Utama Samsung Ulasan Samsung Galaxy Tab S10+; Tablet Android yang baik untuk Produktiviti

Ulasan Samsung Galaxy Tab S10+; Tablet Android yang baik untuk Produktiviti

479
0

Untuk pertama kalinya sejak pelancaran Galaxy Tab S2, siri Galaxy Tab S kini kembali dilancarkan secara tahunan. Siri Galaxy Tab S10 hadir tidak lama selepas 12 bulan model sebelumnya dilancarkan. Untuk siri kali ini, model Galaxy Tab S10 standard berukuran 11-inci tidak ditawarkan.

Ini bermakna, untuk tahun ini siri tablet mercu Samsung berkenaan hadir dengan Galaxy Tab S10+ dan Tab S10 Ultra sahaja. Tidak banyak perubahan dari segi rekabentuk luaran tablet keluaran tahun ini dengan model tahun lepas, namun ia masih menawarkan beberapa penambahbaikan dari segi perkakasannya.

Tablet mercu yang mengikut jejak langkah modelnya yang terdahulu ini masih lagi terkehadapan dari segi penawaran fungsi-fungsi keseluruhannya. Ia mempunyai skrin yang besar, pena stylus S Pen yang didatangkan bersama, prestasi yang cemerlang, hayat bateri yang baik dan buat julung kalinya pada tablet keluaran Samsung, sokongan Galaxy AI.

Spesifikasi

Sistem operasi Android 14
Ukuran 7.30 x 11.24 x 0.22 inci
Berat 571 gram
Saiz skrin 12.4 inci
Resolusi skrin 2,800 x 1,752 piksel
CPU MediaTek Dimensity 9300+
Kapasiti storan 256 GB
Bateri 10,090 mAh

Harga Samsung Galaxy Tab S10+ di Malaysia

Galaxy Tab S10+ ditawarkan dengan pilihan warna Moonstone Grey untuk model 5G dan untuk model Wi-Fi sahaja pula ia ditawarkan dengan warna pilihan Platinum Silver. Turut disediakan aksesori Book Cover Keyboard Slim (dengan AI Key) berharga RM949 yang dijual secara berasingan. Anda boleh mendapatkan tablet ini menerusi kedai dalam talian rasmi Samsung Malaysia dan wakil-wakil pengedar yang sah pada harga seperti berikut:

  • Samsung Galaxy Tab S10+ 12.4-inci 256GB WiFi – RM4,599
  • Samsung Galaxy Tab S10+ 12.4-inci 256GB WiFi + 5G – RM5,249

Reka bentuk

Beberapa generasi yang lepas, siri Galaxy Tab S keluaran Samsung sering hadir dengan tiga buah model iaitu standard, Plus dan Ultra. Untuk tahun ini pula hanya dua pilihan iaitu Plus dan Ultra.

Berbanding model Plus, model Ultra lebih tinggi harganya yang bermula dari RM5,999 dengan skrinnya pula lebih besar pada ukuran 14.6-inci. Selain dari saiz skrin dan juga saiz baterinya, kedua-dua Tab S10+ dan S10 Ultra berkongsikan spesifikasi perkakasan dan ciri-ciri yang sama.

S10+ mungkin boleh dianggap sama seperti model sebelumnya kerana rupa luaran yang hampir sama. Galaxy Tab S10+ berukuran 7.30 x 11.24 x 0.22 inci, yang hampir menyamai Tab S9+ yang berukuran 7.30 x 11.23 x 0.22-inci dan Tab S9 FE+ yang berukuran 7.30 x 11.24 x 0.26 inci.

Bagaimanapun, pastinya ia lebih kecil berbanding Galaxy Tab S10 Ultra yang berukuran 8.21 x 12.85 x 0.21 inci dan juga Apple iPad Pro 13-inci yang berukuran 8.48 x 11.09 x 0.20 inci.

Samsung juga memastikan tablet ini tidak menjadi lebih berat dengan Tab S10+ model Wi-Fi sahaja hanya seberat 571 gram dan untuk model 5G + Wi-Fi pula beratnya lebih sedikit pada 576 gram.

Binaan yang lebih teguh

Tablet ini diperbuat daripada bahan-bahan berkualiti dan menampilkan bucunya yang membulat bagi pengendalian yang lebih selesa. Saiznya juga menjadikan ia lebih mudah untuk dipegang atau dibawa ke mana-mana bagi tujuan produktiviti mahupun aktiviti santai.

Paparannya dilindungi oleh kaca Corning Gorilla Glass 5 dengan kamera hadapannya ditempatkan pada bahagian tengah apabila diletakkan secara melintang. Garis antenanya merentasi panel bahagian belakangnya yang turut menempatkan logo Samsung, modul-modul kamera dan juga ruangan bermagnetik untuk mengecas S Pen.

Butang kuasa dan audio pula ditempatkan pada sisi penjuru kiri atas dan mudah dicapai apabila digunakan. Pada sisi kiri juga menempatkan dulang kad mikrod SD dan dua corong pembesar suara. Dua lagi corong pembesar suara mengapit port USB-C (3.2 Gen 1) pada sebelah kanan. Penyambung pin Pogo pada bahagian bawahnya pula disediakan bagi tujuan penyambungan dengan aksesori.

Samsung menempatkan sensor pengimbas cap jari terbina bawah skrin pada bahagian kanan skrinnya. Pembaca cap jari tersebut berfungsi dengan lancar dalam pelbagai cara tablet ini diorientasikan sama ada menegak atau melintang. Selain cap jari, sebuah lagi fungsi biometrik pengecaman wajah juga disediakan dengan menggunakan kamera hadapannya.

Menurut Samsung, kerangka Armor Aluminium tablet ini 10% lebih tahan lasak terhadap kesan calar dan ketukan berbanding model terdahulu. Ia juga mempunyai penarafan kerintangan IP68 dan menjadikan ia kalis debu dan kalis air. Sebagai perbandingan, tiada satu pun iPad yang mempunyai ciri kalis air.

Pena stylus S Pen juga mempunyai ciri kerintangan air dan debu. Dari keselesaan, kami mendapati pena stylus ini selesa apabila dipegang dan juga digunakan. Sentuhannya pada atas skrin juga dapat dirasakan lebih semula jadi. Terdapat satu bahagian rata pada S Pen ini yang dapat mengelakkan ia bergolek ketika diletakkan. Bahagian rata ini juga berperanan penting untuk dilekapkan secara magnetik pada permukaan belakang tablet ini untuk dicaskan.

Tidak banyak pilihan warna yang ditawarkan untuk model ini. Hanya warna Moonstone Grey dan Platinum Silver disediakan untuk model Wi-Fi sahaja. Manakala untuk model 5G + Wi-Fi pula ia hanya menawarkan warna Moonstone Grey sahaja.

Paparan

Paparan Galaxy S10+ kelihatan amat jitu, berseri dan responsif melalui panel Dynamic AMOLED 2X 12.4-inci beresolusi 2,800 x 1,752 piksel dengan nisbah aspek 16:10. Ia mempunyai kadar penyegaran semula 120Hz dan kecerahan puncak 650 nits.

Samsung turut mengemaskini skrin Galaxy Tab S10+ ini dengan lapisan anti-pantulan. Paparannya ini kami lihat jelas kelihatan walaupun ketika di luar ketika cuaca panas terik dengan sedikit pancaran silau. Cuma apabila terkena sinaran matahari secara terus, paparannya ini mengalami sedikit kesukaran untuk melihatnya. Namun, ia jauh lebih baik jika dibandingkan dengan S9 FE yang hanya menggunakan paparan LCD.

Prestasi

Sama seperti desas-desus sebelum ini yang mengatakan tablet mercu keluaran Samsung berikutnya ini akan menggunakan MediaTek Dimensity 9300+. Perubahan yang mendadak berbanding sebelum ini yang pada kebiasaannya menggunakan pemprosesan Qualcomm seperti pada tahun lalu yang menggunakan Snapdragon 8 Gen 2.

Tablet ini juga mempunyai kapasiti memori yang lumayan dengan RAM sebanyak 12GB bersama-sama pilihan storan 256GB dan 512GB untuk model Wi-Fi sahaja. Slot kad mikroSD yang disediakannya pula menyokong sehingga 1.5TB storan tambahan.

Menerusi ujian penanda aras kuasa perkomputeran Geekbench 6, Tab S10+ mencapai 2,072 mata di dalam ujian teras tunggal dan 7,242 mata untuk ujian berbilang teras. Sebagai perbandingan, Samsung Exynos 1380 pada S9 FE pula mencatatkan mata masing-masing 1,011 dan 2,897.

Prestasi memainkan permainan mudah alih menunjukkan kualiti yang menakjubkan. Permainan seperti Mobile Legend Bang Bang (MLBB) dapat dimainkan pada kualiti ultra tanpa sebarang masalah mahupun kelembapan. Imej yang dipaparkan jelas serta animasinya amat lancar dengan bahagian belakangnya tidak menjadi panas seperti sesetengah pemprosesan apabila memainkan permainan mudah alih.

Jika memainkan permainan mudah alih pun sudah lancar, pastinya pengendalian untuk tugas-tugas harian lain sepeti membaca email, melayari laman web atau menggunakan aplikasi produktiviti juga amat lancar. Tablet ini mampu melakukan pertukaran antara aplikasi-aplikasi yang sedang dibuka disamping boleh membuka lebih daripada satu aplikasi dalam satu paparan.

Perisian

Antaramuka yang digunakannya, Samsung One UI 6.1.1 berasaskan Android 14 ini menampilkan pelbagai alatan dan fungsi seperti sokongan berbilang tugasan, Edge Panels, Samsung DeX dan juga Galaxy AI.

Untuk Galaxy AI, tablet ini menampilkan ciri-ciri seperti fungsi Circle to Search, Potrait Studio, dan Browser Assist yang membantu anda membuat rumusan dari sesebuah laman web. Note Assist pula membantu anda memformatkan semula nota-nota anda agar kelihatan lebih tersusun. Manakala Chat Assist pula membantu menghantar mesej balasan dengan memberikan cadangan kepada anda.

Sama seperti Galaxy S24 FE, ciri Sketch to Image menerusi salah satu ciri Galaxy AI turut disediakan di dalam tablet ini. Anda boleh menconteng apa-apa lukisan dan Galaxy AI seterusnya akan mengubahkannya ke bentuk yang lebih kemas mengikut apa yang anda lukiskan sebelum itu.

Melukis menggunakan tablet siri Galaxy Tab S10 juga menjadi lebih mudah dengan menggunakan S Pen yang disertakan bersama-sama dengannya. Tidak jauh bezanya dengan keluaran sebelumnya, S Pen dapat dikendalikan dengan lancar serta amat responsif terhadap tekanan. Misalnya garisan akan menjadi lebih tebal jika anda menekan dengan kuat menggunakan mata S Pen, dan jika tekanannya ringan garisnya menjadi lebih halus.

Selain daripada Galaxy AI, melakukan yang terbaik untuk menjadikan sistem operasi Android lebih berguna pada tablet. Melalui Samsung One UI, anda boleh membuka sehingga tiga aplikasi serentak pada paparannya secara pop-up.

Untuk anda yang inginkan lebih produktiviti daripada tablet ini, turut disediakan dua mod Samsung DeX untuk menjadikan paparan tablet ini lebih kelihatan seperti sebuah desktop. Antaramukanya lebih mirip dengan ChromeOS dan sebahagiannya elemennya kelihatan seperti Windows.

Samsung turut menjanjikan kemaskini sistem operasi sehingga empat generasi dan naik taraf keselamatan untuk selama tujuh tahun.

Kamera

Tablet ini menyediakan dua buah kamera pada bahagian belakangnya dengan kamera utama 12MP f/2.0 dan kamera ultra lebar 8MP f/2.2. Imej yang ditangkapnya secara amnya biasa sahaja dengan warnanya pula kelihatan terlebih tumpat. Spesifikasi kamera ini juga merupakan jenis yang sama digunakan pada Galaxy Tab S10 Ultra.

Cuma untuk kamera hadapannya, ia berbeza dengan model Ultra yang menawarkan dua kamera di sebelah depan. Untuk Tab S10+ ini ia didatangkan dengan kamera 12MP f/2.0 yang mampu mengambil gambar dengan jelas tanpa kehilangan perinciannya. Kamera hadapannya ini juga boleh merakamkan video berkualiti sehingga 4K pada 30fps.

Sebagaimana kebanyakan tablet lain, baik mercu mahupun yang biasa, kamera pada tablet bukanlah untuk tujuan fotografi mudah alih. Ia lebih kepada kegunaan ringkas seperti panggilan video dan juga untuk merekodkan dokumen dalam bentuk imej.

Bateri

Galaxy Tab S10+ mempunyai bateri yang besar kapasitinya, 10,090mAh dengan sokongan pengecasan sehingga 45W. Berdasarkan penggunaannya, kami mendapati ia mampu menstrimkan kandungan 1080p menggunakan Wi-Fi sehinga lebih dari 8 jam tanpa henti.

Untuk mengecasnya pula dengan menggunakan pengecas Samsung 25W, ia mampu dipenuhkan dari sifar dalam tempoh hampir dua jam.

Lain-lain

Galaxy Tab S10+ menyokong Wi-Fi 6E dan tidak menawarkan sokongan Wi-Fi 7 seperti yang terdapat pada Tab S10 Ultra. Ia juga menyokong sambungan Bluetooth 5.3, namun tidak menyediakan sokongan NFC.

Pembesar suara tablet ini menyediakan sokongan Dolby Atmos dan mampu memberikan bunyi stereo yang lantas dengan sedikit bunyi bass. Untuk bilik yang kecil, kelantangan bunyi yang dihasilkannya sudah lebih daripada memadai untuk menikmati kandungan seperti filem.

Kesimpulan

Samsung Galaxy Tab S10+ menawarkan penambahbaikan yang ketara dari Tab S9 dari beberapa sudut. Cuma untuk siri kali ini tidak menawarkan model standard yang mungkin sesetengah pengguna ingin mendapatkannya atas faktor saiz dan juga disebabkan kekangan bajet.

Tablet ini juga nipis, ringan dan mempunyai kualiti yang tinggi. S Pen yang boleh dilekapkan pada permukaan belakangnya sambil dicaskan juga merupakan tambahan yang bagus. Cuma apabila dilekapkan secara magnetik dan disimpan di dalam beg, ada kemungkinan ia boleh tercicir atau tersilap letak tanpa disedari.

Penggunaan tablet ini lebih menyeluruh jika digunakan bersama-sama aksesori seperti Book Cover Keyboard Slim yang mempunyai kekunci khusus AI padanya bagi memberikan lebih daya produktiviti.

Bagi anda yang sedang berhasrat mendapatkan tablet mercu yang turut memberikan sokongan produktiviti, Galaxy Tab S10+ merupakan antara tablet yang amat wajar anda pertimbangkan.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.