Toshiba baru-baru ini telah mengumumkan sebuah pemacu konvensional magnetik 14TB, MG07ACA. Pemacu siri perusahaan 14TB ini menampilkan sembilan plat cakera di dalam unit kedap berisi helium.
Direka khusus untuk kegunaan perusahaan, model 14TB ini turut hadir bersama dengan model 12TB yang menampilkan lapan plat cakera. Kedua-dua pemacu ini hadir dengan faktor bentuk piawai 3.5 inci dan direka untuk kebolehpercayaan.
Selain itu, kedua-dua pemacu ini turut menyokong antaramuka SATA 6GB dan berputar pada kadar 7,200rpm bagi membolehkan capaian pada kelajuan tinggi. Juga, kedua-duanya 50 peratus lebih cekap penggunaan tenaga berbanding pemacu generasi sebelumnya.
Toshiba mensasarkan pemacu ini untuk kegunaan penyedia perkhidmatan awanan berdasarkan kenyataannya untuk menawarkan storan yang lebih besar pada kos yang lebih rendah. Tiada sebarang pengumuman berkenaan penawaran hard disk untuk kegunaan pengguna harian biasa. Pun begitu, hard disk berkapasiti besar sebegini mempunyai permintaan dari pengguna memandangkan ia memudahkan pengguna mendapatkan akses data secara luar talian.
Sumber berita diperoleh dari Toshiba