Penduduk di negeri Selangor kini boleh menikmati perkhidmatan internet WiFi Selangorku percuma di lebih dari 800 lokasi seluruh negeri. Inisiatif internet percuma ini telah dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Encik Mohamed Azmin Ali Selasa lalu.
Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains Teknolgi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata terdapat penambahan sebanyak 120 lokasi menjelang akhir Oktober nanti, dengan baki 1,580 hotspot akan siap disediakan menjelang hujung tahun 2015 ini. Secara keseluruhannya, lebih dari 2,500 lokasi akan menerima akses internet WiFi secara percuma.
Nik Nazmi turut menjelaskan bahawa lokasi yang menjadi pilihan penyediaan hotspot Wifi ini ditentukan berdasarkan kawasan-kawasan perumahan yang mempunyai jumlah pelajar yang ramai, kawasan penduduk berpendapatan rendah, kawasan luar bandar, dan juga kawasan tumpuan pelancong. Kawasan yang diliputi akses WiFi Selangorku akan ditanda dengan papan tandanya sendiri disamping para pengguna boleh melihatnya sendiri pada peranti-peranti masing-masing.
Kelajuan sambungan rangkaian internet ini bergantung dengan lokasi hotspot WiFi Selangorku ditempatkan. Bagi lokasi yang terletak di dalam jaringan kabel optik fiber, kelajuan minima yang diperoleh adalah pada 1Mbps. Manakala kawasan yang tidak mempunyai sambungan kabel optik fiber dan bergantung dengan teknologi ADSL dan 3G pula, kelajuan maksima yang diperoleh pengguna adalah 1Mbps.
Walaupun pihak kerajaan negeri tidak menyatakan pihak pembekal perkhidmatan internet ini, namun berdasarkan talian khidmat bantuan yang disediakan, ia menunjukkan bahawa perkhidmatan ini disediakan oleh TM (Telekom Malaysia).
Pengumuman ini merupakan berita baik bagi pengguna yang tidak mampu untuk melanggan perkhidmatan internet disamping ia merupakan salah satu langkah dalam menuju ke arah negara maju.
Sumber berita diperoleh dari The Malaysian Insider
Untungnya tinggal di negeri kaya yang kerajaan negerinya mengutamakan kepentingan rakyat…
No komen
Bgusnya kalau dapat WiFi percuma Selangor.. Kena daftar dulu ke