Utama Mobile Aplikasi Panggilan Suara WhatsApp dilapor boleh disuntik Spyware dari Israel

Panggilan Suara WhatsApp dilapor boleh disuntik Spyware dari Israel

1084
0

Panggilan suara WhatsApp dilaporkan telah disalahgunakan untuk tujuan kerja-kerja pengintipan melalui kerentanannya. Perkara ini telah disahkan oleh WhatsApp dan juga syarikat pembangun perisian dari Israel, NSO Group.

Kerentanan berkenaan membolehkan penggodam menyuntik perisian pengintipan (spyware) yang dinamakan sebagai Pegasus ke dalam peranti Android dan iOS melalui panggilan suara.

Apa yang membuatkan perisian pengintipan ini amat merbahaya adalah ianya mampu disuntik tanpa pengguna perlu menjawab panggilan suara yang dibuat oleh penggodam. Selain itu, ia juga tidak meninggalkan sebarang jejak di dalam log.

Pegasus, yang dibangunkan oleh NSO Group dari Israel ini juga boleh menggunakan kamera dan mikrofon peranti pengguna. Lokasi dan maklumat dari mesej-mesej di dalam peranti pengguna juga boleh dijejak melalui perisian ini.

Sungguhpun pihak yang bertanggungjawab masih lagi belum dikenalpasti, sebahagian pakar mengesyaki ianya dilakukan oleh salah sebuah negara di rantau Timur Tengah yang cuba mengekang kritikan terhadap pencabulan hak asasi yang dilakukan oleh negara berkenaan.

Pasukan pembangunan WhatsApp telah menerbitkan kemaskini untuk masalah kerentanan berkenaan pada 13 Mei baru-baru ini. Pengguna dinasihatkan supaya lekas mengemaskini aplikasi masing-masing bagi mengelakkan kerentanan berkenaan disalahgunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sumber berita diperoleh dari The New York Times

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.