Era telefon pintar dengan kecerdasan buatan (artificial intelligence, AI) sedang berlaku dengan semakin banyak model-model yang menawarkannya termasuk Xiaomi 14T Pro yang dilancarkan pada tahun ini. Justeru, menjadikan AI lebih mudah diakses untuk diteroka pada harga yang lebih mampu milik.
Pun begitu, AI bukanlah keutamaan pada telefon pintar peringkat menengah baharu keluaran Xiaomi ini. Penambahbaikannya lebih tertumpu perkakasan, reka bentuk serta pengalaman kepenggunaan antaramuka Xiaomi HyperOS yang agak sarat bagi sesebuah telefon pintar pada harga ini.
Walaupun secara umumnya, model ini tidak dikategorikan sebagai telefon pintar mercu (flagship). Namun, ciri-ciri premium yang ditawarkannya boeh menjadikan ia dianggap sebagai flagship killer.
Harga Xiaomi 14T Pro dan 14T di Malaysia
Siri Xiaomi 14T secara rasminya telah dilancarkan di Malaysia pada September 2024 tidak lama selepas pelancarannya ke pasaran global.
Berkesinambungan dari model sebelumnya, Xiaomi 14T Pro dan 14T masih menawarkan prestasi mercu dan pengalaman fotografi menakjubkan dengan kamera yang dibangunkan secara bersama dengan Leica pada harga yang lebih mesra bajet.
Xiaomi 14T
- Xiaomi 14T, RAM 12GB dan storan 256GB – RM1,899
- Xiaomi 14T, RAM 12GB dan storan 512GB – RM2,199
Xiaomi 14T Pro
- Xiaomi 14T Pro, RAM 12GB dan storan 256GB – RM2,599
- Xiaomi 14T Pro, RAM 12GB dan storan 512GB – RM2,999
- Xiaomi 14T Pro, RAM 12GB dan storan 1TB – RM3,499
Anda boleh mendapatkan siri Xiaomi 14T di kedai dalam talian rasmi Xiaomi Malaysia, Shopee, dan Lazada.
Spesifkasi Xiaomi 14T Pro
Ukuran: | 160.4mm x 75.1mm x 8.39mm |
Berat: | 209g |
Paparan: | AMOLED 6.67-inci CrystalRes |
Resolusi: | 2712 x 1220 |
Kadar segar semula: | Sehingga 144Hz |
Kecerahan puncak: | 4000 nits |
CPU: | MediaTek Dimensity 9300+ |
RAM: | 12GB LPDDR5X |
Storan: | Sehingga 1TB, UFS 4.0 |
OS: | HyperOS berasaskan Android 14 |
Kamera: | Utama 50MP, telefoto 50MP, ultra-lebar 12MP |
Kamera hadapan: | 32MP |
Bateri: | 5,000mAh |
Pengecasan: | berwayar 120W, nirwayar 50W |
Warna: | Titan Gray, Titan Blue, Titan Black |
Reka bentuk
Xiaomi 14T Pro mengambil langkah besar dari segi reka bentuknya berbanding model terdahulu. Hadir dengan tiga pilhan warna iaitu Titan Grey, Titan Blue dan Titan Black, warna-warna yang ditawarkannya ini mungkin membuatkan sesetengah pengguna menyangkakan ia diperbuat daripada titanium walaupun hakikatnya tidak.
Warna-warnanya ini membuatkan telefon pintar ini kelihatan premium bersama-sama kerangka aloi aluminium dan permukaan belakang melengkung 3D. Kemasan belakangnya nampak kemas dan rapi walaupun sering mengundang kesan cap jari. Bagi anda yang mungkin kurang gemar dengan sedikit kesan comot tersebut, anda boleh menggunakan cover yang didatangkan bersama-sama kotak pembungkusannya.
Penambahbaikan yang ketara dari segi reka bentuk hadir dalam bentuk bonggol kamera. Telefon-telefon pintar terbaik Xiaomi pada kebiasaannya popular untuk kameranya yang kebanyakan disumbangkan oleh hasil kerjasamanya dengan Leica.
Xiaomi 14T Pro juga seperti lazimnya mempunyai bonggol yang meliputi lebih dari separuh kelebarannya. Pun begitu, bonggol ini jauh lebih baik dari model sebelumnya dengan kamera belakang pada tahun ini kurang tersembul serta warnanya yang disepadankan. Malah, ketebalan bonggol kamera yang telah dikurangkan ini juga menjadikan ia kurang berjongkat-jongkit apabila digunakan di atas permukaan rata seperti di atas meja dan sebagainya.
Paparan
14T Pro meneruskan gaya masa kini Xiaomi yang meletakkan paparan yang menakjubkan pada model-model telefon pintar yang tidak disangka-sangka. Resolusi paparan ini terletak di antara FHD dan QHD pada resolusi 1220 x 2712 piksel. Resolusi yang unik untuk peranti-peranti keluaran Xiaomi, termasuk Redmi dan Poco.
Paparan dengan teknologi AMOLED CrystalRes pada skrin berukuran 6.67-inci dan kadar kadar penyegaran adaptif ini agak sukar untuk menemukan kekurangannya. Saya mendapati pengalaman yang lancar lagi cantik apabila menikmati kandungan yang dipaparkannya dengan kadar penyegaran semula 144Hz. Malah, ia juga dilindungi oleh Corning Gorilla Glass 5, yang menawarkan perlindungan terhadap calar dan retakan.
Kecerahan puncak paparannya mencecah 4,000 nits dan kurang silau memberikan tontonan yang lebih konsisten dari hampir segenap sudut. Ia juga menyokong Dolby Vision dan HDR10+, yang meningkatkan lagi kualiti visual dengan kontras dan dinamik warna yang lebih baik.
Cuma apa yang sedikit ralat adalah pada tontonan dalam bentuk lanskap yang membuatkan sesetengah kandungan video penstriman tidak dapat ditayangkan sepenuhnya dengan terdapat bar hitam pada hujung atas dan bawah di dalam aplikasi tersebut.
Prestasi
Xiaomi 14T Pro dikuasakan oleh pemproses MediaTek Dimensity 9300+, yang merupakan salah satu cip pemprosesan terkini dan berkuasa di pasaran. Pemproses ini mampu memastikan prestasi yang lancar dan pantas untuk pelbagai tugas, dari penggunaan harian hingga bermain permainan yang berat.
Telefon pintar ini juga dilengkapi dengan RAM 12GB LPDDR5X yang memastikan aplikasi berjalan dengan lancar dan tanpa gangguan. Selain itu, Xiaomi turut menawarkan pilihan untuk menambah RAM maya sehingga 12GB dari storan dalaman.
Pilihan storan dalaman yang ditawarkan adalah 256GB, 512GB, dan 1TB UFS 4.0, yang membolehkan pengguna menyimpan pelbagai fail dan aplikasi tanpa masalah ruang. Walaupun tiada sokongan untuk kad microSD, pilihan storan yang ada sudah mencukupi bagi kebanyakan pengguna.
Perisian dan Kecerdasan Buatan (AI)
Xiaomi 14T Pro menjalankan Android 14 dengan antaramuka Xiaomi HyperOS 1.0.3.0. HyperOS menawarkan pengalaman pengguna yang lancar dan intuitif, dengan pelbagai ciri dan penyesuaian.
Xiaomi berjanji untuk memberikan 4 tahun kemas kini sistem operasi dan 5 tahun kemas kini keselamatan untuk peranti ini. Ini memastikan peranti ini sentiasa dikemas kini dengan ciri-ciri terkini dan selamat digunakan dalam jangka masa yang panjang.
Xiaomi 14T Pro, sebagai sebuah peranti kelas pertengahan premium, turut menawarkan pelbagai ciri kecerdasan buatan (AI) yang bertujuan untuk meningkatkan pengalaman pengguna. Walaupun tidak semua ciri AI ini tersedia secara langsung ketika awal pelancarannya, Xiaomi komited untuk menambah baik dan memperkenalkan ciri-ciri baru melalui kemas kini perisian.
Kebanyakan pengeluar telefon pintar pada masa kini giat memperkenalkan ciri-ciri kecerdasan buatan di dalam produk masing-masing. Cuma untuk Xiaomi, pendekatan yang diambilnya kelihatan ‘agak tenang sedikit.’
Pun begitu, Xiaomi tetap berusaha untuk menawarkan ciri-ciri AI yang berguna dan relevan kepada penggunanya. Ia perlu dilakukan bagi memastikan bahawa ciri-ciri AI yang ditawarkan benar-benar meningkatkan pengalaman pengguna dan bukan sekadar gimik semata-mata.
AI pada Xiaomi 14T Pro
Berikut ciri-ciri AI yang disediakan pada Xiaomi 14T Pro
- Xiaomi Advanced AI: Xiaomi 14T Pro dilengkapi dengan ciri-ciri Xiaomi Advanced AI yang merangkumi beberapa fungsi penting. Ini termasuk AI Image, yang mempunyai ciri AI Potret dan AI Erase Pro. AI Erase Pro membolehkan pengguna untuk menghapus objek yang tidak diingini dari gambar. Kebolehan menghapuskan objek di dalam gambar ini amat berkesan untuk objek yang jelas terasing. Untuk objek-objek di dalam gambar yang kelihatan ‘berserabut’ ia kadangkala tidak begitu menjadi.
- AI Interpreter: Membolehkan terjemahan masa nyata, membantu pengguna berkomunikasi dengan orang yang berbahasa asing. Ciri ini sangat berguna untuk pelancong atau sesiapa sahaja yang sering berinteraksi dengan orang dari pelbagai latar belakang bahasa. Ia juga boleh menterjemahkan perbualan secara langsung.
- AI Notes: Ciri ini membantu pengguna dalam mencatat dan mengurus nota dengan lebih efisien. Ciri ini boleh digunakan untuk meringkaskan nota, mentranskripsikan rakaman suara menjadi teks, dan menyusun nota secara automatik mengikut topik atau format.
- AI Film & AI Subtitle: AI Film merupakan ciri penyuntingan video automatik yang dijana oleh AI, manakala AI Subtitle yang kini masih di dalam peringkat beta, dijangka menawarkan terjemahan automatik untuk sari kata video.
- Google Gemini: Xiaomi 14T Pro juga menyokong Google Gemini, yang merupakan model bahasa raya AI yang berkuasa. Melalui Gemini, pengguna boleh berinteraksi dengan AI untuk pelbagai tugas, termasuk mendapatkan idea tentang apa yang hendak dimasak berdasarkan foto bahan-bahan, atau meminta idea berkenaan sesebuah buku atau lukisan.
- Circle to Search: Xiaomi 14T Pro juga menawarkan ciri Circle to Search, yang membolehkan pengguna melakukan carian pantas berdasarkan apa yang dipaparkan di skrin. Ciri ini pada saya paling memudahkan pengguna dalam memanfaatkan kelebihan AI.
Integrasi AI dalam HyperOS
Ciri-ciri AI ini disepadukan dengan baik dalam sistem operasi HyperOS. HyperOS direka khusus untuk berjalan lancar dengan pelbagai ciri AI generatif, sama ada versi tersendiri atau dengan Google Gemini.
HyperOS memastikan bahawa ciri-ciri AI berjalan dengan efisien dan tanpa sebarang gangguan, memberikan pengalaman pengguna yang lancar dan responsif.
Ciri-ciri AI pada Xiaomi 14T Pro bukan hanya sekadar tambahan, tetapi merupakan sebahagian daripada usaha Xiaomi untuk menjadikan peranti ini lebih pintar dan intuitif, memberikan pengguna pengalaman yang lebih baik.
Kamera
Sistem kamera yang serba boleh dan berkualiti tinggi, sesuai untuk pelbagai jenis fotografi, dan meletakkannya sebagai antara telefon pintar kelas pertengahan yang mempunyai kemampuan fotografi terbaik. Walaupun terdapat beberapa isu kecil, hasil kerjasama Xiaomi dengan Leica bersama-sama ciri-ciri sokongan AI yang disertakan membolehkan telefon pintar ini memberikan kelebihan fotografi yang unik bagi penggemar fotografi mudah alih.
Telefon pintar ini dilengkapi dengan sistem tiga kamera belakang yang direka untuk memberikan fleksibiliti dan kualiti imej yang tinggi dalam pelbagai situasi.
Xiaomi 14T Pro menggunakan sensor utama 50MP Light Fusion 900 dengan apertur f/1.6 dan penstabilan imej optikal (OIS). Sensor ini sama seperti yang terdapat pada Xiaomi 14 standard, dan direka untuk menghasilkan imej yang terperinci dan terang, terutama dalam keadaan cahaya rendah. Xiaomi menggelar sensor ini sebagai Light Fusion 900.
Terdapat juga lensa telefoto 50MP dengan apertur f/2.0 yang menawarkan zum optikal 2.6x. Lensa ini membolehkan pengguna mengambil gambar dengan zum berkualiti tinggi dengan zum optikal 2.6x yang mengekalkan butiran dengan baik. Namun, zum digital melebihi 2.6x akan kelihatan kurang berkualiti.
Seterusnya, lensa sudut ultra lebar 12MP dengan apertur f/2.2 melengkapkan sistem kamera belakang. Lensa ini sangat berguna untuk menangkap pemandangan luas dan imej kumpulan.
Kesemua lensa pada Xiaomi 14T Pro merupakan lensa Leica Vario-Summilux, yang menawarkan julat panjang fokus dari 15mm hingga 60mm, memberikan fleksibiliti dalam pelbagai jenis fotografi.
Sistem kamera ini juga disokong oleh Xiaomi AISP, yang mengintegrasikan kuasa pengkomputeran CPU, GPU, NPU, dan ISP melalui HyperOS, menghasilkan pemprosesan imej yang lebih cekap dan kualiti fotografi yang lebih tinggi.
Ciri-Ciri Tambahan Kamera
Xiaomi 14T Pro menawarkan dua gaya fotografi Leica iaitu Leica Authentic dan Leica Vibrant. Leica Authentic menghasilkan tona warna yang lebih hidup, manakala Leica Vibrant menghasilkan tona warna yang lebih terang.
Walau bagaimanapun, pengguna perlu mengambil kira keadaaan pencahayaan persekitaran apabila menggunakan mod ini kerana adakalanya imej yang dihasilkan menjadi sedikit gelap.
Telefon pintar ini juga dilengkapkan dengan sistem Master Lens yang meniru empat panjang fokus yang popular di dalam mod potret bagi meningkatkan lagi fleksibiliti fotografi.
Algoritma FusionLM, ColorLM, ToneLM, dan PortraitLM pula digunakan untuk menghasilkan imej potret yang berkualiti tinggi serta UltraHDR.
Sebelum saya terlupa, untuk swafoto, Xiaomi 14T Pro mempunyai kamera depan 32MP dengan apertur f/2.0. Namun, kualiti swafotonya memuaskan dalam keadaan pencahayaan yang baik tetapi tidak begitu bagus dalam cahaya rendah. Kamera hadapan ini juga tidak mempunyai autofokus.
Kualiti imej yang dihasilkan
Kualiti imej yang dihasilkan oleh Xiaomi 14T Pro secara keseluruhannya adalah sangat baik, dengan warna yang seimbang, butiran yang jelas dan sokongan Ultra HDR. Hasil kamera ini juga kelihatan setanding dengan kamera nircermin mahal. Ini sekadar pandangan mata saya sahaja.
Prestasi dalam keadaan cahaya rendah adalah sangat baik, dengan keupayaan untuk mengekalkan butiran dan mengurangkan hingar. Namun, mod malam kadang-kala tidak konsisten dengan kadangkala menghasilkan hingar.
Untuk rakaman video pula, Xiaomi 14T Pro boleh merekodkan sehingga 8K pada 30fps. Kualiti rakaman video juga baik dengan butiran dan warna yang memuaskan dan amat sesuai untuk tujuan vlog.
Bateri dan ciri-ciri lain
Xiaomi 14T Pro dilengkapi dengan bateri berkapasiti 5000mAh yang mampu memberikan hayat bateri yang mencukupi untuk penggunaan sepanjang hari.
Ia juga menyokong pengecasan pantas berwayar 120W HyperCharge yang mampu mengecas bateri dari sifar hingga 100% dalam masa yang sangat singkat. Pengecasan tanpa wayar 50W juga disediakan.
Kesimpulan
Xiaomi 14T Pro adalah peranti pertengahan yang sangat baik yang menawarkan kombinasi yang menarik antara prestasi, kualiti kamera, dan reka bentuk. Ia merupakan pilihan yang tepat bagi mereka yang mencari peranti yang mampu memberikan pengalaman fotografi yang hebat, terutama dalam keadaan kurang cahaya, serta prestasi yang lancar untuk pelbagai tugas harian.
Walaupun terdapat beberapa kekurangan seperti ketiadaan slot kad microSD dan port USB-C yang terhad, secara keseluruhan, Xiaomi 14T Pro memberikan nilai yang sangat baik untuk wang anda. Ia adalah peranti yang sangat disyorkan untuk pengguna yang mementingkan kualiti dan tidak mahu berkompromi dari segi prestasi dan kemampuan fotografi.
Sokongan kemas kini perisian yang lebih panjang dari Xiaomi juga menjanjikan pengalaman penggunaan yang memuaskan dalam jangka masa yang panjang. Xiaomi 14T Pro adalah bukti bahawa peranti pertengahan juga boleh menawarkan pengalaman yang hampir sama dengan peranti mercu, menjadikannya pilihan yang sangat menarik di pasaran Malaysia.