Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah membenarkan penggabungan Celcom dan Digi. Gabungan tersebut bakal membentuk sebuah syarikat telekomunikasi terbesar di Malaysia melalui nama baharu, MergeCo.
Salah satu syarat penggabungan yang perlu dipatuhi adalah penyahlaburan Yoodo dalam tempoh 18 bulan selepas perjanjian dimuktamadkan. Jika gagal, subsidiari berkenaan perlu ditamatkan dalam tempoh tiga bulan selepas tempoh muktamad 18 bulan tamat. Rentetan dari itu, Yoodo telah mengumumkan pihaknya akan terus beroperasi seperti biasa.
Menerusi satu hantaran di dalam laman komuniti Yoodo, syarikat berkenaan berkongsikan pengumuman oleh Pengerusi Yoodo, Encik Chow Tuck Mun. Di dalam pengumuman tersebut, dinyatakan para pelanggan kelak akan ditawarkan dengan lebih banyak pengalaman baharu melibatkan e-sukan, hiburan dan K-pop di masa hadapan. Beliau juga akan memaklumkan pihaknya akan memaklumkan kepada pengguna mengenai sebarang perkembangan terkini.
Hal ini kerana perjanjian di antara Celcom, Digi dan SKMM turut mewajibkan supaya perkhidmatan Mobile Virtual Network Operators (MVNO) baharu dan sedia ada termasuk Yoodo tidak terkesan dari penggabungan ini. MVNO ini juga akan terus diberikan akses perkhidmatan secara borong untuk tempoh selama tiga tahun.
Pengguna Yoodo juga boleh terus menggunakan perkhidmatan seperti biasa untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun. Itupun bergantung kepada tempoh berapa lama perjanjian penggabungan ini dapat dimuktamadkan. Buat masa ini ia dijangka dapat dimuktamadkan dalam tempoh separuh tahun kedua 2022.