Utama Android Samsung Ulasan Galaxy Z Flip 5, Masih Kekal Telefon Pintar Boleh Lipat Bentuk...

Ulasan Galaxy Z Flip 5, Masih Kekal Telefon Pintar Boleh Lipat Bentuk Flip Terbaik

256
0

Bersaiz tiga perpuluhan lima inci, saiz skrin yang hampir menyamai saiz paparan Galaxy Y ini boleh dianggap terlalu kecil untuk sesebuah telefon pintar terkini. Namun jika digunakan pada skrin kedua telefon pintar yang boleh dilipat, ia merupakan sesuatu yang amat lumayan.

Malah, ia lebih berguna jika dibandingkan dengan skrin luaran bersaiz 1.9-inci yang terdapat pada Galaxy Z Flip 4 sebelum ini.

Samsung untuk tahun ini telah membawakan skrin luaran 3.4-inci yang dinamakan sebagai Flex Window pada Cover Screen telefon pintar berbentuk flip baharunya, Galaxy Z Flip 5.

Selain paparan luaran baharu tersebut, Samsung juga memperkenalkan engsel dengan teknologi baharu yang membolehkan telefon pintar ini boleh dilipat dengan lebih rapat. Jom kita lihat spesifikasinya dengan lebih dekat:

Spesifikasi

  • Paparan (dalaman): 6.7-inci (1080 x 2640 piksel), Foldable Dynamic AMOLED 2X, 120Hz, HDR10+, 1750 nits (maksima)
  • Paparan (luaran): 3.4-inci (720 x 748 piksel), Super AMOLED, 60Hz, Corning Gorilla Glass Victus
  • Pemprosesan: Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2 For Galaxy
  • GPU: Adreno 740
  • RAM: 8GB
  • Storan: 256GB, 512GB
  • Kamera (belakang): dwi-kamera – lensa lebar 24mm 12MP, f/1.8, OIS, 1.8µm, 1/1.76″, Dual Pixel PDAF; lensa ultra lebar 13mm 12MP f/2.2 1.12µm
  • Kamera (hadapan): lensa lebar 23mm 10MP f/2.2 1.22µm
  • Audio: Pembesar suara stereo
  • Bateri: 3,700mAh, pengecasan berwayar 25W, nirwayar 15W, 4.5W berbalik
  • Ukuran: Dibuka – 155.1 x 71.9 x 6.9 mm; Dilipat – 85.1 x 71.9 x 15.1mm
  • Berat: 187 g
  • Kerintangan air dan debu: IPX8
  • OS: Android 13, One UI 5.1.1
  • Ketersambungan: GSM / CDMA HSPA / EVDO / LTE / 5G, Bluetooth 5.3, NFC, USB-C 3.2 OTG, Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac/6e, Tri-band, Wi-Fi Direct
  • Warna: Mint, Graphite, Cream, Lavender, Gray, Blue, Green, Yellow
  • Kad SIM: Nano-SIM, eSIM

Harga Galaxy Z Flip 5 di Malaysia

Galaxy Z Flip 5 di Malaysia ditawarkan dengan pilihan warna Mint, Lavender, Cream, dan Graphite serta pilihan warna eksklusif pembelian dalam talian, Grey, Blue, Green, dan Yellow. Terdapat dua pilihan storan iaitu 256GB dan 512GB yang terdapat di Malaysia dengan hanya satu sahaja konfigurasi RAM iaitu 8GB sahaja.

  • Galaxy Z Flip5 – RAM 8GB, storan 256GB: RM4,499
  • Galaxy Z Flip5 – RAM 8GB, storan 512GB: RM4,999

Rekabentuk

Banyak yang menarik pada rekabentuk Galaxy Z Flip 5 ini. Cover Screen baharu yang lebih besar tentunya lebih meriah jika dibandingkan dengan paparan luaran yang lebih kecil pada model yang terdahulu. Rekaan kerangka yang lebih rata juga memberikan pengguna genggaman yang lebih kemas dan selesa.

Hasil dari mekanisme engsel baharu yang dibangunkan oleh Samsung, renggang di antara lipatan apabila ditutup juga tidak kelihatan lagi pada Galaxy Z Flip 5. Justeru, mengurangkan risiko kerosakan akibat terdedah pada skrin dalamannya.

Cuma, kesan kedutan dari lipatan pada bahagian tengah pada paparan dalamannya masih lagi kelihatan dan boleh ada sedikit rasa kesan lekuk apabila anda melalukan jari pada bahagian tersebut. Pun begitu, sama seperti model terdahulu, anda mungkin tidak mengambil kisah sangat tentang kesan kedutan itu ketika menggunakannya seperti biasa.

Cover Screen

Seterusnya kita lihat pula pada tumpuan utama Galaxy Z Flip 5 ini – Cover Screen – atau paparan luarannya. Saiznya yang lebih besar ini juga membolehkan anda berekspresi melalui lebih banyak pilihan hiasan latar dan juga widget-widget yang ditawarkannya. Malah anda juga boleh membalas mesej-mesej daripada WhatsApp terus pada paparan tersebut.

Anda juga boleh melihat navigasi melalui aplikasi Google Map padanya selain boleh mendengar muzik dari aplikasi seperti Spotify dan Youtube Music.

Fungsi hiburan multimedia ini juga boleh diperluaskan lagi dengan memaparkan video penstriman Netflix apabila anda menggunakan fungsi Lab di dalam tetapan telefon pintar ini. Walaupun fungsi unik ini mampu memainkan Netflix pada Cover Screen, nikmat sebenar menonton masih lagi pada skrin besar seperti pada tablet Galaxy Tab S9 atau pada telefon pintar Galaxy Z Fold 5.

Flex Mode juga seperti biasa ada pada Galaxy Z Flip 5 yang amat berguna untuk mendirikannya apabila dilipat separuh bagi memainkan video dan juga untuk panggilan video. Mod FlexCam yang membolehkan telefon pintar ini dipegang seperti camcorder juga tidak kurang manfaatnya walaupun kelihatan seperti satu gimik pada awalnya.

Prestasi

Sesuai dengan taraf jenama Samsung untuk telefon pintar mercu keluarannya, kedua-dua paparan dalaman dan luaran Galaxy Z Flip 5 sememangnya mantap.

Skrin dalamannya menggunakan paparan boleh lipat 6.7-inci Dynamic AMOLED 2X dengan kadar penyegaran semula 120Hz beresolusi 1080 x 2640 piksel. Manakala skrin luarnya pula menggunakan paparan Super AMOLED 3.4-inci dengan kadar penyegaran semula 60Hz beresolusi 720 x 748 piksel dan menampilkan perlindungan Corning Gorilla Glass Victus 2.

Paparan visualnya jitu, jelas dan terang termasuk pada Cover Screen juga yang membolehkan mesej dari WhatsApp atau email jelas dibaca terus daripadanya. Sama seperti model sebelumnya, Galaxy Z Flip 5 juga mempunyai pilihan untuk mengaktifkan Always On pada skrin luarannya.

Prestasinya mengendalikan hampir apa jua jenis aplikasi juga amat lancar memandangkan ia menggunakan pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Gen2 For Galaxy. Jenis yang sama digunakan pada siri Galaxy S23.

OneUI 5.1.1

Untuk antaramuka, Samsung menawarkan OneUI 5.1.1 yang berasaskan Android 13. Khusus untuk Galaxy Z Flip 5, antaramuka ini juga hadir dengan panel sisi baharu yang membolehkan ia diseret-letak sesebuah aplikasi di dalamnya terus ke atas skrin dan dibuka dalam bentuk tetingkap terapung. Ia juga boleh diletakkan di mana-mana sahaja di dalam skrin, selain boleh dibahagikan kepada dua bahagian pada skrin dalamannya.

Dalam pada masa yang sama, Cover Screen juga menerima antaramuka yang telah diringkaskan sedikit, namun masih lagi boleh disesuaikan skrin dan widget di dalamnya mengikut kesesuaian pengguna. Anda juga boleh menjadikan video atau kandungan animasi GIF sebagai wallpaper pada skrin luarannya ini.

Bateri

Prestasi bateri Galaxy Z Flip 5 bagaimanapun tidak sesuai bagi penggunaan dalam tempoh yang panjang. Berkapasiti 3,700mAh, baterinya ini hanya mampu bertahan sekitar 12 jam sahaja sebelum ia perlu dicaskan semula. Pengecasannya pula menyokong secara berwayar sehingga 25W dan 15W untuk pengecasan secara nirwayar.

Tempoh penggunaan sekitar 12 jam atau setengah hari ini berdasarkan kegunaan biasa seperti fotografi, videografi, media sosial dan Google Map selain menggunakan rangkaian 5G.

Kamera

Sensor untuk dwi-kamera pada telefon pintar ini masih lagi kekal sama seperti yang terdapat pada Galaxy Z Flip 4 dan Galaxy Z Flip 3. Walaupun bukan jenis yang terkini, kualiti yang dihasilnya dikira masih boleh tahan.

Tangkapan fotonya kelihatan lebih semula jadi dari segi ketumpatan warnanya dalam pelbagai keadaan pencahayaan termasuk ketika kurang cahaya. Cuma dalam keadaan ini, video yang dirakamkan olehnya tidak begitu cemerlang.

Dalam keadaan kurang pencahayaan, algoritma di dalam telefon pintar ini berdepan kesukaran untuk memperelokkan video yang dirakamkan. Ia seterusnya menyebabkan visual yang dihasilkannya kurang jelas dengan pergerakan kamera yang tidka begitu stabil.

Mujurlah kualiti rakaman video menggunakan Galaxy Z Flip 5 di dalam keadaan terang benderang dan cukup pencahayaan menghasilkan kualiti yang amat baik.

Berbalik dengan keunikan telefon pintar ini, Galaxy Z Flip 5 sememangnya telah menjadi salah satu peranti terbaik untuk mengambil swafoto secara bersendirian mahupun berkumpulan. Tambahan pula, Cover Screen yang unik padanya memudahkan lagi tujuan tersebut.

Ciri mengambil swafoto menggunakan dwi-kamera pada paparan luaran ini sudah pun ada pada siri yang terdahulu. Ia amat mudah kerana senang dipegang apabila dilipat. Lebih canggih lagi, Cover Screen yang unik padanya menjadikan swafoto menggunakan Galaxy Z Flip 5 lebih menarik.

Anda juga boleh menggunakan pelbagai cara untuk mengetik foto melalui cara tersebut sama ada tekan pada panel skrin, menggunakan butang pada bahagian sisi, atau melalui gestur membuka tapak tangan.

Kesimpulan

Tidak banyak siri telefon pintar yang betul-betul membawa perubahan yang ketara berbanding siri sebelumnya kebelakangan ini. Galaxy Z Flip 5 merupakan salah satu telefon pintar tersebut.

Cover Screen baharu dan juga antaramukanya yang khusus untuk peranti boleh lipat sepertinya mampu menjadi salah satu peranti pilihan saya sepanjang tahun 2023. Pada pandangan saya, Galaxy Z Flip 5 merupakan satu-satunya telefon pintar yang memberikan pengalaman telefon pintar ultra-kompak yang sebenar setakat ini.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.