Microsoft telah mengumumkan satu lagi kenaikan harga perkhidmatannya yang turut melibatkan pelanggannya di Malaysia. Perkhidmatan Xbox PC Game Pass sebelum ini berharga RM20 sebulan telah dinaikkan harganya ke RM25 sebulan.
Kenaikan ini hadir selepas Microsoft mengumumkan perubahan sistem peringkat Xbox Game Pass, sama seperti yang berlaku pada tahun lepas. Bezanya kali ini tiada penambahan peringkat baharu, sebaliknya hanya menjenamakan semula peringkat sedia ada khusus untuk pelanggan pasaran antarabangsa. Langganan mengikut peringkat ini bagaimanapun tidak ditawarkan kepada pengguna di Malaysia.
Perubahan tersebut telah mengakibatkan pelanggan-pelanggan perkhidmatan Xbox mengamuk di arena maya. Ini memandangkan harga bagi Xbox Game Pass Ultimate telah dinaikkan harganya kepada US$30 (~RM126). Naik 50% berbanding harga yang dinaikkan tahun lepas pada US$20.
Di Malaysia walaupun kenaikannya cuma RM5 sahaja menjadikan harga langganan Xbox PC Game Pass kini RM25, ia tetap memberikan kesan terhadap bajet bulanan pengguna. Tambahan pula dengan kenaikan kos sara hidup, kenaikan harga yang berlaku tentunya tidak disenangi oleh majoriti pengguna.