Telefon pintar peringkat menengah rendah terkini keluaran OPPO, A98 5G menampilkan ciri rekaan yang anggun, pada pandangan saya. Selain menawarkan sokongan rangkaian 5G, ia juga menawarkan pelbagai ciri menarik seperti sokongan pengecasan SuperVOOC, bateri tahan lama dan juga kamera resolusi tinggi.
Telefon pintar berharga RM1,399 di pasaran Malaysia ini boleh dipra-tempah bermula dari hari ini 15 Mei 2023 sehingga 18 Mei 2023 menerusi kedai dalam talian OPPO dan juga di platform dalam talian Shopee dan Lazada.
Anda yang membuat pratempahan OPPO A98 5G layak menerima pelbagai hadiah bernilai sehingga RM377 yang turut termasuk sebuah OPPO Band, Fon Putik Nirwayar Sebenar, dan waranti 1+1 tahun.
Hadir dengan RAM 8GB dan storan dalaman 256GB telefon pintar ini juga ditawarkan dengan dua pilihan warna iaitu Cool Black dan Dreamy Blue. Khusus untuk ulasan kali ini, kami menerima unit OPPO A98 5G dengan pilihan warna Cool Black.
Isi Kandungan
Spesifikasi
Model | Oppo A98 5G |
---|---|
Perisian | Android 13 with ColorOS 13.1 |
Skrin | LCD IPS 6.72-inci, kadar penyegaran semula 120Hz |
Cipset | Qualcomm Snapdragon 695 5G |
RAM | 8GB |
Storan | 256GB |
Kamera Belakang | Kamera utama 64MP, Kamera berkedalaman 2MP, Kamera lensa mikro 2MP (40x) |
Kamera Hadapan | 8MP |
Bateri | 5000mAh, Pengecasan SUPERVOOC 67W |
Pengecasan | 67W |
Ketebalan | 8.2 mm |
Berat | 192 g |
Ketersambungan | 5G, 4G LTE, Bluetooth 5.2, WiFi dwi-jalur |
Reka bentuk dan Skrin
Untuk ulasan kali ini, kami menerima pilihan warna Cool Black yang elegan melalui kemasan matte pada permukaan belakangnya. Pada bahagian bawah modul-modul kameranya, terdapat satu jalur khas unik yang memberikan kesan elegan pada ciri rekaan OPPO A98 5G bagi pilihan warna Cool Black ini.
Telefon pintar berketebalan 8.2 mm dan berat sekitar 192 gram ini juga menawarkan paparan berwarna-warni melalui skrin LCD yang ditawarkannya. Memandangkan ia menggunakan skrin LCD, warna yang dihasilkan tidaklah begitu jitu seperti skrin OLED. Namun, ia sudah memadai bagi kegunaan harian sesebuah telefon pintar.
Dari segi pengendaliannya atas skrinnya pula, ia dikirakan sebagai amat lancar kerana memiliki kadar penyegaran semula sehingga 120Hz.
Perkakasan
Dari segi prestasi, Oppo A98 5G menawarkan kuasa yang memuaskan melalui penggunaan cipset Qualcomm Snapdragon 695 5G yang direka menggunakan proses pembuatan nod 6nm. Chipset okta-teras ini mempunyai dua teras ARM Cortex-A77 yang mencatatkan klok sehingga 2.2GHz dan enam teras ARM Cortex-A55 dengan klok sehingga 1.7GHz.
Telefon pintar ini menggunakan storan UFS 2.1 128GB dan sehingga 8GB RAM LPDDR4X. Bagi kegunaan biasa seperti melayari laman web atau melayan platform media sosial seperti TikTok, Twitter, Facebook, WhatsApp dan sebagainya, OPPO A98 5G dapat digunakan dengan baik
Ia juga mampu mengendalikan aktiviti ringan lain seperti melayari aplikasi media sosial dan juga penstriman seperti Netflix, YouTube, Amazon Prime, Astro Go dan sebagainya. Penggunaan yang agak berat seperti permainan mudah alih pula tidak begitu sesuai untuk memainkan pada tahap kualiti grafik yang tinggi.
Qualcomm Snapdragon 695 5G bukanlah pemprosesan terbaik untuk memainkan permainan mudah alih dengan tetapan grafik tertinggi. Namun, ia mempunyai keupayaan untuk memainkannya dengan lancar pada tetapan sederhana atau lalai (default). Tambahan pula, ia tidak menghasilkan haba yang terlampau panas pada permukaan belakang seperti kebanyakan telefon pintar mercu ketika memainkan permainan pada tetapan tinggi.
Lagipun, penetapan pada tahap grafik yang tinggi pada telefon pintar setara seperti OPPO A98 5G boleh menyebabkan kadar bingkai paparan akan merosot hingga menjejaskan kualiti menikmati permainan yang sedang dimainkan. Grafik rendah takpe, janji main tak noob.
Kamera
Telefon pintar ini mempunyai tri kamera pada bahagian belakangnya dengan satu kamera utama dengan lensa 64MP berkeupayaan AI, 2MP sebagai kamera berkedalaman dan satu lagi kamera mikro 2MP dengan keupayaan zum makro sehingga 40X.
Sungguhpun tidak didatangkan dengan teknologi pengimejan telefon pintar yang canggih, OPPO A98 5G mempunyai kelebihan untuk mengambil mod makro. Pengguna yang minat dengan fotografi makro mungkin boleh menikmati kelebihan ini untuk mengambil foto jarak dekat seperti imej tumbuh-tumbuhan dan serangga.
Anda juga boleh mencuba mod Microscope di dalam fungsi kamera telefon pintar ini sekadar memenuhi sifat ingin tahu anda tentang objek-objek seni. Ia menawarkan pilihan zum 20x dan 40x. Cuma ia tidaklah seperti menggunakan mikroskop sebenar untuk melihat seketul amoeba dari sampel air kolam.
Fotografi dalam keadaan kurang pencahayaan seperti di dalam gelap mahupun di dalam bangunan pula tidak begitu memberangsangkan dengan terdapat hingar (noise) apabila anda melakukan zum.
Dari segi videografi pula, kualiti yang dihasilkan adalah sederhana sahaja pada resolusi pilihan 720p dan maksimum 1080p.
Kamera hadapan 8MP yang disediakannya pula boleh memberikan hasil swafoto yang berkualiti tinggi dalam pelbagai keadaan pencahayaan. Ia juga menyediakan fungsi AI Portrait Retouching bagi memberikan hasil gambar OOTD yang lebih mantap.
Berikut adalah beberapa contoh foto yang telah diambil menggunakan OPPO A98 5G ini.
Bateri
Oppo A98 5G menerima bekalan kuasanya daripada bateri 5,000mAh yang juga menyokong pengecasan pantas SuperVOOC 33W. Telefon pintar ini menggunakan kuasa sekitar 9% hingga 12% sejam bagi penggunaan penstriman video dalam talian, berdasarkan penggunaan sepanjang tempoh pengujian kami. Manakala bagi permainan mudah alih pula, didapati ia menggunakan kuasa sekitar 12% hingga 17% sejam dari kapasitinya.
Secara ringkasnya, bateri untuk telefon pintar ini mampu bertahan sekitar 19 jam bagi kegunaan yang merangkumi permainan mudah alih, penstriman video, panggilan telefon dan melayari laman web. Bagi sesebuah telefon yang menggunakan pemprosesan Snapdragon 695 5G seperti OPPO A98 5G ini, kadar ini Tahap ini adalah sesuatu yang sudah dijangkakan.
Anda hanya memerlukan masa sekitar 44 minit sahaja untuk mengecaskannya dari sifar hingga penuh apabila menggunakan pengecas SuperVOOC 67W yang disertakan bersama-sama dengannya.
Perisian
Oppo A98 5G hadir dengan ColorOS 13.1 yang berasaskan sistem operasi Android 13. Antaramuka untuk telefon pintar keluaran OPPO sejak kebelakangan ini semakin lama semakin baik dari versi ke versi.
Bagaimanapun, seperti biasa isu aplikasi-aplikasi sarap yang didatangkan bersama-sama di dalamnya masih lagi wujud dan mungkin sedikit mengganggu bagi sesetengah pengguna.
Harga OPPO A98 5G di Malaysia
Di Malaysia, OPPO A98 5G ditawarkan pada harga RM1,399 di pasaran dan boleh dipra-tempah sejak semalam 15 Mei 2023 sehingga 18 Mei 2023 menerusi kedai dalam talian OPPO dan juga di platform dalam talian Shopee dan Lazada.
Anda yang membuat pratempahan OPPO A98 5G layak menerima pelbagai hadiah bernilai sehingga RM377 yang turut termasuk sebuah OPPO Band, Fon Putik Nirwayar Sebenar, dan waranti 1+1 tahun. Telefon pintar ini juga hadir dengan RAM 8GB dan storan dalaman 256GB telefon pintar ini juga ditawarkan dengan dua pilihan warna iaitu Cool Black dan Dreamy Blue.