vivo telah mengumumkan tiga model telefon pintar mercunya pada hari ini siri X100s serta termasuk X100 Ultra. Telefon-telefon pintar baharu ini kebanyakannya hampir sama dengan model sebelumnya dengan pemprosesan yang baharu serta penarafan IP yang dipertingkatkan dan rekaan baharu untuk model standard.
Siri vivo X100s menampilkan skrin AMOLED dengan kadar penyegaran semula skrin 120Hz dan kecerahan puncak 3,000 nits. Untuk model standard, ia kini lebih nipis dengan skrin rata berbanding melengkung pada model sebelumnya. Pemprosesan yang digunakan di dalamnya telah dipertingkatkan dengan penggunaan MediaTek Dimensity 9300 Plus. Kelasakannya terhadap air dan debu juga dipertingkatkan melalui penarafan IP69.
Untuk fotografinya, model Pro menampilkan tetapan kamera yang sama dengan model yang dilancarkan pada tahun lepas. Ia menawarkan kamera utama 50MP dengan OIS, kamera telefoto 50MP dengan OIS dan zum optikal 4.3x dan kamera ultra-lebar 50MP. Begitu juga model standard X100s yang menawarkan kamera utama 50MP dengan OIS, kamera telefoto 64MP dengan OIS dan zum optikal 3x, serta kamera ultra-lebar 50MP.
Menguasakan model Pro, terdapat bateri berkapasiti 5,400mAh dengan sokongan 100W secara berwayar dan 50W untuk nirwayar. Manakala untuk model X100s standard pula ia mempunyai bateri berkapasiti 5,100mAh dengan sokongan pengecasan 100W.
Kedua-dua model telefon pintar ini ditawarkan dengan pilihan konfigurasi RAM sehingga 16GB dan storan sehingga 1TB. Harga untuk X100s bermula dari CNY4,000 (~RM2,605) untuk model standard, dengan model Pro pula harganya bermula dari CNY5,000 (~RM3,257). Setakat ini tiada maklumat bilakah telefon pintar baharu dari vivo ini akan memasuki pasaran Malaysia.