Utama Android vivo vivo X Fold2 dan X Flip diperkenalkan, Tampil dengan cip siri Snapdragon...

vivo X Fold2 dan X Flip diperkenalkan, Tampil dengan cip siri Snapdragon 8, Kamera Zeiss

503
0
vivo X Fold2 dan X Flip

Pendatang baharu telefon pintar boleh lipat di pasaran, X Fold2 dan X Flip telah diperkenalkan oleh vivo. Telefon pintar boleh lipat dengan bukaan melintang generasi kedua dari vivo ini membawakan sejumlah penambahbaikan merangkumi mekanisme engsel baharu, cipset Snapdragon 8 Gen 2, kamera baharu dan pengecasan berwayar 120W.

X Flip merupakan penampilan sulung vivo untuk model telefon pintar boleh lipat berbentuk ‘clamshell’. Ia mempunyai skrin cover 3-inci, Snapdragon 8+ Gen 1 dan kamera utama 50MP.

vivo X Fold2

X Fold2 pula membawakan skrin AMOLED E6 8.03-inci dengan resolusi 2160 x 1916 piksel  dan kadar penyegaran semula 120Hz. Panel ini membawakan nisbah aspek 4:3.55 -inci dan sistem engsel gaya titisan air baharu yang dikatakan lebih ringan dan lasak berbanding jenis yang digunakan pada X Fold dan X Fold+ pada tahun lepas.

Turut disediakan skrin cover AMOLED 6.53-inci dengan resolusi 2520 x 1080 piksel dan kadar penyegaran semula 120Hz. Skrin ini juga mempunyai kadar nisbah yang biasa didapati pada kebanyakan telefon pintar iaitu 21:9.

Kedua-dua panel skrin ini juga mempunyai pengimbas cap jari ultrasonik selain menyediakan juga kamera hadapan 16MP pada bahagian takuk atas skrinnya. Dari segi saiz ukuran, X Fold2 lebih 1.5mm nipis berbanding model terdahulu apabila dilipat.

X Fold2 mempunyai tri-kamera pada bahagian belakangnya. Kamera utamanya merupakan sensor Sony IMX866V 50MP dengan OIS, dan lensa disaluti Zeiss T*. Manakala satu lagi kamera ultralebarnya mempunyai sensor 12MP, dan satu lagi lensa potret 12MP dengan zum 2x yang juga menyokong zum digital 20X.

Sistem kameranya juga disokong oleh cip pengimejan vivo V2 yang dibangunkan sendiri oleh vivo. Ia berfungsi bagi tujuan menambahbaik imej dan video HDR selain mengurangkan kesan hingar. X Fold2 juga berkeupayaan merakamkan video sehingga 8K pada 30fps dan dilengkapkan juga dengan mod Zeiss Cinematic.

Telefon pintar boleh lipat ini menggunakan Android 13 melalui antaramuka OriginOS 3 yang membawakan beberapa penambaikan yang khusus untuk skrin besar. Antaranya taskbar, kawalan PC jarak jauh dan antaramuka (UI) yang boleh beradaptasi apabila ia dilipat pada sudut-sudut tertentu. Untuk baterinya, ia berkapasiti 4,800mAH yang turut menyokong pengecasan berwayar 120W dan nirwayar 50W.

vivo X Fold2 didatangkan dalam dua konfigurasi iaitu RAM 12GB, storan 256GB yang berharga CNY 8,999 (~RM5,408) dan RAM 12GB, storan 512GB berharga CNY 9,999 (~RM6,447).

vivo X Flip

Telefon pintar boleh lipat berbentuk ‘clamshell’ ini merupakan yang pertama dikeluarkan oleh vivo. Skrin luarannya (cover) bersaiz agak besar, 3-inci AMOLED yang boleh digunakan untuk apa sahaja tujuan, dari menghantar mesej berteks, navigasi peta, hinggalah aplikasi media sosial.

vivo buat masa ini sedang giat menjalinkan usahasama dengan pembangun aplikasi untuk mengoptimasikan aplikasi bagi kegunaan paparan ‘cover’ tersebut. Ia dijangka dapat memudahkan pengguna berinteraksi secara terus dari paparan tersebut tanpa perlu membuka lipatan telefon tersebut dengan kerap.

Skrin dalamannya, atau yang utama pula mempunyai paparan AMOLED LTPO 6.74-inci beresolusi FHD+ dan kadar penyegaran semula 120Hz. Ia juga menampilkan mekanisme engsel rekabentuk titisan air yang mampu mengurangkan kesan lipatan pada bahagian tengah skrin di dalamnya.

X Flip juga mempunyai kamera hadapan 32MP bersama-sama pengimbas cap jari pada bahagian sisinya.

Melalui penggunaan cipset Snapdragon 8+ Gen 1, telefon pintar ini juga didatangkan dengan RAM 12GB dan storan sehingga 512GB. Sistem kameranya juga mengandungi kamera utama Sony IMX866V dengan OIS bersama-sama kamera ultralebar 12MP.

Seperti telefon pintar boleh lipat yang lain, X Flip juga boleh dilipat dalam pelbagai sudut untuk mengambil foto atau video secara bebas tangan tanpa menggunakan cagak (stand).

Telefon pintar yang menggunakan antaramuka OriginOS 3 berasaskan Android 13 ini juga hadir dengan bateri berkapasiti 4,400mAh yang menyokong pengecasan pantas 44W berwayar.

vivo X Flip berharga dari CNY 5,999 (~RM3,869) untuk konfigurasi 12GB/256GB dan CNY6,699 (~RM4,317) untuk konfigurasi 12GB/512GB).

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.