Pada CES 2017 yang lalu, AMD telah melancarkan cip pemprosesan Zen pertama untuk PC dan ia dinamakan sebagai Ryzen. Ia bakal disusuli pula dengan cip pemprosesan 32 teras untuk pelayan yang menggunakan nama kod Naples yang mana akan hadir pada bulan depan.
Setakat ini, Naples tidak mempunyai nama rasminya lagi. Namun begitu, harapan yang diletakkan padanya amat tinggi memandangkan kebanyakan pelayan-pelayan hari ini menggunakan pemprosesan Intel Xeon dan tentunya amat sukar untuk AMD mencabar.
Teras CPU Zen akan memberikan prestasi sama seperti yang ditawarkan pada Ryzen. AMD mendakwa terdapat peningkatan 40 peratus didalam arahan per-kitaran.
Kelebihan Naples terletak pada jumlah terasnya yang berjumlah 32. Lebih dari cip pemprosesan Intel Xeon yang memiliki 24 teras. Ia masih lagi jauh untuk mengatasi Intel Xeon Phi yang memiliki 72 teras. Tetapi, Xeon Phi tidak dapat digunakan pada soket pelayan arus perdana.
Menurut Forrest Norrod, Naib Presiden dan Pengurus Besar AMD menyatakan bahawa lebih banyak teras bermakna lebih banyak tugasan yang dapat dilakukan oleh pelayan berkenaan.
Hari ini, lebih banyak data yang berpindah ke awanan, menjadikan beban pada pelayan-pelayan di pusat data semakin bertambah. Lebih banyak teras memberikan lebih kuasa pemprosesan untuk membantu pelayan memberi maklum balas lebih pantas terhadap permohonan carian, pengecaman imej, serta memproses video yang dimuat naik.
AMD turut menggunakan teknologi lebar jalur memori yang baru untuk cip ini bagi meningkatkan prestasinya untuk menyaingi apa yang telah ditawarkan oleh Intel Xeon setakat ini.
Dulu, AMD pernah mengejutkan Intel dalam pasaran cip pemprosesan untuk pelayan sebelum jadi kucar-kacir sekejap. Pada tahun 2003 dulu, AMD hadir dengan cip pemprosesan pelayan 64-bit x86 yang dikenali sebagai Opteron. Ia telah mendahului Intel pada ketika itu sehinggalah kemudiannya AMD hadir dengan seni bina Bulldozer yang ditolak oleh kebanyakan pembuat pelayan kerana prestasinya yang kurang memuaskan.
Tentunya, sukar untuk syarikat-syarikat yang menggunakan pusat-pusat data beralih dari menggunakan Intel Xeon kepada AMD pada kadar segera. Ia akan memakan masa sekurang-kurangnya satu tahun untuk memastikan aplikasi-aplikasi dapat digunakan pada cip pemprosesan yang baru.
Sumber berita diperoleh dari Digital Trends













