Utama Android Samsung Ulasan Samsung Galaxy Tab S8 Ultra: Gergasi Produktiviti dalam bentuk Tablet Android

Ulasan Samsung Galaxy Tab S8 Ultra: Gergasi Produktiviti dalam bentuk Tablet Android

1021
0
Samsung Galaxy Tab S8 Ultra Review-1

Samsung sejak sekitar tahun 2019 telah mula memperkenalkan telefon pintar terbarunya dalam bentuk tiga saiz, iaitu kecil, besar dan yang paling besar. Sejak dari itu, pelbagai telefon pintar arus perdananya hadir dalam bentuk berkenaan. Kini, giliran tablet-tablet keluarannya pula hadir dalam bentuk tersebut menerusi siri Galaxy Tab S8.

Tablet yang dilancarkan bersama-sama Samsung Galaxy S22 Ultra pada Februari baru-baru ini hadir dengan tiga model –  Galaxy S8, Galaxy S8 Plus dan Galaxy S8 Ultra. Antara ketiga-tiga ‘beradik’ ini, Samsung Galaxy S8 Ultra menawarkan spesifikasi yang paling besar.

Selepas hampir dua minggu menggunakannya, apa yang saya dapat ungkapkan mengenai tablet ini adalah ia merupakan tablet paling versatil setakat ini. Penggunaannya meliputi perihal kerja mahupun bermain dapat dikendalikan dengan amat cemerlang.

Perkakasan yang mantap

Samsung Galaxy Tab S8 Ultra memuatkan segala teknologi mudah alih terbaik yang terdapat pada tahun 2022 ini. Antaranya, penggunaan paparan Samsung Super AMOLED. Skrin ini diketahui menawarkan teknologi paparan yang terbaik setakat ini menerusi penghasilan warna yang lebih menawan dan menonjol. Keindahannya ini juga turut dibantu oleh kadar penyegaran semula setinggi 120Hz bagi meningkatkan kelancaran pergerakan yang dihasilkan pada paparannya.

Paparan terbaik dari Samsung ini banyak digunakan pada pelbagai jenis telefon pintar, namun amat jarang digunakan untuk saiz yang sebesar 14.6-inci seperti Galaxy Tab S8 Ultra. Segala apa yang ditayangkan olehnya, baik foto-foto Instagram mahupun filem-filem Netflix dapat dinikmati dengan lebih imersif pada paparan yang lebih besar.Samsung Galaxy Tab S8 Ultra Review-7

Sungguhpun hadir dengan saiz paparan yang besar melalui lebar 8.2-inci dan panjang 12-inci, tablet ini mampu hadir dalam bentuk yang amat nipis 5.5mm dan ringan, iaitu hanya 0.726 kg sahaja. Namun, saya merasa agak janggal untuk menggunakannya sepertimana penggunaan telefon pintar atau tablet bersaiz biasa atas faktor saiz paparan Galaxy Tab S8 Ultra ini. Saya lebih cenderung untuk menggunakannya seperti sebuah laptop jika ingin menggunakannya untuk tempoh yang panjang kerana lengan saya berasa lenguh jika memegangnya lebih dari 15 minit.

Kuasa Pemprosesan Snapdragon 8 Gen 1

Di dalam tablet ini terdapat Snapdragon 8 Gen 1, cipset terkini keluaran Qualcomm yang kuasa pemprosesannya mengatasi kebanyakan pemprosesan komputer. Untuk pasaran Malaysia, RAM yang ditawarkannya adalah 12GB sahaja, manakala storannya pula hanya 256GB dan boleh diperluaskan melalui slot kad mikroSD sehingga 1TB. Kapasiti baterinya pula agak mengejutkan kerana Samsung mampu menampilkan bateri berkapasiti 11,400mAh pada tablet yang senipis ini.

Namun, kadar penggunaan bateri Samsung Galaxy Tab S8 Ultra yang tinggi membuatkan kapasiti tersebut mampu bertahan sekitar 10 atau 11 jam sahaja. Biasanya saya akan mengecaskannya semula selepas menggunakannya dalam setengah hari.

Memandangkan tablet ini merupakan peranti Android yang dipenuhi dengan segala kegagahan perkakasan yang tiada tolok banding pada mana-mana tablet setakat ini, saya benar-benar menikmati kualiti paparan yang dihidangkan menerusi tontonan Netflix dan juga YouTube dalam resolusi ultra tinggi.

S-Pen

Samsung Galaxy Tab S8 Ultra turut menyokong pena stylus Samsung S Pen dan ia turut disertakan bersama-sama pakej pembungkusannya. Ia amat berguna untuk mencatit nota dan juga melukis. Selain itu, anda juga boleh menggunakannya untuk menulis tulisan Jawi pada nota-nota anda.Samsung Galaxy Tab S8 Ultra Review-6

Samsung turut menyertakan perisian pengubah teks yang menukarkan perkataan yang ditulis ke dalam bentuk teks. Ia juga amat membantu pengguna-pengguna yang ingin menulis tulisan Cina ke dalam bentuk tulisan pinyin dengan lebih tepat.

Pena stylus ini mudah melekap secara magnetik pada bahagian belakang tablet ini sambil dicaskan. Ia mempunyai kadar responsif yang tinggi iaitu hanya 2.8 milisaat sahaja dan bagi artis lukisan digital sendu seperti saya, kadar ini lebih dari memadai. Secara ringkasnya, penggunaan pena stylus ini begitu lancar seumpama menulis di atas kertas secara fizikal.

Berbeza dengan sesetengah tablet dengan pena stylus yang menawarkan aksesori tersebut secara berasingan, Galaxy Tab S8 Ultra menyertakan S Pen secara percuma di dalam kotak pakej pembungkusannya. Ini merupakan satu bonus kerana pengguna tidak perlu membelikannya secara berasingan.

Papan kekunci khasi Galaxy Tab S8 Ultra

Namun, menggunakan Galaxy Tab S8 Ultra sekadar sebuah tablet semata-mata dirasakan agak membazirkan potensinya. Oleh kerana peranti ini dihasilkan dengan matlamat sebagai sebuah peranti produktiviti, Samsung turut menyediakan bekas papan kekunci khusus untuk tablet ini bagi meningkatkan kemampuannya. Bagi pasaran Malaysia, bekas pelapik dengan papan kekunci khas ini diberikan secara percuma bagi pembelian tablet ini.Samsung Galaxy Tab S8 Ultra Review-2

Pelbagai ciri menarik disediakan menerusi penggunaan papan kekunci ini dengan Samsung Galaxy Tab S8 Ultra ini. Antaranya, pad penjejak (trackpad), pencahayaan latar pada kekunci (backlit), dan juga pelbagai kekunci pintas bagi meningkatkan kecekapan kerja anda. Melalui sokongan kekunci pintas ini, anda dapat meningkatkan produktiviti anda dengan fungsi seperti CTRL+C (salin), CTRL+X (potong), CTRL+V (tampal) dan CTRL+Z (ubah kembali) dan sebagainya.

Sokongan Samsung DeX menampung keperluan produktiviti desktop pada Android

Tablet Android pada kebiasaannya tidak mengoptimasikan aplikasi Android pada skrin besar. Hal ini kerana Google kurang memberikan tumpuan terhadap pengoptimasian aplikasi Android pada tablet sepertimana Apple memfokuskan pada iPad. Tambahan pula, sebahagian pembangun aplikasi Android juga kurang menekankan kelebihan tablet pada aplikasi masing-masing lantaran isu ini.

Atas sebab itu, Samsung cuba membaiki isu ini melalui DeX Mode. Ia merupakan sebuah sandbox di dalam Android versi Galaxy Tab S8 Ultra yang mengubah rekabentuk antaramuka penggunanya (UI) mirip dengan UI komputer desktop.

Aplikasi-aplikasi yang dibuka di dalam mod ini akan hadir dalam tetingkap yang kecil dan boleh diubah-ubah saiznya berbanding kebiasaan aplikasi Android yang akan memenuhkan skrin sebaik sahaja dibuka. Ini juga membolehkan aplikasi yang tidak direka untuk tablet berskrin lebar dan luas hadir dalam bentuk menegak seperti rekaan asalnya.

Samsung DeX juga membolehkan pengguna sebilangan aplikasi secara serentak. Oleh kerana faktor saiz skrin 14.6-inci Galaxy Tab S8 Ultra yang amat besar ini, saya mampu menjalankan dan membuka ketiga-tiga aplikasi secara serentak dengan mudah. Anda juga boleh membuka sehingga empat aplikasi secara serentak dan menyusun tetingkapnya mengikut kesesuaian.

Kamera Samsung Galaxy Tab S8 Ultra

Galaxy Tab S8 Ultra menyediakan dua buah kamera hadapan 12MP yang mampu mengambil imej biasa dan juga ultra-lebar. Pada bahagian belakangnya pula disediakan dua buah kamera masing-masing 13MP dan 6MP. Kesemua kamera-kamera yang disediakan ini berkeupayaan merakamkan video beresolusi 4K pada kadar 60fps. Turut disediakan teknologi auto-framing yang menggerakkan kamera bagi memastikan imej wajah anda kekal di dalam frame ketika sesi mesyuarat dalam talian.Samsung Galaxy Tab S8 Ultra Review-3

Sepanjang penggunaan kamera ini di dalam keadaan pencahayaan yang baik, kualiti yang disediakannya boleh dikirakan amat baik. Begitu juga pada kamera bahagian belakangnya yang mampu merakamkan foto dan video dengan begitu baik. Fungsi dan ciri kamera yang disediakan pada tablet ini dianggap lebih dari memadai pada pandangan saya. Samsung Galaxy Tab S8 yang mengetengahkan ciri produktiviti ini menawarkan kamera hadapan yang sangat baik untuk kegunaan panggilan video dalam talian.

Bateri Samsung Galaxy Tab S8 Ultra

Ciri-ciri yang ditawarkan pada Galaxy Tab S8 Ultra ini secara keseluruhannya adalah amat baik, namun untuk prestasi baterinya pula boleh dianggap sederhana sahaja. Ini kerana faktor saiz skrinnya yang terlalu besar memerlukan penggunaan kuasa bateri yang lebih tinggi.Samsung Galaxy Tab S8 Ultra Review-5

Pada kebiasaannya, penggunaan tablet ini saya dapat mampu bertahan sekitar lebih kurang 9 jam bagi penggunaan melibatkan internet secara berterusan. Jika menggunakannya secara sekali sekala, seperti menonton YouTube atau menulis, saya mampu menggunakan tablet ini sehingga lebih dari satu hari. Untuk mengecas, tablet ini menyokong pengecasan sehingga 45W.

Promosi Samsung Galaxy Tab S8

Pembelian tablet Samsung Galaxy Tab S8, S8 Plus atau S8 Ultra, anda akan menerima Book Cover Keyboard, S-Pen dan satu Pouch Bag percuma.

Untuk maklumat lanjut Samsung Galaxy Tab S8 Ultra, layari laman web Samsung Malaysia di pautan berikut: https://www.samsung.com/my/tablets/galaxy-tab-s/galaxy-tab-s8-ultra-wifi-graphite-256gb-sm-x900nzajxme/

Atau anda boleh berkunjung di kedai-kedai Samsung dan wakil pengedarnya yang sah berhampiran anda hari ini.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.