Xiaomi buat masa ini menjadi jenama nombor satu telefon pintar di Malaysia, menurut laporan dari Canalys. Jenama pengeluar telefon pintar dari China ini telah mencatatkan pertumbuhan tahunan sebanyak 93% melalui penguasaan pasaran sebanyak 25% di Malaysia pada tahun 2021. Secara ringkasnya, satu daripada empat telefon pintar yang dijual di Malaysia adalah Xiaomi.
Di tangga kedua pula, Samsung menguasai pasaran Malaysia sebanyak 22%. Pengeluar telefon pintar dari Korea Selatan ini mencatatkan petumbuhan sebanyak 32% berbanding tahun sebelumnya. Ini diikuti oleh jenama dari BBK Electronics yang terdiri daripada Vivo, Oppo dan Realme yang masing-masing menguasai 18%, 16% dan 8%.
Statistik terkini ini adalah berdasarkan jualan dalam bentuk penghantaran yang melibatkan urusan jual-beli antara pengeluar dan peruncit. Menerusi nota kaki infografik statistik berkenaan turut dinyatakan angka jualan Oppo tidak merangkumi jualan OnePlus.
Selain jenama utamanya, Xiaomi turut mempunyai sub-jenamanya sendiri iaitu Redmi dan Poco. Kedua-dua jenama tersebut amat popular di kalangan peminat telefon peringkat pemula dan menengah. Telefon-telefon pintar jenama berkenaan juga seringkali menguasai acara jualan dalam talian utama terutamanya apabila melibatkan diskaun besar yang diberikan melalui platform jualan e-dagang.
Kekurangan bekalan komponen gloabal tidak menjejaskan jualan telefon pintar 2021
Di peringkat global, Canalys melaporkan sejumlah 1.35 billion telefon pintar telah dijual sepanjang 2021. Sungguhpun berdepan dengan masalah bekalan global, industri telefon pintar masih lagi mampu mencatatkan pengeluaran 7% lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.
Samsung masih lagi mengungguli di tempat pertama sebagai pengeluar telefon pintar dengan sebanyak 274.5 juta unit terjual melalui 20% penguasaan pasaran. Ini diikuti oleh Apple di tempat kedua dengan 230.1 juta unit terjual dan menguasai 17% pasaran. Xiaomi menduduki di tempat ketiga dengan jumlah jualan sebanyak 191.2 juta unit dan penguasaan pasaran sebanyak 14%.
Bagi meneruskan momentum tersebut, Xiaomi Malaysia telah melancarkan Redmi Note 11 pada Khamis ini. Bagi anda yang menantikan telefon pintar mercu dari Xiaomi, baru-baru ini Xiaomi 12 telah dilancarkan di China. Walaubagaimanapun, tidak dapat diketahui bilakah model telefon pintar mercu baharu berkenaan akan hadir ke pasaran antarabangsa.













