Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini dilaporkan memiliki alatan khusus yang boleh digunakan untuk mengesan pengguna internet di Malaysia yang melayari kandungan-kandungan lucah. Penggunaan alatan ini adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Unit Siasatan Jenayah Siber (Internet) Terhadap Kanak-kanak Malaysia (MICAC).
Mula ditubuhkan sejak bulan Februari baru-baru ini di bawah unit D11, salah satu objektif utama MICAC adalah membanteras jenayah sosial kanak-kanak atas talian. Selain dari penggunaan teknologi, unit ini turut mendapat sokongan dari segi penyaluran maklumat dengan agensi-agensi berkaitan di dalam dan juga luar negara.
Alatan yang digunakan dikenali sebagai Internet Crime Against Children – Child Online Protective Service (ICACCOPS) ini telah dibangunkan di Amerika Syarikat dan mampu mengumpulkan data-data penting seperti alamat IP, lokasi, laman web dan juga jumlah masa yang diluangkan oleh pengguna dalam satu-satu masa.
Laporan dari New Straits Times berkenaan juga menyatakan bahawa pihak PDRM turut membina sebuah pangkalan data bagi merekodkan segala maklumat yang dikumpulkan oleh alatan berkenaan. Maklumat berkenaan seterusnya akan dipanjangkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk pihak PDRM meneruskan tindakan selanjutnya.
Bagaimanapun, teknologi yang digunakan setakat ini hanya terhad kepada menjejak fail-fail yang dikongsikan melalui rangkaian peer-to-peer (p2p) sahaja. Pun begitu, penggunaan teknologi ini merupakan satu langkah permulaan yang baik dalam usaha bersama membanteras jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
Sumber berita diperoleh dari New Straits Times, Imej dari Supian Ahmad, NST