Utama Aksesori Earbuds Ulasan Galaxy Buds FE; Prestasi Padu pada Harga Berbaloi

Ulasan Galaxy Buds FE; Prestasi Padu pada Harga Berbaloi

98
0

Barisan produk Samsung siri Fan Edition (FE) seringkali hadir dengan ciri estetika yang menarik bersama-sama prestasi yang mantap pada harga yang lebih mesra pengguna. Melalui pelancaran Galaxy Buds FE, Samsung memperluaskan penawarannya kepada earbuds yang lebih mesra bajet.

Berharga RM399, Galaxy Buds FE memiliki segala ciri dan sifat yang diperlukan bagi sesebuah alat pendengaran yang bagus. Ciri paling menarik yang ditawarkan pastinya Active Noise Cancellation (ANC) yang sering diketemukan pada earbuds yang lebih premium. Ini seterusnya menjadikan ia sebagai Galaxy Buds dengan sokongan ANC paling murah di pasaran setakat ini.

Rekaan

Rekaan bekas Galaxy Buds FE sama sahaja dengan rekaan bekas Galaxy Buds yang lain. Kemasan berglos pada permukaannya serta bahan yang digunakannya kelihatan agak premium.

Berbeza dengan bekasnya, rekaan earbud Galaxy Buds FE tampil dengan rekaan yang unik. Ia menampilkan rekaan yang bucu yang kelihatan bersayap yang lain dari kebiasaan earbud Galaxy yang hadir dengan bentuk bulat.

Bentuk bersayap ini juga sebenarnya bukan sekadar menambah ciri estetikanya. Malah ia lebih sebagai tujuan praktikal bagi membantu earbud dipakai dengan kemas dan mengurangkan risiko terjatuh ketika melakukan aktiviti.

Permukaan luaran Galaxy Buds FE yang lebih rata juga membantu pengguna menekan pada butang yang betul. Berbanding rekaan membulat sebelum ini yang mungkin mengelirukan sesetengah pengguna untuk menekan bahagian yang mana satu untuk bertukar fungsi.

Harga yang lebih mampu milik tidak menghalang Galaxy Buds FE untuk menawarkan ciri kerintangan air IPX2. Walaupun tidak boleh dibawa untuk berenang, aktiviti sukan air lain ataupun di dalam hujan, sekurang-kurangnya ia masih boleh bertahan dalam renjisan air.

Audio

Galaxy Buds FE mampu memberikan audio yang jelas untuk sehingga ke volum paling tinggi. Bunyi bass yang dihasilkan pula sekadar memuaskan.

Terdapat pelbagai profil-profil bunyi yang boleh dipilih oleh pengguna melalui aplikasi Galaxy Wearable pada telefon pintar anda. Pilihan tersebut merangkumi:

  • Normal
  • Bass Boost
  • Soft, Dynamic
  • Clear
  • Treble Boost

Ciri ANC yang diketengahkan oleh earbuds ini didapati setara dengan apa yang ditawarkan oleh earbuds lain yang lebih premium harganya. Anda boleh mengaktifkan atau mematikan fungsi tersebut melalui aplikasi Galaxy Wear. Selain ANC, anda juga boleh memilih mod Ambient mengikut kesesuaian ketika menggunakannya.

Galaxy Buds FE juga dilengkapkan dengan tiga mikrofon iaitu Main Mic, Sub Mic, dan Inner Mic. Ia membolehkan panggilan suara dibuat melaluinya menghasilkan bunyi yang lebih molek dan jelas selain mengurangkan bunyi angin apabila bercakap.

Baterinya juga boleh tahan dengan tempoh penggunaannya mampu bertahan sehingga 30 jam untuk sekali cas dalam keadaan fungsi ANC dimatikan. Jika ANC diaktifkan, tempoh penggunaannya dipendekkan kepada 21 jam. Untuk main semula secara berterusan dengan ANC, Galaxy Buds FE boleh bertahan sehingga enam jam.

Kesimpulan

Buat anda yang ingin mencari earbud nirwayar berkualiti tinggi dengan sokongan ANC pada harga yang mesra bajet, Galaxy Buds FE merupakan antara pilihan yang terbaik. Kualiti yang ditawarkan olehnya hampir setanding dengan earbuds nirwayar lain yang lebih tinggi harganya.

Harga Samsung Galaxy Buds FE di Malaysia

Galaxy Buds FE boleh didapati di pasaran Malaysia pada harga RM399 bermula dari 10 Oktober. Berbeza dengan siri Galaxy Buds lain, varian FE di pasaran Malaysia hanya ditawarkan dengan warna Graphite dan Putih.

Sehingga 31 Oktober ini, Samsung sedang mengadakan promosi pembelian Galaxy Buds FE akan didatangkan bersama-sama Minion Eco-Friends Cover percuma yang bernilai RM169.

Diperbuat daripada bahan polikarbonat yang dikitar semula, pelapik bekas tersebut dibuat oleh Illumination, pembikin animasi Minions. Selain comel pelapik bekas earbuds ini juga mampu melindungi bekas Galaxy Buds FE anda dari kesan calar.

Maklumat lanjut mengenai Galaxy Buds FE, layari laman web rasmi Samsung Malaysia.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.