Pengasas Telegram, Paul Durov telah memberi amaran tentang perlunya pengawasan berterusan terhadap WhatsApp selepas berita mengenai kerentanannya tersebar baru-baru ini.
Beliau merupakan seorang pengaturcara dari Russia yang membangunkan Telegram bagi tujuan komunikasi selamat berenkripsi. Pendapat beliau dikongsikan melalui satu artikel di dalam blognya bertajuk, “Why WhatsApp will never be secure.”
Telegram selama ini sering dikecam oleh pihak berkuasa Russia atas sifat enkripsinya yang terlalu kuat. Selain itu, aplikasi berkenaan turut diharamkan di Russia.
WhatsApp pada hari Selasa baru-baru ini telah menggesa sejumlah lebih dari 1.5 billion penggunanya supaya menaik taraf aplikasi masing-masing bagi menutup kerentanan keselamatan terbabit.
Kerentanan berkenaan membolehkan malware-malware yang canggih disuntik bagi tujuan kerja-kerja pengintipan.
Telegram diasaskan oleh pasangan adik-beradik Pavel dan Nikolai Durov yang sebelum ini turut membangunkan VKontakte, laman rangkaian sosial popular di Russia.
Berdasarkan laporan pada tahun 2018, Telegram mempunyai seramai 200 juta pengguna dengan 7 peratus daripadanya dari Russia. Bagaimanapun, pada Mac tahun ini, bilangan penggunanya mencecah 3 juta dalam tempoh 24 jam selepas Facebook, Instagram dan WhatsApp mengalami gangguan capaian.
Pihak berkuasa Russia telah mengarahkan penyedia perkhidmatan internet di dalam negaranya menyekat Telegram. Insiden yang berlaku pada tahun 2018 ini tercetus selepas keengganan platform permesejan berkenaan memberikan akses kepada mesej penggunanya.
Segala usaha berkenaan bagaimanapun gagal dan aplikasi berkenaan masih lagi beroperasi seperti biasa di Russia.
Sumber berita diperoleh dari The Independent













