Utama Android Samsung Ulasan Samsung Galaxy S24; Kuasa Galaxy AI kini di Tangan Anda

Ulasan Samsung Galaxy S24; Kuasa Galaxy AI kini di Tangan Anda

226
0

Samsung Galaxy S24 merupakan telefon pintar mercu bersaiz kecil keluaran tahun ini yang dilengkapkan dengan pemprosesan yang pantas, skrin yang terang, kamera yang jitu, dan alatan-alatan yang dijana AI bagi membantu pengguna.

Telefon pintar yang berharga dari RM4,099 ini merupakan paling kecil dan paling mampu milik di kalangan siri Galaxy S24. Namun begitu, ia setara dengan model lain di dalam siri ini dari segi prestasinya.

Selain turut menggunakan pemprosesan Qualcomm paling andalan setakat ini, Galaxy S24 juga mempunyai semua ciri-ciri Galaxy AI dan juga jaminan kemaskini perisian untuk tujuh tahun. Berbanding model keluaran tahun lepas, ia mempunyai sedikit kelebihan dari segi ketahanan bateri dan kuasa pemprosesannya.

Rekaan

Galaxy S24 berkongsikan sifat rekaan dengan Galaxy S24+ yang sedikit besar, namun amat berbeza dengan Galaxy S24 Ultra. Bagi pengguna yang kecil tapak tangannya, model bukan Ultra ini mungkin lebih mesra untuk dikendalikan kerana lebih nipis dan ringan.

Berukuran 147mm x 70.6mm x 7.6mm, Galaxy S24 boleh dikirakan sebagai telefon pintar yang kecil di dalam persekitaran industri yang cenderung pada produk yang lebih besar buat masa ini.

Telefon pintar ini juga dilindungi dengan kaca Corning Gorilla Glass Victus 2 pada permukaan hadapan dan juga belakangnya. Kaca berkenaan merupakan bahan yang amat tinggi kelasakannya yang mampu mengurangkan kesan calar dan juga berderai apabila terjatuh. Pun begitu, ia masih lagi tidak mampu menandingan kaca Gorilla Armor yang digunakan pada Galaxy S24 Ultra.

Berbeza dengan S24 Ultra yang menggunakan bingkai titanium, Galaxy S24 masih lagi kekal menggunakan bingkai Armor Aluminium seperti tahun lepas. Bingkai ini bagaimanapun kelihatan serasi dengan permukaan pada bahagian hadapan dan belakangnya.

Turut disediakan pada bahagian bingkainya, butang kawalan audio dan kuasa pada sisi kiri, dengan sis bawahnya menempatkan dulang kad SIM, port USB-C 3.2 Gen 1 dan corong pembesar suara. Seperti biasa, tiada slot kad mikroSD dan bicu audio 3.5mm disediakan pada telefon pintar ini.

Sama seperti S24+ dan S24 Ultra, model asas di dalam siri yang sama ini juga mempunyai penarafan kerintangan air dan debu IP68. Ia mempunyai ketahanan terhadap debu dan juga apabila direndam di dalam air pada kedalaman 1.5 meter dalam tempoh sehingga 30 minit.

Terdapat tiga buah kamera yang disusun secara menegak pada bahagian belakang telefon pintar ini dengan kamera hadapannya pula ditempatkan pada bahagian tengah atas paparannya. Ketiga-tiga modul kamera berkenaan kelihatan sedikit timbul pada permukaan belakangnya, namun tidak begitu ketara seperti sesetengah model telefon pintar lain.

Paparan

Galaxy S24 mempunyai paparan berukuran 6.2-inci ini sebenarnya hanya 0.1-inci lebih besar berbanding Galaxy S23 pada tahun lepas yang berukuran 6.1-inci. Namun begitu, kedua-duanya mempunyai resolusi yang sama 2,340 x 1,080 piksel. Sebagai perbandingan, Galaxy S24 Ultra lebih jitu paparannya dengan menawarkan resolusi sehingga 3,120 x 1,440 piksel.

Telefon pintar ini juga mempunyai kadar penyegaran semula boleh laras 120Hz sebagaimana yang terdapat pada S24+ dan S24 Ultra. Kecerahan skrinnya juga sama seperti dua lagi model yang lebih besar daripadanya iaitu 2,600 nits.

Paparannya ini juga menyediakan sensor pengimbas cap jari terbina di bawahnya sebagai salah satu ciri-ciri keselamatan biometrik bersama-sama Samsung Knox khusus untuk siri Galaxy S24.

Prestasi besar untuk saiz yang kecil

Samsung juga menyediakan pemprosesan Exynos 2400 untuk Galaxy S24, jenis pemprosesan yang sama digunakan untuk S24+. Pemprosesan berkenaan diperbuat menggunakan teknologi pembuatan 4nm dan mempunyai keupayaan CPU, GPU dan NPU yang setara dengan pemprosesan mercu lain.

Walaubagaimanapun, Galaxy S24 tidak mempunyai pilihan kapasiti RAM selain dari 8GB sahaja seperti dua lagi model yang lain di dalam siri ini yang menawarkan sehingga 12GB. Pun begitu, kapasiti storannya ditawarkan dengan pilihan 256GB dan 512GB ini.

Bagi melihat sejauh mana kuasa pemprosesannya, satu ujian penanda aras buatan melalui Geekbench 6 telah dilakukan. Didapati Galaxy S24 mencatatkan markah 2,260 di dalam ujian teras tunggal. Manakala ujian berbilang teras pula ia mencatatkan markah 2,260.

Untuk prestasi permainan pula, kami menggunakan GFXBench dan mendapati Galaxy S24 dapat menghasilkan pada kadar 85 bingkai setiap saat (85 frames per second, fps) pada resolusi 2,253 x 1,041 piksel.

Bateri

Galaxy S24 mempunyai bateri berkapasiti 4,000mAh yang merupakan peningkatan sebanyak 100mAh jika dibandingkan dengan Galaxy S23. Sokongan pengecasan secara berwayarnya mampu mencapai sehingga 25W dengan pengecasan secara nirwayar mencapai sehingga 15W.

Telefon pintar ini juga menyokong pengecasan secara nirwayar berbalik sehingga 7.5W yang berguna di saat anda ingin mengecas peranti-peranti lain seperti jam tangan pintar, earbuds, mahupun telefon pintar kenalan anda ketika kecemasan.

Cuma seperti biasa, Samsung tidak menyediakan pengecas bersama-sama kotak pembungkusan telefon pintar ini dan anda mungkin perlu membelinya secara berasingan jika ingin memanfaatkan sokongan pengecasan pantas 25W yang disediakan olehnya.

Kamera

Sama seperti yang terdapat pada S24+, kamera yang digunakan pada S24 merupakan jenis yang sama. Ia merangkumi kamera utama 50MP f/1.8 dengan penstabil imej optikal (OIS), kamera ultra-lebar 12MP f/2.2 dan kamera telefoto 10MP f/2.4 dengan zum optikal 3x. Kamera utamanya secara lalai mengambil foto dalam 12MP melalui pixel binning, namun berkeupayaan mengambil imej pada 50MP jika anda memerlukannya.

Foto yang dihasilkan oleh kamera-kamera Galaxy S24 menunjukkan perincian yang jitu terutama apabila anda mengambil gambar pemandangan. Warnanya pula kelihatan agak terlebih tumpat, namun kurang meriah jika dibandingkan dengan telefon pintar Galaxy yang terdahulu.

Ini mungkin usaha penambahbaikan Samsung dalam menghasilkan gambar yang lebih nampak semulajadi warnanya. Hal ini bukanlah sesuatu yang besar kerana anda boleh melaraskan semula warna dari gambar tersebut menerusi aplikasi Gallery di dalamnya jika ingin menjadikannya meriah seperti Galaxy sebelum ini atau mengikut kesesuaian.

Galaxy AI

Kesemua model-model S24 menggunakan ciri Galaxy AI yang sama dan sebahagian daripada ciri tersebut pernah diterangkan di dalam ulasan kami berkenaan S24 Ultra. Secara amnya, ciri AI Galaxy S24 bertujuan meningkatkan pengalaman penggunaan telefon pintar dan dijangkakan Samsung akan mengenakan bayaran penggunaannya, namun masih belum memperincikan secara umum setakat ini.

Ciri Circle to Search, salah satu ciri yang ditawarkan menerusi Galaxy AI berkenaan membolehkan anda melakukan carian berdasarkan imej dengan segera. Melaluinya anda boleh menggunakan imej yang anda bulatkan pada skrin untuk membuat carian seperti menggunakan Google Image Search.

Selain itu, ciri pemadam objek (object eraser) di dalam Galaxy AI untuk suntingan imej pula membantu anda membuang atau mengubah kedudukan atau saiz objek di dalam imej berkenaan dengan mudah.

Kesimpulan

Secara keseluruhannya Galaxy S24 tidak menawarkan penambahbaikan yang ketara dari segi perkakasan dan juga reka bentuk berbanding Galaxy S23. Mungkin ada ketikanya terasa seperti menggunakan model tahun lepas yang pada saya juga merupakan telefon pintar yang cemerlang.

Poin utama jualan Galaxy S24 adalah pada sokongan platform Galaxy AI yang mampu memberikan anda pengalaman baharu menggunakan telefon pintar mercu.

Galaxy S24 dijual di pasaran Malaysia pada harga RM4,099 bagi konfigurasi RAM 8GB dan storan 256GB. Manakala bagi pilihan konfigurasi RAM 8GB dan storan 512GB, harganya adalah RM4,599. Di Malaysia, anda boleh mendapatkan pilihan warna Cobalt Violet, Amber Yellow, Onyx Black dan Marble Gray, serta pilihan warna eksklusif dalam talian Sapphire Blue, Jade Green dam Sandstone Orange.

Makluamat lanjut, layari Samsung Malaysia.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.