Xiaomi Pocophone F1 secara rasminya telah pun dilancarkan pada minggu lepas dan menerima sambutan yang baik dari orang ramai. Pada harga bermula dari RM1,299, telefon pintar ini hadir dengan chipset Qualcomm Snapdragon 845, RAM 6GB RAM, bateri berkapasiti 4000mAh, dan kamera utama dengan tetapan dwi-kamera 12MP + 5MP.

Sungguhpun telefon pintar ini menawarkan spesifikasi yang tinggi, terdapat laporan dari pengguna di laman XDA Developers yang mendapati Pocophone F1 tidak boleh memainkan Netflix di dalam resolusi HD.

Secara spesifiknya, telefon pintar ini tidak dilengkapi dengan DRM Widevine L1 – persijilan yang membolehkan sesebuah peranti memainkan video-video dari Netflix atau Amazon Prime dalam resolusi HD 720p dan ke atas. Oleh kerana Pocophone F1 tidak memiliki persijilan ini, Netflix hanya boleh dimainkan pada resolusi maksima 540p sahaja.

Sebagai maklumat tambahan, DRM Widevine dikategorikan kepada tiga peringkat persijilan – L1, L2 dan L3, yang mana L1 merupakan persijilan peringkat yang tertinggi. Peringkat L1 juga merupakan peringkat yang diperlukan oleh aplikasi-aplikasi seperti Netflix, Amazon, Video, Hulu, dan BBC untuk memainkan video pada resolusi HD 720p dan ke atas.

Pocophone F1 bukanlah peranti pertama yang mengalami masalah seperti ini. Beberapa model telefon pintar mercu yang terdahulu, seperti OnePlus 5 dan OnePlus 5T juga pernah mengalami masalah yang hampir sama.

Setakat ini pihak Xiaomi masih lagi belum mengeluarkan sebarang kata putus mengenai cara pembaikan masalah ini.

Sumber berita diperoleh dari XDA Developers

Tinggalkan komentar