Xiaomi 14 Ultra dijangka akan dilancarkan secara rasmi pada 25 Februari ini. Namun, rekaan dan spesfikasinya telah tertiris menurut laporan dari portal berbahasa Jerman, WinFuture.
Telefon pintar baharu Xiaomi berkenaan dikatakan akan dikuasakan oleh pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3 dengan RAM LPDDRX 16GB dan storan UFS 4.0 sehingga 512GB. Bagaimanapun, spesifikasi storannya tersebut mungkin hanya untuk pasaran Eropah sahaja dan terdapat laporan yang menjangkakan terdapat kapasiti storan sehingga 1TB di beberapa pasaran tertentu.
Xiaomi 14 Ultra akan menampilkan skrin AMOLED 6.73-inci beresolusi 1440p dengan kadar penyegaran semula 120Hz dan kecerahan puncak 3,000 nits. Ia juga akan mempunyai sokongan HDR10+ dan pengimbas cap jari terbina bawah skrin untuk pengesahan biometrik.
Di belakangnya pula terdapat satu ruangan besar yang menempatkan kamera-kameranya dengan logo LEICA. Kamera tersebut dikatakan terdiri daripada sebuah kamera utama 1-inci, sebuah kamera ultra lebar, sebuah kamera telefoto dengan zum 3.2x, dan sebuah kamera telefoto berperiskop dengan zum 5x.
Kuasa telefon pintar ini hadir melalui bateri berkapasiti 5,300mAh dengan sokongan pengecasan berwayar 90W dan nirwayar 50W. Selebihnya, ia turut didatangkan dengan sokongan NFC, Bluetooth 5.4, Wi-Fi 7, USB-C, dan slot dwi-SIM. Dari segi ukuran fizikalnya pula telefon pintar dengan penarafan kerintangan air dan debu IP68 ini berketebalan 9.2mm dan seberat 220g.
Xiaomi 14 Ultra juga dikatakan akan hadir dengan pilihan warna hitam dan putih serta mempunyai permukaan belakang yang diperbuat daripada kulit vegan dan kerangka aluminium. Turut diperkatakan, telefon pintar ini akan hadir dengan kerangka titanium, namun tidak semua pasaran akan menawarkannya pada peringkat awal pelancarannya.