Dilancarkan pada bulan lepas di China, realme 11x 5G mula memasuki pasaran Malaysia melalui U Mobile. Pelanggan-pelanggan di Malaysia boleh mendapatkan telefon pintar peringkat menengah ini secara percuma melalui pelan U Mobile U Postpaid 98.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan, realme Malaysia menyatakan 11x 5G hanya ditawarkan dengan konfigurasi RAM 8GB dan storan 128GB. Melalui pelan pascabayar ini juga, telefon pintar yang berharga RM999 di pasaran ini ditawarkan dengan pilihan warna Purple Dawn dan Midnight Black.
realme 11x 5G menggunakan pemprosesan MediaTek Dimensity 6100+ dengan bateri berkapasiti 5,000mAh yang menyokong pengecasan SUPERVOOC 33W melalui port USB-C.
Untuk paparannya pula, telefon pintar ini menawarkan skrin LCD 6.72-inci beresolusi Full HD+ 120Hz dengan kecerahan sehingga 650 nits. Skrin ini juga mempunyai bahagian berpenebuk lubang pada bahagian atasnya yang menempatkan satu kamera 8MP.
Bahagian belakangnya pula mempunyai dwi-kamera yang terdiri daripada satu kamera utama 64MP dengan AI, dan satu kamera berkedalaman 2MP. Lain-lain ciri yang disediakannya termasuklah sokongan 5G, dwi-kad SIM, Bluetooth 5.2, bicu audio 3.5mm, slot kad mikroSD dan pengimbas cap jari pada bahagian sisinya.
Maklumat lanjut mengenai realme 11x 5G dan Pelan U Mobile U Postpaid 98 ini, layari laman web rasmi U Mobile.