Samsung pada hari ini telah mengumumkan model TV baharu untuk pasaran Malaysia iaitu QLED 4K 98-inci Q80C dan OLED 4K 77-inci S95C. Kedua-dua model TV ini mula dijual hari ini di pasaran tempatan.
TV Samsung QLED 4K 98-inci Q80C
Bagi model Q80C, ia meneruskan legasi Samsung yang kerap menawarkan paparan TV paling besar di dalam industri melalui skrin bersaiz 98-inci dengan bingkainya yang amat nipis.
Sesuai dengan namanya, panel model TV ini menggunakan teknologi QLED dari Samsung yang dikuasakan oleh pemprosesan Neural Quantum 4K terbina dalam. Skrinnya ini berkeupayaan menyokong resolusi sehingga 4K dengan mampu menaikkan skala secara AI, mempunyai kadar penyegaran skrin 120Hz dan menyokong HDR10+ dengan Quantum HDR+.
Turut dibina di dalamnya ciri penaik seri imej seperti Direct Full Array, Real Depth Enhancer dan Motion Xcelerator Turbo+ bagi menyediakan visual yang lebih kaya dan nampak hidup. Untuk ciri Filmaker Mode pula, ia membolehkan TV ini memaparkan filem dan rancangan di dalam format asal sebagaimana yang diinginkan oleh pembikin karya tersebut.
Dari segi audio pula, TV Samsung QLED 4K Q80C 98-inci menerima penalaan Dolby Atmos untuk pembesar suara stereo 2.2CH 40W yang disediakan padanya. Selain itu, TV ini juga menyokong teknologi OTS Lite bagi mensimulasikan bunyi keliling 3D. Selain itu, TV Samsung ini juga didatangkan dengan sokongan Q-Symphony yang membolehkan pembesar suara yang ada padanya dan soundbar yang bersambungan bersama-sama menghasilkan pengalaman bunyi yang lebih harmoni.
Sudah tentu TV ini juga mempunyai pelbagai ciri pintar melalui sistem operasi yang digunakannya, Tizen. Antaranya termasuklah hab SmartThing yang terbina dalamnya, ciri kawalan berasaskan arahan suara, perkhidmatan penstriman yang dipra-pasang dan banyak lagi.
Juga disediakan untuk ketersambungannya, empat port HDMI, dua port USB-A, satu port LAN Ethernet, output audio digital (optikal), serta sokongan sambungan nirwayar melalui WiFi 5 dan Bluetooth 5.2.
TV Samsung OLED 4K 77-inci S95C
Seterusnya, TV Samsung OLED 4K 77-inci S95C yang menawarkan ciri yang hampir sama dengan model QLED 4K 98-inci Q80C. Cuma bezanya adalah pada panel skrin OLED yang digunakannya lebih kecil.
Lain-lain ciri perbezaannya juga melibatkan sistem padanya yang melibatkan pembesar suara Dolby Atmos berbilang 4.2.2 CH 70W dengan woofer.
Dalam pada masa yang sama, ketersambungan model S95C menyediakan empat port HDMI, tiga USB-A, satu USB-C untuk kamera sahaja, satu port Ethernet, dan satu output audio digital (optikal), serta sokongan sambungan nirwayar melalui WiFi 5 dan Bluetooth 5.2.
TV ini juga menampilkan rekaan Samsung “Infinity One” yang membolehkan anda memilih untuk kekal dengan kotak One Connect yang disediakan atau mengasingkannya. Ia bertujuan bagi memberikan pilihan kepada pengguna untuk meletakkan TV ini dengan lebih teratur dan kemas.
TV Samsung QLED 4K 98-inci Q80C dan TV Samsung OLED 4K 77-inci S95C kini sudah pun mula dijual pada harga masing-masing RM 33,999 dan RM30,999. Menurut Samsung, pembelian TV ini di antara 16 hingga 30 Jun akan layak menerima The Sero 43-inci yang boleh putar sendiri secara percuma selagi stok masih ada.
Maklumat lanjut mengenai TV Samsung QLED 4K 98-inci Q80C dan TV Samsung OLED 4K 77-inci S95C, layari laman web rasmi Samsung Malaysia.