Utama Mobile Telco Yes 4G dakwa KPM tiada peruntukan untuk Internet Sekolah, tetapi memilih untuk...

Yes 4G dakwa KPM tiada peruntukan untuk Internet Sekolah, tetapi memilih untuk membayar ISP baru

2234
1

YTL Communications, syarikat di sebalik Yes 4G dan 1Bestarinet baru-baru ini telah mengeluarkan kenyataan berkenaan penamatan kontrak oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Secara keseluruhannya, kenyataan berkenaan memberikan pandangan dari pihak YTL mengenai kontrak penyediaan internet di sekolah-sekolah yang dianugerahkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sebelum ini.

Menurut YTL Communications, pihak kementerian tidak mempunyai peruntukan untuk menyediakan perkhidmatan internet di sekolah-sekolah dan meminta pihak syarikat menyediakannya secara percuma. Sungguhpun YTL Communications menyatakan kesediaan dari pihaknya, pihak kementerian dilihat memilih TM, Celcom dan Maxis sebagai penyedia perkhidmatan internet (ISP) di sekolah-sekolah untuk tempoh peralihan ini.

Kenyataan media dari YTL

Berikut adalah kenyataan media dari YTL Communications mengenai isu ini yang telah diringkaskan:

Julai 2018: KPM mengumumkan tender terbaru untuk ISP akan dibuka seawal 2019. – YTL Communications mendakwa di dalam kenyataannya bahawa KPM pada masa itu telah mengesahkan pihak syarikat tidak akan dikecualikan dari senarai tender.

23 April 2019: Pihak KPM telah mengadakan sesi perbincangan bersama-sama YTL Communications, TM, Celcom, Maxis dan beberapa lagi syarikat telekomunikasi yang tidak dinyatakan di dalam kenyataan berkenaan.

Menurut YTL, semasa perjumpaan berkenaan, KPM menyatakan pihaknya masih belum bersedia untuk membuka tender pada ketika itu dan menjangkakan proses berkenaan dapat disiapkan dalam tempoh enam bulan. Pada masa yang sama, KPM juga didakwa meminta YTL Communications supaya meneruskan penyediaan internet di sekolah secara percuma di dalam tempoh peralihan ini sementara pihak kementerian menyiapkan proses membuka tender berkenaan.

31 Mei 2019: YTL Communications menghantar surat kepada KPM bagi memaklumkan kesediaan pihak syarikat menyediakan perkhidmatan Internet dan akses ke Frog VLE secara percuma sepanjang tempoh peralihan ini. Bagaimanapun, tiada sebarang maklumbalas diterima dari pihak KPM menurut kenyataan YTL. Salinan surat berkenaan turut dimuat naik oleh YTL di dalam laman rasminya dalam format PDF.

27 Jun 2019: KPM mengumumkan pihaknya telah memilih TM, Celcom dan Maxis sebagai penyedia perkhidmatan internet di sekolah-sekolah dan agensi-agensi terpilih di bawahnya untuk sepanjang tempoh peralihan ini. Perkhidmatan Frog VLE pula digantikan dengan Google Classroom bermula dari 1 Julai 2019. Pihak kementerian juga mendapatkan ISP-ISP baru untuk kegunaan sekolah-sekolah di seluruh Malaysia bermula 1 Januari 2020.

Menurut pihak YTL Communications, pengumuman dari pihak kementerian ini dilakukan tanpa pengetahuan pihak syarikat selain turut mendakwa kementerian perlu membayar ketiga-tiga ISP yang dinyatakan tadi walaupun YTL Communications telah pun bersetuju untuk menyediakannya secara percuma.

Mengambil kira kenyataan yang dikeluarkan ini, YTL Communications dilihat seperti mahu bersemuka dengan pihak KPM berhubung isu 1Bestarinet ini. Namun, memandangkan rekod perkhidmatan yang disediakan melalui 1Bestarinet itu sendiri yang tidak begitu memberangsangkan seperti yang dilaporkan oleh akhbar The Star pada tahun 2014 dahulu, pihak KPM pastinya mempunyai kewajarannya sendiri dalam menangani isu ini.

Kenyataan penuh dari YTL Communications dapat dirujuk melalui pautan ini.

 

1 komen

  1. hahaha.. YTL kontrak dah tak dapat , baru sibuk nak bagi internet percuma, dah lama cikgu sekolah dan pelajar menderita tak dapat guna internet, baru sekarang YTL menggelabah?

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.