U Mobile telah mengumumkan pengaktifan rangkaian ULTRA5G di Putrajaya dan Kota Kinabalu. Ia bertujuan memberikan peluang kepada pengguna untuk merasai sendiri pengalaman menggunakan rangkaian tersebut bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah pada 31 Ogos 2025.
Menurut syarikat telekomunikasi berkenaan, pelaksanaan di Kota Kinabalu dilakukan oleh ZTE dan Celcom Timur Sabah. April lalu U Mobile memaklumkan Huawei akan membantu menguruskan pelaksanaan 5G di Semenanjung Malaysia. Manakala ZTE pula terlibat di Sabah dan Sarawak.
Antara kawasan baharu yang dimaklumkan oleh U Mobile meliputi Padang Bandaran dan Kompleks Karamunsing di Kota Kinabalu. Untuk menikmati rangkaian ULTRA5G, pengguna U Mobile boleh mendapatkannya di sepanjang Jalan Tunku Abdul Rahman, menuju ke kawasan pantai ke Pantai Tanjung Aru dan Terminal Feri Jesselton Point. Manakala untuk di Putrajaya pula, rangkaian tersebut boleh didapati di sepanjang Persiaran Perdana, di antara Affin Bank ke Wisma Tani.
Sama seperti di Berjaya Times Square dan Jambatan Pulau Pinang 1, anda yang melanggan talian U Mobile dapat mengetahui status sambungan rangkaian baharu tersebut apabila status rangkaian “UM ULTRA5G” muncul. Dalam pada masa yang sama, U Mobile menyatakan liputan di Putrajaya dan Kota Kinabalu akan terus berkembang dengan perluasan ke kawasan-kawasan lain di Malaysia akan diumumkan kelak.