Microsoft pada asalnya merancang untuk mewujudkan Windows 10 versi ringan yang dikenali sebagai Windows 10X. Ianya telah diumumkan ketika pelancaran peranti dwi-skrin pertama Microsoft, Surface Neo.

Tiada satu pun antara kedua-duanya dilancarkan pada tahun lepas dan kemudiannya telah dianjakkan ke tahun ini. Kini, sistem operasi versi ringan terbabit telah disahkan tidak akan diteruskan pembangunannya.

Maklumat ini telah disampaikan oleh Timbalan Presiden Bahagian Pengurusan Program, Perkhidmatan dan Penghantaran Windows, Encik John Cable menerusi Windows Blog.

Beliau menyatakan pihak syarikat telah memutuskan teknologi Windows 10X tidak perlu dihadkan pada segelintir kecil pelanggannya. Ia sepatutnya perlu diperluaskan dengan mengintegrasikan teknologinya ke bahagian-bahagian lain di dalam Windows.

Sebahagian teknologi ini sudah pun diterapkan ke dalam binaan pratonton Windows Insider. Antaranya ialah penaipan berasaskan suara yang dipertingkatkan, papan kekunci sesentuh baharu, dan juga teknologi penyimpanan aplikasi di dalam Microsoft Defender Application Guard.

Dari sudut positif, ciri-ciri yang biasa digunakan di dalam Windows 10 akan menjadi bertambah baik. Cumanya, berdasarkan perkembangan ini, nasib peranti Microsoft Surface Neo akan menjadi tanda tanya.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.