Xiaomi pada hari ini telah mengumumkan tarikh pelancaran bagi telefon pintar mercu keluaran terbarunya, Xiaomi 12. Berdasarkan maklumat yang dikongsikan menerusi platform media sosial berbahasa China, Weibo, acara berkenaan akan diadakan pada 28 Disember ini.
Bagaimanapun, Xiaomi tidak berkongsikan maklumat lanjut berkenaan telefon tersebut. Menurut info yang ditiriskan di alam maya, gergasi elektronik dari China dikatakan akan melancarkan tiga model iaitu
- Xiaomi 12X
- Xiaomi 12 (standard)
- Xiaomi 12 Pro
Dari segi spesifikasi, Xiaomi 12 dan Xiaomi 12 Pro dikatakan akan dilengkapkan dengan cipset Snapdragon 8 Gen2. Maklumat yang tertiris tersebut juga mengatakan Xiaomi 12 akan hadir dengan paparan melengkung 120Hz 2K dengan nisbah aspek meninggi. Ia juga hadir dengan keupayaan pengecasan pantas 120W, pengimbas cap jari dan tri-kamera dengan kamera utama 50MP.
Bagi varian lebih mampu miliknya pula, Xiaomi 12X dikatakan akan hadir dengan Snapdragon 870, paparan OLED 6.28-inci dan kamera utama 50MP. Ia juga didatangkan dengan pengecasan pantas berwayar 67W, serta 33W secara nirwayar. Manakala bagi varian Ultra pula, ia dikatakan akan dilancarkan pada 2022 dengan desas-desus mengatakan akan dilengkapkan dengan sistem kamera Leica.

Acara pelancaran berkenaan juga berkemungkinan akan dilakukan secara dalam talian. Cuma tidak diketahui masa dan platform di mana ia boleh ditonton masih lagi belum dinyatakan.













