LG Malaysia telah melancarkan LG Tone Free (FP8), earbuds nirwayar yang menampilkan UVnano Charging Case dan Enhanced Active Noise Cancellation (ANC).

Sebelum kita memulakan ulasan ini, terlebih dahulu kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih buat LG Malaysia kerana menyediakan unit ulasan ini. Untuk makluman, ulasa ini berdasarkan pengalaman penulis menggunakannya sepanjang tempoh seminggu ini.

Rekaan LG Tone Free (FP8)

LG Tone Free (FP8) hadir dengan ciri rekaan yang ringkas dan minimalistik, namun padat. Bekas pengecasannya pula mempunyai bentuk bulat dan ini mungkin memudahkan anda menemukannya apabila menyeluk ke saku pakaian anda mahupun beg anda.

Bekas pengecasnya ini juga menggunakan port USB Type-C dan port seperti ini sudah hampir menjadi satu kelaziman bagi kebanyakan peranti masa kini.

Terdapat dua cahaya LED pada bekas pengecasannya yang mana salah satunya menunjukkan tahap bateri bekas tersebut. Manakala satu lagi cahaya LED menunjukkan proses pembersihan menggunakan UVnano sedang dijalankan.

Setiap kali anda membuka bekas pengecas tersebut, terdapat cahaya biru dipancarkan dari dalamnya yang berperanan sekadar mencantikkan lagi nilai estetikanya.

Anda mungkin tidak perasan langsung mengenai beratnya kerana menurut LG, berat untuk satu earbuds ini hanya 5 gram sahaja. Bersama-sama bekasnya, aksesori audio ini cuma seberat 39 gram. Ciri sebegini amat berguna kepada nada yang gemar menggunakan earbuds nirwayar untuk tujuan bersenam atau riadah luaran.

Earbuds ini hadir dalam dua warna iaitu Hitam dan Putih. Untuk unit ulasan ini, LG Tone Free (FP8) yang kami terima berwarna putih.

Ciri ergonomik LG Tone Free (FP8)

Ketika memakainya, saya merasakan ia selesa untuk digunakan dan mudah untuk diletakkan pada lubang telinga. Malah, penggunaan untuk sesuatu tempoh yang lama juga tidak mendatangkan sebarang ketidakselesaan.

Untuk muncungnya, ia menggunakan gel silikon bergred perubatan yang diperbuat dari bahan tidak bertoksik dan hipoalergenik. Gel muncungnya ini juga tidak mudah terjatuh dan kekal selesa ketika dipakai. LG juga menyediakan tiga saiz bagi gel telinga earbuds ini iaitu kecil, sederhana dan besar. Anda bebas untuk memilih mana-mana saiz mengikut kesesuaian anda.

Kualiti bunyi yang bagus dengan ciri ANC yang baik dan mod Ambient

Kualiti audio LG Tone Free FP8 yang mantap ini dihasilkan melalui kerjasama dengan Meridian. Anda boleh menikmati kecemerlangannya baik untuk memainkan permainan mudah alih, menonton filem dan juga pastinya untuk mendengar muzik.

Anda juga boleh menelusuri keupayaan audionya melalui aplikasi LG Tone Free pada telefon pintar anda. Di dalam ulasan ini, kami menggunakan peranti Android dan ia berfungsi dengan baik untuk melaraskan tetapan.

Aplikasi LG Tone Free ini juga membolehkan anda gunakannya untuk melaraskan ANC, mod Ambient, kawalan earbuds, equaliser, Tone Free Lab, mencari kedudukan earbuds anda dan sebagainya. Tidak ketinggalan, aplikasi ini juga boleh digunakan untuk mengemaskini perisian earbuds anda.

Menerusi fungsi equaliser di dalam aplikasi tersebut, anda disediakan dengan 5 pra-set tetapan audio yang boleh anda pilih, iaitu:

  • Immersive
  • Natural
  • Bass Boost
  • Treble Boost
  • 3D Sound Stage

Secara amnya, penggunaan tetapan secara lalai Bass Boost sebenarnya sudah lebih dari memadai. Namun, terpulang pada citarasa masing-masing untuk anda sama ada menggunakan pra-set yang telah diberikan atau mengikut tetapan anda sendiri.

Active Noise Cancellation (ANC)

Seterusnya untuk fungsi Active Noise Cancellation (ANC), LG Tone Free FP8 mampu mengurangkan hingar pada latar sekitar 60 – 70%. Anda masih lagi mendengar secara samar-samar bunyi hingar tersebut apabila anda berada di kawasan luar yang sibuk seperti di tengah kota.

Anda boleh memilih untuk menggunakan tetapan ANC sama ada High atau Low. Namun, berdasarkan pengalaman saya menggunakannya, saya cenderung untuk memilih Low kerana tetapan ANC dalam High ini membuatkan saya berasa sedikit ‘lemas’.

Ambient Mode

Untuk mod Ambient di dalam LG Tone Free FP8 ini pula, anda disediakan dengan dua pilihan tetapan:

  • Listening Mode
  • Coversation Mode

Kedua-dua mod ini menawarkan fungsi khusus bergantung kepada keadaan dan juga aktiviti yang anda sedang lakukan.

Listening Mode menawarkan anda bunyi ambien ketika anda sedang mendengar muzik. Mod ini sesuai digunakan apabila sedang menjalankan aktiviti kecergasan di luar rumah atau sedang berjalan-jalan sambil masih lagi boleh mendengar bunyi di sekeliling anda.

Manakala bagi Conversation Mode pula, anda boleh mendengar tutur kata dalam perbualan anda dengan jelas sambil bunyi audio dari media yang anda dengari diperlahankan secara automatik. Melalui mod ini, insyaAllah anda masih boleh menyahut jika dipanggil oleh kenalan anda terutamanya ketika anda membuat kerja sambil mendengar muzik di pejabat.

Bateri yang tahan lebih lama

Setiap satu earbud LG TONE Free FP8 ini mempunyai bateri berkapasiti 68mAh dengan bekas pengecasnya pula mempunyai kapasiti 390mAh. Menurut LG, earbuds ini mampu digunakan sehingga 10 jam tanpa henti bagi penggunaan tanpa ciri ANC diaktifkan. Manakala bagi penggunaan bersama-sama ANC, ia mampu bertahan selama 6 jam.

Bekas pengecasannya turut menyokong pengecasan secara nirwayar selain boleh dicaskan melalui wayar USB-C seperti biasa. Mengecaskannya menggunakan wayar pada kebiasaannya mengambil masa kurang dari dua jam untuk penuh.

Ciri pembasmi bakteria dengan teknologi UVnano

LG Free Tone FP8 dilengkapkan dengan teknologi UVnano, di mana menurut LG mampu menghapuskan 99.9% bakteria dalam masa 5 minit.

Ciri sebegini pastinya disambut baik oleh pengguna terutama dalam situasi semasa kita yang sentiasa ingin dalam keadaan bersih dan bebas kuman.

Kesimpulan

LG Tone Free FP8 kini dijual di pasaran Malaysia pada harga RM899 dan dikhususkan sebagai segmen earbuds premium. Secara keseluruhan, kualiti audio yang disediakan adalah amat baik dan ciri-ciri lain padanya juga tidak mengecewakan.

Penambahan ciri pembasmi kuman melalui teknologi UVnano juga merupakan satu bonus. Fungsi unik sebegini, pada fahaman saya tidak terdapat pada mana-mana earbuds di pasaran buat masa ini.

Buat anda yang berminat untuk mendapatkan LG TONE Free FP8 ini, kunjungi: https://www.lg.com/my/wireless-earbuds

Tinggalkan komentar