KUCHING, 11 SEPTEMBER 2025 – U Mobile, penyedia rangkaian 5G terbaharu di Malaysia, telah bekerjasama dengan SACOFA Sdn Bhd, penyedia infrastruktur telekomunikasi terkemuka di Sarawak, sebagai rakan strategik gentian backhaul bagi mempercepatkan pelaksanaan rangkaian 5G generasi baharu, membolehkan perkembangan pengalaman ULTRA5G syarikat telekomunikasi tersebut. Kerjasama ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam misi U Mobile untuk menyediakan liputan yang paling meluas dan menyeluruh di Malaysia, sekali gus mengukuhkan komitmennya dalam menyokong agenda transformasi digital negeri Sarawak serta mencapai 80% Liputan Kawasan Berpenduduk (CoPA) di seluruh negara menjelang separuh kedua tahun 2026.
Melalui pelantikan ini, SACOFA akan membekalkan perkhidmatan akses talian sewaan gentian kepada tapak Rangkaian Akses Radio (RAN), yang membolehkan sambungan backhaul berkapasiti tinggi ke Titik Hubungan (POI) serantau. Infrastruktur ini amat penting bagi memastikan penyampaian perkhidmatan 5G yang mantap dan berlatensi rendah kepada pengguna dan perusahaan di seluruh negeri Sarawak. Dengan rangkaian gentian SACOFA yang menjangkau lebih 11,000 kilometer di seluruh negeri, U Mobile berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran liputan dan prestasi yang ditetapkan.
“Kerjasama antara SACOFA dan U Mobile sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS 2030) Kerajaan Sarawak, yang mengenalpasti transformasi digital sebagai salah satu daripada enam pemacu utama ekonomi. Strategi tersebut menekankan kepentingan memodenkan pelbagai sektor serta meningkatkan produktiviti melalui teknologi. Kolaborasi pada hari ini mencerminkan perlaksanaan visi tersebut dengan penggunaan 5G sebagai pemangkin kepada pertumbuhan perusahaan, inovasi perkhidmatan, serta kemajuan industri,” ujar YB Dato Sri Haji Julaihi bin Haji Narawi, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Pengerusi SACOFA.
“U Mobile berbesar hati melantik SACOFA sebagai rakan gentian backhaul bagi pelaksanaan rangkaian 5G generasi baharu di Sarawak. Kerjasama ini merupakan pemacu utama dalam usaha kami menyampaikan pengalaman ULTRA5G kami, sekali gus memperkasa pengguna dan perniagaan di negeri ini untuk memanfaatkan teknologi terkini serta berkembang maju dalam ekonomi digital. Dengan memanfaatkan infrastruktur gentian menyeluruh milik SACOFA, kami akan bekerjasama bagi memastikan Sarawak menjadi antara negeri terawal menyempurnakan pelaksanaan 5G. Kerjasama ini juga menyokong Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030, yang merangka visi bagi sebuah ekosistem digital yang dinamik, inklusif, dan berteraskan inovasi untuk negeri ini,” kata Wong Heang Tuck, Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile.
“Kerjasama strategik ini menandakan satu lagi pencapaian penting bagi SACOFA serta merupakan signifikan ke hadapan untuk Sarawak. Menerusi pelaburan dalam infrastruktur 5G dan kolaborasi dengan U Mobile, SACOFA berhasrat menyediakan sambungan yang lebih pantas dan mantap kepada perniagaan tempatan serta komuniti setempat. SACOFA kekal komited untuk memenuhi jangkaan dan menyokong matlamat Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 serta Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030 dengan menawarkan perkhidmatan backhaul 5G yang lancar serta mantap melalui rangkaiannya. Matlamat kami adalah memastikan kejayaan pembangunan ini demi manfaat semua pihak berkepentingan,” kata Dato Sri Sulaiman Abdul Rahman B Abdul Taib, Pengarah Urusan SACOFA.
Perjanjian kerjasama selama 10 tahun ini telah dimeterai dalam satu majlis yang berlangsung di ibu pejabat korporat SACOFA di Kuching. Perjanjian tersebut telah ditandatangani oleh Dato Sri Sulaiman Abdul Rahman B Abdul Taib, Pengarah Urusan SACOFA, dan Wong Heang Tuck, Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile, serta disaksikan oleh YB Dato Sri Haji Julaihi bin Haji Narawi, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Sarawak merangkap Pengerusi SACOFA. Turut hadir adalah YB Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Telekomunikasi), serta Dato’ Mat Hassan bin Esa, Pengarah SACOFA.













