vivo X100 dan vivo X100 Pro pertama kali dipertontonkan pada November tahun lalu di China dan kini telefon pintar berkenaan secara rasminya dilancarkan di pasaran Malaysia pada hari ini. Acara pelancaran tersebut juga mengumumkan harga jualan rasminya bagi pasaran tempatan.
Kedua-dua model telefon pintar baharu keluaran vivo berkenaan mempunyai beberapa ciri persamaan. Antaranya termasuklah skrin 6.78-inci beresolusi 2,800 x 1,260 piksel dengan kadar penyegaran semula skrin sehingga 120Hz, pemprosesan MediaTek 9300 dan penarafan kerintangan air dan debu IP68.
Baterinya pula masing-masing mempunyai perbezaan dengan vivo X100 menawarkan bateri berkapasiti 5,000mAh dengan kadar pengecasan 120W. Manakala vivo X100 Pro pula ia mempunyai kapasiti sebesar 5,400mAh bersama-sama kadar pengecasan 100W serta sokongan pengecasan secara nirwayar sehingga 50W.
Untuk kamera vivo X100 mempunyai sistem tri-kamera yang mengandungi kamera utama 50MP, telefoto 64MP dan kamera bersudut lebar 50MP. Manakala vivo X100 Pro pula ia mempunyai kamera utama 50MP 1-inci, kamera ZEISS APO 50MP dan kamera bersudut lebar 50MP. Pada sebelah hadapan pula, kedua-dua model mempunyai kamera 32MP.
Seperkara lagi yang menarik tentang vivo X100 Pro adalah ciri baharu yang diperkenalkan bagi membolehkan pengguna mengambil foto matahari. Sejauh mana keberkesanannya kami masih belum dapat mengujinya kerana belum berpeluang untuk melihatnya dengan secara lebih dekat.
Harga vivo X100 dan vivo X100 Pro di Malaysia
Untuk pasaran Malaysia, vivo X100 dan vivo X100 Pro hanya ditawarkan dengan konfigurasi RAM 16GB dan storan 512GB sahaja. Ia mula dijual pada 6 Januari 2024 pada harga seperti berikut:
- vivo X100; RAM 16GB, storan 512GB – RM3,499
- vivo X100 Pro; RAM 16GB, storan 512GB – RM4,599
Maklumat lanjut, layari laman web rasmi vivo Malaysia.