TM telah melaksanakan polisi baharu yang menetapkan gangguan perkhidmatan internet Unifi perlu diselesaikan dalam tempoh 24 jam selepas aduan. Jaminan ini meliputi perkhidmatan Unifi Home dan Unifi Biz bermula dari hari ini.

Jaminan pemulihan semula perkhidmatan dalam tempoh 24 jam ini merangkumi akses fizikal seperti rangkaian fiber. Serta peralatan yang dibekalkan oleh TM kepada pelanggan seperti router Wi-Fi.

Bagaimanapun, jaminan ini hanya tertakluk pada kegagalan sambungan internet atau masalah tergendala sahaja dan tidak melibatkan masalah prestasi capaian.

Tempoh jaminan 24-jam tersebut dikira bermula dari tiket mejabantu rasmi diwujudkan untuk pelanggan berkenaan. Jika TM tidak mampu memulihkan semula sambungan mengikut tempoh jaminan yang telah ditetapkan, pelanggan boleh menebus baucar rebat RM50 untuk bil bulan berikutnya menerusi aplikasi MyUnifi.

Dalam pada masa yang sama, jaminan ini hanya ditawarkan untuk pelanggan Unifi Fibre dengan pelan 100Mbps dan ke atas sahaja. Perkhidmatan Unifi lain seperti Unifi 30Mbps, Unifi Lite, Unifi Air dan Unifi Mobile tidak tertakluk pada perubahan polisi ini.

Tinggalkan komentar