Dalam apa yang dianggap sebagai pencerobohan data terbesar setakat ini, Yahoo telah melaporkan sejumlah 1 billion akaun pengguna terlibat di dalam kecurian yang berlaku pada Ogos 2013 lalu.

Insiden ini adalah berasingan dari yang dilaporkan pada September tahun ini di mana sekurang-kurangnya 500 juta pengguna telah mengalami kecurian data pada lewat tahun 2014.

Kecurian data ini melibatkan nama, alamat emel, nombor telefon, tarikh lahir dan kata laluan bercincang (hashed) yang menggunakan MD5, sejenis algoritma yang sudah lapuk.

Terdapat juga pada sesetengah kes yang melibatkan soalan-soalan keselamatan dari pengguna turut dicuri. Bagaimanapun, tiada sebarang kecurian data kad pembayaran dan maklumat akaun bank pengguna dilaporkan.

Yahoo sedang mengenalpasti pengguna-pengguna yang dicuri datanya dan turut mengesyorkan pengguna supaya mengubah kata laluan masing-masing. Pengguna juga perlu ambil maklum terhadap mana-mana akaun lain yang menggunakan soalan-soalan keselamatan yang sama dengan soalan keselamatan yang digunakan pada akaun Yahoo.

Pencerebohan ini disyaki dilakukan oleh “pihak ketiga yang tidak dibenarkan” sebagaimana yang dilaporkan oleh Yahoo dan sehingga kini masih belum dinyatakan pihak mana yang bertanggungjawab melakukan pencerobohan ini.

Sumber berita diperoleh dari Tumblr Yahoo

1 komen

Tinggalkan komentar