HONOR 200 Lite hadir dengan harga yang mampu milik dengan penawaran yang baik merangkumi tempoh penggunaan bateri, kualiti binaan, keupayaan kamera dan paparannya. Perbezaan prestasinya dengan model-model yang lebih mercu pastinya lebih ketara, namun pada harga sebegini kita tidak perlu ambil pusing tentang itu.
Apa yang lebih penting HONOR 200 Lite dijual pada harga yang amat berbaloi dengan hargnya.
Berharga RM1,299 sahaja ketika dilancarkan di pasaran Malaysia, ia boleh dikirakan berada di tengah-tengah antara telefon pintar peringkat menengah dengan peringkat pemula. Tarikan utama model telefon pintar ini bukan hanya terletak pada penawaran harganya, beberapa kelebihannya wajar diambil kira untuk anda yang serius memilikinya.
Anda boleh mendapatkan paparan, kamera dan tahap penggunaan bateri yang baik dari telefon pintar ini. Namun, pada harganya ini beberapa kekurangan yang ada padanya seperti ketiadaan sokongan pengecasan nirwayar dan ciri kalis air sudah dijangkakan.
Isi Kandungan
Rekaan dan binaan
Secara peribadi saya gemar dengan rekabentuk HONOR 200 Lite ini kerana ia nipis, ringan dan sedap mata memandang walaupun ringkas. Mungkin atas faktor usia saya, lebih ringkas reka bentuk telefon pintar itu lebih sedap pada pandangan mata. Pilihan warna yang ditawarkannya pula terdiri daripada Starry Blue (seperti unit ulasan yang kami terima ini) dan Midnight Black.
Ukurannya pula 161.05 mm x 74.55 mm x 6.78 mm, dan seberat 166 gram, meletakkan ia lebih ringan jika dibandingkan dengan iPhone 15. Corak belakangnya yang berkilau memberikan keunikan yang tersendiri pada kemasan luaran telefon pintar ini. Sisinya direka dengan permukaan yang rata disamping menempatkan pengimbas cap jari pada butang kuasa di sisi kanan telefon pintar ini.
Tiada sebarang penarafan kerintangan air dan debu (IP) rasmi untuk model ini dan ia adalah satu kelaziman bagi kebanyakan telefon pintar pada harga yang setara dengannya.
Skrin dan Suara
Kecerahan dan kejelasan paparan AMOLED 6.7-inci beresolusi. 1080 x 2412 ini merupakan ciri utama HONOR 200 Lite. Secara asasnya, anda dapat melihat kecerahan skrin ini walaupun ketika berada di luar bangunan. Walaupun HONOR tidak menyatakan secara spesifik berapa tahap kecerahannya, ia boleh dikatakan memadai dan lebih cerah berbanding beberapa model mercu keluaran tahun ini.
Pada kadar penyegaran semula sehingga 90Hz, penggendalian boleh dikira boleh tahan. Manakala saiz bingkainya pula walaupun agak besar, ia tidaklah sampai ke tahap menggangu.
Warna paparannya kelihatan penuh citra dan sekata untuk pelbagai kandungan yang dipaparkannya. Cuma ketiadaan sokongan HDR menjadikan kandungan video yang ditonton melaluinya tidak begitu puas seperti pada telefon pintar mercu.
Terdapat satu pembesar suara yang ditempatkan pada bahagian bawahnya dan ia memadai untuk kegunaan sekadar menonton video atau mendengar podsiar. Muzik pula mungkin lebih baik anda mendengarnya dengan menggunakan earbuds nirwayar atau menyambungkannya ke sistem audio lain untuk lebih kepuasan.
Spesifikasi dan Prestasi
HONOR 200 Lite dilengkapkan dengan pemprosesan MediaTek Dimensity 6080, RAM 8GB dan storan 256GB. Hanya satu konfigurasi RAM dan storan sahaja yang ditawarkan bagi model ini.
Dalam kebanyakan masa, prestasinya baik dan lancar walaupun kadangkala terdapat sedikit kelembapan jika sedang melaksanakan tugasan yang agak rumit seperti fungsi ‘gambar-di-dalam gambar’ atau melompat-lompat antara aplikasi-aplikasi.
Permainan mudah alih pula masih lagi dapat dimainkan dengan prestasi yang memuaskan dengan penggunaan aplikasi harian pula mungkin anda tidak menyedari kekangan yang dihadapinya dengan ketara.
Dari segi ketersambungannya, pemprosesan Dimensity 6080 turut dilengkapkan dengan sokongan 5G. Ia juga menyokong Wi-Fi 5, Bluetooth 5.1 dan NFC bagi tujuan pembayaran secara nirwayar.
Kamera
Saya agak tertarik dengan spesifikasi kamera yang ditawarkan pada telefon pintar ini yang mengandungi kamera utama 108MP, kamera ultra lebar 5MP dan kamera makro di sebelah belakangnya dengan kamera hadapan 50MP.
Dalam keadaan kurang pencahayaan sekalipun ia mampu memberikan hasil yang baik walaupun amat jauh untuk menandingi kamera telefon peringkat menengah mahupun yang mercu. Sebagaimana yang ditawarkan di dalam telefon-telefon keluaran HONOR, terdapat pelbagai mod fotografi dan videografi yang ditawarkan padanya.
Berikut contoh-contoh foto yang ditangkap menggunakan HONOR 200 Lite:
Sesetengah mod, terutamaanya untuk tangkapan gambar malam dan prosesan HDR tidak kelihatan begitu ketara perbezaannya dengan mod foto standard. Mod ‘multi-video’ pula membolehkan anda merekodkan video secara terbahagi dengan menggunakan kamera hadapan dan belakang depan secara serentak.
Rakaman video terhad pada sehingga 1080 resolusi pada 30 kadar bingkai per saat dan tiada fungsi sokongan yang hebat seperti penstabil imej optikal. Pun begitu, bagi sesebuah telefon pintar yang seangkatan dengannya, hasil yang ditawarkannya lebih dari sekadar memuaskan hati.
Bateri dan pengecasan
HONOR 200 Lite mempunyai bateri berkapasiti 4500mAh yang berdasarkan penggunaan saya mampu bertahan pagi penggunaan sehari dengan baki sekitar 30% kapasiti. Saya bukanlah pengguna kerap menggunakan telefon pintar, namun kadar penggunaan tenaga yang ditunjukkannya agak menarik.
Kelebihan pemprosesan yang berkecekapan tinggi turut membantu mengoptimumkan penggunaan baterinya ini. Kebiasaannya saya perlu mengecaskannya semula pada hari yang sama apabila kerap memainkan permainan atau sering menggunakan aplikasi Google Map atau Waze untuk mencari jalan. Walaubagaimanapun, amat jarang bateri telefon pintar ini kehabisan terus dalam sehari berdasarkan pengalaman penggunaan saya.
Untuk tontonan video penstriman pula ia mampu mencapai sekitar 14 jam jika menontonnya secara berterusan dan ia memadai bagi sesebuah telefon pintar yang rendah keperluan tenaga serta paparan yang rendah resolusinya.
Tiada sokongan pengecasan nirwayar disediakan pada telefon pintar ini dan hanya terdapat sokongan pengecasan berwayar 35W sahaja. Ia mampu mengecaskan dari kosong hingga 13% dalam tempoh sekitar 15 minit.
Perisian
HONOR 200 Lite menggunakan sistem operasi Android 14 melalui antaramuka HONOR MagicOS 8.0. Seperti biasa, beberapa aplikasi khusus dari HONOR seperti email, kalkulator, cuaca, pemain video, pemain muzik, nota, dan yang antara yang paling kerap digunakan aplikasi galeri foto dan video.
Cuma, HONOR tidak menyatakan berapa tahun sokongan untuk telefon pintar ini ditawarkan. Sebagai perbandingan, HONOR menawarkan sokongan sehingga tiga kali kemaskini naik taraf utama untuk telefon pintar mercunya.
Harga HONOR 200 Lite di Malaysia
Di pasaran Malaysia, HONOR 200 Lite dijual pada harga RM1,299 dengan dua pilihan warna – Starry Blue dan Midnight Black. HONOR Malaysia juga hanya menawarkan satu pilihan konfigurasi sahaja iaitu RAM 8GB dan storan 512GB.
Telefon pintar ini telah pun menemui pengguna tempatan sejak dari 26 Julai 2024. Menurut HONOR Malaysia, HONOR 200 Lite juga didatangkan dengan pelan penggantian percuma selama 365 hari untuk skrin terbaja Ultra Tough untuk paparannya.