Selepas pelancaran Android 11 pada tahun lepas, dijangkakan Android 12 akan diumumkan pada tahun ini.
Salah satu fungsi sistem operasi mudah alih baharu yang akan diperkenalkan adalah akses ke ‘recycle bin’ untuk pengguna. Kod bagi fungsi berkenaan telah diketemukan oleh XDA menerusi binaan pembangun versi OS tersebut.
Android 11 telah mempunyai versi ‘recycle bin’ yang terbina dalam. Bagaimanapun, fungsi ini tidak boleh diakses sewenang-wenangnya seperti pada PC Windows.
Hanya sesetengah aplikasi sahaja yang boleh memulihkan sesetengah jenis fail dari ‘recycle bin’ berkenaan dan jika mempunyai kebenaran akses. Salah satu aplikasi tersebut adalah aplikasi Google Files.
Menerusi Android 12 kelak, akses ke ‘recycle bin’ ini akan diperluaskan ke seluruh sistem. Kemungkinan ianya akan diletakkan di bawah Settings > Storage. Menerusinya, pengguna hanya dibenarkan untuk mengosongkan ‘recycle bin’. Memulihkan kembali fail-fail secara individu masih lagi memerlukan aplikasi seperti Google Files.
Fungsi ini berguna bagi pengguna yang kerap memadam dan memulihkan kembali fail-fail seperti yang biasa dilakukan di PC.
Pun begitu, fungsi ini hanya diketemukan pada versi Android yang masih belum diterbitkan. Bergantung pada keadaan, terdapat kemungkinan yang ianya tidak akan disediakan di dalam versi muktamadnya nanti.