Xiaomi Watch S4 menyaksikan Xiaomi mengemaskini model jam tangan pintar mampu milik keluarannya dengan sekali lagi memperkenalkan kebolehan menukarkan bezel mengikut gaya pilihan pengguna.
Selain itu, Xiaomi turut membawakan versi terkini sistem operasi HyperOS yang memberikan wajah antaramuka pengguna baharu, ciri-ciri gestur dan memudahkan pengendalian peranti-peranti kediaman pintar keluaran Xiaomi.
Sama seperti Xiaomi Watch S3, harga Watch S4 kekal berpatutan pada hanya RM559 sahaja. Menjadikan ia alternatif buat pengguna yang ingin memiliki jam tangan pintar tanpa perlu berbelanja besar. Ia tidak memberikan seluruh ciri-ciri yang terdapat pada jam tangan pintar mahal yang lain, namun ia berupaya melaksanakan fungsi-fungsi yang tersedia padanya dengan amat cemerlang.
Rekabentuk dan Binaan
Perbezaan di antara Watch S4 dengan S3 lebih pada rekabentuknya yang lebih diperhalusi pada bahagian bezelnya. Butang fizikal di atas pada sisinya juga telah digantikan dengan crown berputar, manakala butang fizikal di bawahnya pula dikekalkan untuk memberikan akses segera ke menu tetapan.
Kerangka aluminium aloinya pula didatangkan dengan kemasan warna hitam atau perak dengan ukurannya sedikit besar pada 47.3mm berbanding 47mm pada S3 sebelum ini. Ketebalannya masih sama pada 12mm yang memberikannya rasa yang lebih kurang sama dengan S3 walaupun rupa keseluruhannya berbeza.
Ia kini kelihatan lebih mirip dengan jam tangan analog klasik dengan memanfaatkan bentuk bulat muka jamnya. Malah dengan bezel yang boleh ditukar-ganti, serta tali jamnya yang mempunya pelbagai pilihan dari kain beranyam (woven), kulit atau bahan fluororubber menjadikan ia nampak lebih premium dari harganya. Tali jamnya ini pula merupakan jenis yang amat mudah dilekapkan dengan bahagian jam melalui klip.
Bahagian jam Watch S4 dibuat bagi menampung ciri ketahanan tekanan air sehingga 5ATM, menjadikan ia sesuai untuk dibawa berenang pada kedalaman air sehingga 50 meter.
Skrin dan Audio
Xiaomi mengekalkan saiz dan resolusi skrin AMOLED yang digunakan pada Watch S3 sebelum ini, iaitu 1.43-inci beresolusi 466 x 466 bersama-sama sokongan modĀ always-on display.
Bezanya untuk Watch S4 kali ini adalah pada kecerahan puncak global 1,500 nits dan kecerahan puncak 2,200 nits. Peningkatan berganda-ganda berbanding Watch S3 sebelum ini yang hanya menawarkan sehingga 600 nits sahaja.
Panel AMOLED yang digunakan pada jam tangan pintar bukanlah yang terbaik jika dibandingkan dengan kalangan jam-jam tangan pintar mercu di pasaran pada ketika ini. Namun, warnanya masih lagi terang dan jitu untuk memaparkan antaramuka penggunanya.
Anda boleh menerima panggilan melalui jam tangan pintar ini yang akan menarik secara Bluetooth 5.3 untuk panggilan masuk. Terdapat sepasang mikrofon yang terbina di dalamnya bagi memudahkan anda berborak secara terus padanya tanpa perlu mengangkat telefon.
Perisian dan Fungsi
Xiaomi masih lagi kekal dengan sistem operasi buatannya yang sendiri pada Watch S4 melalui HyperOS 2. Ia boleh digunakan bersama-sama telefon pintar Android dan juga iPhone.
Pun begitu, sama seperti Watch S3, terdapat beberapa ciri tertentu yang tidak boleh digunakan pada iPhone seperti pemain muzik terbina dalamnya.
Selain itu, Xiaomi juga telah mengubahsuai antaramuka penggunanya dengan memanfaatkan kelebihanĀ crown berputar yang disediakan. Anda boleh menatal skrin menu menggunakannya selain boleh juga menggunakannya untuk membaca mesej yang panjang.
Turut disediakan ciri mengambil foto dari telefon pintar secara jarak jauh melalui jam tangan pintar ini. Bagi anda yang memiliki peranti-peranti Xiaomi seperti telefon pintar, tablet atau peranti kediaman pintar, Watch S4 dapat memberikan kelebihan tambahan.
Antaranya ciri gestur baharu untuk berinteraksi dengan tablet Xiaomi, serta mengawal kit kediaman pintar terus dari jam tangan anda.
Penjejakan kesihatan
Buat anda yang inginkan jam tangan pintar yang merekodkan aktiviti senaman, langkah perjalanan dan juga kesejahteraan tubuh anda, Watch S4 menawarkan sokongan yang baik untuk fungsi tersebut.
Ia tidak mempunyai ciri-ciri pemantauan kesihatan yang diperakukan oleh badan-badan pengawal selia, namun ia menawarkan fungsi untuk memeriksa kadar nadi, tahap oksigen dalam darah, stress dan data tidur pengguna. Xiaomi juga menyatakan ia telah menaiktaraf algoritma yang digunakannya untuk membaca data kadar nadi untuk meningkatkan ketepatan pemantauan kadar nadi kepada 98%.
Terdapat lebih dari 150 jenis mod sukan yang boleh dipilih untuk tujuan pemantauan dari renang, hinggalah ke aktiviti memanjat gunung (hiking). Turut disediakan sesi latihan khusus untuk pemula aktiviti larian bersama-sama maklumat tambahan untuk larian seperti beban latihan, tahap VO2 Max dan tahap kepenatan. Sokongan GNSS dwi-frekuensi juga disediakan bagi meningkatkan kejituan penjejakan aktiviti senaman di luar rumah.
Hayat Bateri dan Pengecasan
Tahap penggunaan bateri untuk jam tangan pintar ini boleh mencecah hampir dua minggu, atau kira-kira 14 hari bagi penggunaan yang santai dan ringan. Bagi penggunaan yang sedikit berat seperti pemantauan tahap oksigen di dalam dalam darah (SpO2) dan GPS secara berterusan, ia mampu bertahan sekitar 2 hingga 3 hari sahaja. Pada pandangan saya, tahap penggunaan baterinya ini boleh dikirakan lumayan memandangkan sesetengah jam tangan pintar yang lebih mercu hanya mampu bertahan bagi penggunaan sehari sahaja.
Cuma pengecasnya sahaja yang agak leceh sedikit untuk digunakan. Ia menggunakan 2-pin magnetik untuk disambungkan pada bahagian belakang jamnya dan bukannya pad pengecas.
Kesimpulan
Jam tangan pintar pada harga mampu milik dengan rekabentuk yang menarik merupakan tarikan utama buat Xiaomi Watch S4. Ia mungkin tidak sarat dengan ciri-ciri yang disediakan pada kebanyakan jam tangan pintar dengan sistem operasi Wear OS yang lain, namun ia mempunyai kelebihannya yang tersendiri, terutamanya pada hayat baterinya yang dikira sebagai amat panjang.
Ia juga boleh digunakan dengan pelbagai peranti pintar lain, baik Android mahupun iPhone, justeru menjadikan ia jam tangan pintar paling berbaloi untuk dimiliki pada harga mampu milik.













