuah aplikasi mengakses ke kandungan papan klip anda.
Selain penambahbaikan privasi, kemaskini Android 12 juga membawakan sejumlah besar rekaan baharu. Termasuklah pada tetapan pantas, set animasi baharu untuk paparan mengecas, membuka aplikasi dan juga ketikan.
Cara memuat turun dan memasang Android 12 beta
Kemaskini beta Android 12 kini boleh dimuat turun dan dipasangkan pada beberapa jenis peranti.
Bagaimanapun, anda diingatkan supaya bersedia dengan segala kemungkinan luar jangka memandangkan ianya adalah perisian diperingkat beta. Muat turun dan memasangnya adalah di bawah risiko anda sendiri. Anda dinasihatkan supaya membuat sandaran telefon pintar anda terlebih dahulu sebelum mula memasangnya.
Pengguna telefon pintar Google Pixel
Bagi anda yang memiliki telefon pintar Pixel, langkah pemasangannya adalah lebih mudah.
- Pergi ke halaman Android Beta Program dan daftar masuk ke akaun Google anda
- Ketik pada butang ‘opt-in’
- Setuju dengan terma dan syarat
- Tekan ‘Confirm and Enroll’
Selesai langkah-langkah di atas, buka Tetapan telefon pintar anda dan pergi ke System -> Advanced -> System update -> Check for update.
Jika anda tidak melihat sebarang kemaskini, anda mungkin perlu menyemaknya semula dalam tempoh beberapa minit lagi. Sebaik anda melihat kemaskini tersedia, anda boleh memuat turun dan memasangkannya seperti kemaskini biasa yang lain.
Pengguna telefon pintar selain dari Google Pixel
Untuk pengguna yang tidak mempunyai Google Pixel, anda boleh mencuba Android 12 beta jika anda menggunakan telefon pintar model-model lain seperti yang dinyatakan di atas.
Langkah-langkah pemasangannya boleh diikuti menerusi laman Android Developers.