Utama Komputer 6 Perisian Penting yang Perlu ada untuk PC Windows

6 Perisian Penting yang Perlu ada untuk PC Windows

2919
2

Menggunakan PC yang dioperasikan dengan sistem operasi Microsoft Windows dirasakan tidak lengkap jika tidak memasang perisian-perisian yang penting padanya. Perisian-perisian yang perlu ada pada PC Windows termasuklah perisian pelayar web, antivirus, pengimbas malware, program sandar (backup program) dan pengurus kata laluan.

Kebanyakan perisian-perisian ini boleh dimuat turun secara percuma dari internet dan berikut adalah perisian-perisian penting yang perlu ada untuk komputer-komputer dengan sistem operasi Microsoft Windows.

Pelayar: Perkara yang paling kerap kita lakukan apabila menggunakan komputer adalah melayari laman-laman web. Microsoft Windows hadir dengan Internet Explorer yang dikirakan sudah cukup memadai untuk kegunaan harian. Namun, tidak salah rasanya andai anda ingin menggunakan pelayar-pelayar lain yang boleh diperoleh secara percuma seperti Mozilla Firefox, Google Chrome, atau Opera.

Antivirus: Mempunyai sambungan ke internet tanpa perlindungan boleh diibaratkan seperti membiarkan pintu depan rumah terbuka sewaktu anda keluar balik kampung. Program perisian antivirus yang berjalan pada latar belakang sistem mampu memberikan perlindungan yang anda perlukan sewaktu melayari internet.

Terdapat pelbagai perisian antivirus percuma yang boleh dimuat turun. Antara yang terbaik ialah Avira, AVG, Panda dan Comodo.

Pengimbas malware: Antivirus yang anda gunakan bukanlah sempurna dan untuk itu langkah yang terbaik adalah melengkapkan sistem komputer anda dengan perisian pengimbas malware. Imbasan boleh dilakukan sekurang-kurangnya seminggu sekali atau lebih kerap bergantung dengan kadar kekerapan anda melayari internet.

Selain dari perisian berbayar, terdapat perisian pengimbas malware bagus yang boleh dimuat turun secara percuma seperti Malwarebytes Anti-Malware.

Program Sandar (Backup Program): Perkara yang paling kerap diajukan sebagai kerjaya saya sebagai Juruteknik Komputer adalah permasalahan berkenaan kehilangan fail-fail yang penting. Oleh itu, adalah mustahak untuk setiap pengguna PC yang menggunakan sistem operasi Microsoft Windows untuk melakukan sandaran (backup).

Untuk sistem operasi Windows 7, fungsi sandaran sudah sedia ada dengan mencapainya di Control Panel > System and maintenance > Backup and Restore > Create a system image. Jika anda tidak berminat untuk menggunakannya, anda boleh menggunakan perisian pihak ketiga percuma seperti SyncBackFree.

Pengurus kata laluan: Pada setiap laman atau aplikasi yang anda gunakan pada kebiasaannya berbeza antara satu sama lain. Untuk kata-kata laluan itu, tiap satunya perlu panjang dan rumit untuk menjadikannya selamat digunakan. Namun, bukan mudah untuk anda mengingatkan keseluruhan kata-kata laluan bagi tiap laman web atau aplikasi yang anda gunakan.

Oleh itu, pengurus kata laluan merupakan perisian yang amat membantu anda untuk menyimpan kata-kata laluan dan mengakses ke laman-laman web atau aplikasi dengan lebih selamat. Perisian percuma pengurus dan penyimpan kata laluan seperti KeePass merupakan perisian yang amat bagus untuk dicuba.

Pembaca PDF: Fail-fail PDF kerap digunakan di mana-mana untuk tujuan penghantaran dokumen atas talian dengan selamat. Oleh itu, penggunaan perisian pembaca PDF sudah menjadi satu keperluan untuk setiap sistem komputer Microsoft Windows hari ini. Perisian pembaca PDF boleh diperoleh dengan percuma seperti Adobe Reader atau FoxIt Reader.

Diharapkan perisian-perisian yang disenaraikan seperti di atas dapat membantu anda dalam menyediakan keperluan penggunaan komputer yang lebih mudah untuk anda dan juga pengguna-pengguna anda.

2 KOMEN

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.