Yayasan YTL telah mengumumkan pemberian sumbangan telefon pintar percuma kepada keluarga yang memerlukan dan terkesan akibat wabak pandemik COVID-19. Sumbangan ini dilakukan sebagai sebahagian dari Inisiatif Belajar Dari Rumah yang dilancarkan pada dua minggu yang lalu.
Pemberian telefon pintar percuma ini turut didatangkan bersama-sama kad SIM YES 4G percuma dan data percuma khusus untuk keluarga berpendapatan B40 di dalam komuniti. Sebanyak 120GB data percuma diperuntukkan bagi pelan data selama 12 bulan berkenaan.
Bagi memastikan telefon-telefon pintar yang disumbangkan ini sampai kepada keluarga-keluarga yang memerlukannya, Yayasan YTL bekerjasama dengan pihak guru-guru sekolah. Guru-guru akan mencadangkan nama-nama pelajar yang layak menerusi www.ytlfoundation.org/learn
Selepas nama-nama pelajar berkenaan dihantar, pelajar-pelajar yang layak menerima bakal dimakumkan oleh YTL dan disusuli dengan pendaftaran untuk telefon pintar percuma bersama-sama pelan data YES 4G.