Utama Samsung Ulasan Samsung Galaxy Tab S9: Tablet berkuasa berharga premium

Ulasan Samsung Galaxy Tab S9: Tablet berkuasa berharga premium

434
0

Tablet sehingga kini masih lagi dilihat sedang mengalami krisis identiti. Jika ketika era iPad generasi pertama dan tablet Android yang seangkatan dengannya, peranti berkenaan sering digunakan bagi tujuan hiburan seperti menonton video.

Namun, selepas kehadiran Microsoft Surface yang mula memberikan tumpuan terhadap pelbagai kegunaan produktiviti dengan membawakan papan kekunci fizikal, pena stylus dan juga skrin yang lebih besar, tablet dilihat mampu memberikan saingan terhadap laptop.

Jika anda inginkan tablet Android yang bagus untuk menyiapkan tugasan anda, Galaxy Tab S9 merupakan pilihan yang terbaik setakat ini. Berbeza dengan dua lagi model di dalam siri ini yang amat besar, saiz 11-inci untuk model ini amat memadai bagi kegunaan tontonan video dan permainan.

Kelebihan dan Kekurangan Galaxy Tab S9

Harga jualan bagi tablet ini dikira sebagai agak tinggi jika mengambil kira faktor ekonomi semasa. Justeru, timbul persoalan adakah tablet berbaloi untuk digunakan sebagai peranti produktiviti memandangkan harganya pun menyamai harga sebuah laptop.

Kelebihan Galaxy Tab S9

Kekurangan Galaxy Tab S9

  • Skrin AMOLED terbaik di pasaran
  • Prestasi cemerlang dan penggunaan bateri yang cekap
  • Ada S-Pen disertakan bersama
  • Dex Mode (lebih bagus jika digunakan bersama-sama aksesori papan kekunci)
  • Harga yang tinggi
  • Tidak sesuai digunakan bersama-sama aksesori model-model terdahulu
  • Beberapa aplikasi kreativiti seperti Procreate di platform lain tidak terdapat di dalam tablet ini

Spesifikasi Galaxy Tab S9

  • Skrin: AMOLED 11-inci, 2560 x 1600, 120Hz
  • Pemprosesan: Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2 for Galaxy
  • RAM: 8GB dan 12GB
  • Storan: 128/256GB
  • Kamera:
    • Kamera utama: 200MP, f/1.9
    • Kamera hadapan: 50MP, f/2.4
  • Bateri: 8,400mAh
  • Pengecasan: Berwayar – 25W, USB-C
  • Sistem operasi: Android 13 melalui antaramuka One UI 5.1
  • Ketersambungan: LTE, Wi-Fi 6E, Bluetooth 5.3
  • Warna: Beige, Graphite

Rekabentuk dan Skrin

Galaxy Tab S9 tidak membawakan begitu banyak perubahan dari segi bentuk rekaan luarannya sungguhpun dilancarkan kira-kira lapan belas bulan selepas Galaxy Tab S8.

Hal ini bukanlah perkara yang besar kerana rekaan sedia ada tidak mengganggu kefungsian tablet.

Namun, ia memberikan kesan jika anda ingin menggunakan aksesori dari model terdahulu. Misalnya bahagian kamera belakang, ruang menyimpan S Pen serta pin pogo untuk papan kekuncinya dianjakkan sedikit dan menyebabkan aksesori dari Tab S8 tidak dapat digunakan pada Galaxy Tab S9.

Kekecewaan tersebut sedikit terubat apabila melihat kualiti paparan pada skrin Galaxy Tab S9 yang menggunakan AMOLED. Pada saiz 11-inci, anda boleh menikmati kandungan penstriman dari Netflix atau Youtube dengan lebih puas melalui skrin ini walaupun paparannya bernisbah 16:10.

Perkakasan dan aksesori yang didatangkan bersama

Tablet ini menyediakan sokongan pengimbas cap jari terbina bawah skrin seperti yang ditawarkan pada tablet Galaxy Tab S8 Ultra sebelum ini. Kelebihan dengan cara ini dapat membolehkan kedudukan cap jari boleh berubah secara automatik mengikut orientasi ia diletakkan.

Seperti biasa, S Pen turut disediakan bagi tablet mercu keluaran Samsung tahun ini tanpa perlu dibeli secara berasingan seperti sesetengah tablet. Pena stylus berkenaan juga menerima penarafan kerintangan air dan debu IP68 bagi meningkatkan tahap kelasakannya.

Selain S Pen, di dalam kotak pembungkusan Galaxy Tab S9 turut menyediakan satu kabel USB-C, satu pin penolak dulang kad SIM/SD, dan juga helaian waranti dan manual. Tiada pengecas disediakan bersama-sama dengannya.

Perisian dan Prestasi

Sama seperti telefon pintar boleh lipat Samsung yang terkini, Galaxy Tab S9 menggunakan One UI 5.1.1 yang berasaskan Android 13. Beberapa penambahbaikan terutamanya berkaitan fungsi berbilang tugasan (multitasking) diberikan lebih penekanan di dalam versi sistem operasi tersebut.

Misalnya, untuk taskbar, ia mampu diletakkan lebih banyak aplikasi terkini (recent) jika dibandingkan sebelum ini. Ia dapat memudahkan pengguna saling bertukar-tukar di antara aplikasi.

Galaxy Tab S9 juga menyokong mod Dex yang menukarkan Android kepada antaramuka dekstop mirip sistem operasi Windows. Sesetengah aplikasi-aplikasi yang dibuka di dalam mod ini juga akan dibuka dalam mod desktop. Mod Dex ini juga lebih mantap digunakan bersama-sama aksesori papan kekunci dan tetikus nirwayar kerana ia mampu meningkatkan produktiviti ketika menyiapkan tugasan.

Bagi anda yang cenderung ke arah penghasilan karya seni digital melalui Galaxy Tab S9, anda boleh memanfaatkan kelebihan S Pen menerusi aplikasi seni digital untuk peranti Android seperti Sketchbook dan Clip Studio Paint.

Dijangkakan di masa akan datang terdapat lebih banyak lagi aplikasi yang menawarkan sokongan paparan desktop seperti ini hasil dari kerjasama yang lebih erat di antara Samsung dengan Google.

Terdapat beberapa aplikasi yang masih belum menawarkan aplikasi untuk dipaparkan di dalam bentuk desktop seperti Instagram. Orientasinya akan kekal dalam bentuk portret dan kelihatan janggal jika diletakkan secara melintang di dalam tablet ini.

Kamera

Hanya satu kamera sahaja disediakan untuk Galaxy Tab S9 iaitu ultra-lebar 13MP f/2.0 dengan sokongan auto-fokus. Kualiti fotonya tidaklah begitu memukau dan ia sekadar ‘cukup syarat’ sahaja bagi menyokong penggunaan fungsi-fungsi lain melalui aplikasi-aplikasi di dalamnya.

Ia mencukupi untuk kegunaan mengimbas dokumen atau menyalin nota dari papan putih sebagai rujukan untuk tugasan pembelajaran.

Pada sebelah hadapannya pula, tablet ini juga menawarkan satu kamera 12MP f/2.4 sahaja yang amat berguna bagi tujuan panggilan video atau mesyuarat dalam talian.

Bateri

Prestasi bateri untuk peranti seperti tablet amat jarang mengecewakan pada hemat saya. Untuk Galaxy Tab S9 ini, baterinya yang berkapasiti 8,400mAh mampu bertahan selama kira-kira tiga hari selepas dicaskan sehingga penuh.

Tempoh baterinya pula bergantung pada tahap penggunaan dan aplikasi yang dibuka. Jika sekadar menonton video dan melayari laman web, ia mampu bertahan lebih dari sehari. Melainkan jika anda memainkan permainan bergrafik tinggi seperti Civilzation VI, tahap baterinya tidak akan mencapai sehingga satu hari suntuk.

Galaxy Tab S9 menyokong pengecasan pantas sehingga 45W, namun pengecasnya tidak disertakan bersama-sama kotak pembungkusannya.

Harga Samsung Galaxy Tab S9 di Malaysia

Di Malaysia, Galaxy Tab S9 ditawarkan dengan pilihan warna Beige atau Graphite (seperti unit ulasan yang kami terima). Harganya pula ditawarkan mengikut spesifikasi serta kapasiti storan dan memorinya.

  • Galaxy Tab S9 256GB dengan aksesori papan kekunci khas: RM4,849 (5G) / RM4,199 (Wi-Fi)
  • Galaxy Tab S9 128GB: RM4,349 (5G) / RM3,699 (Wi-Fi)

Anda juga boleh mendapatkan aksesori papan kekuncinya (Book Cover Keyboard for Galaxy Tab S9) secara berasingan pada harga seperti berikut:

  • Book Cover Keyboard for Galaxy Tab S9: RM899

Maklumat lanjut, layari laman web rasmi Samsung Malaysia hari ini.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.