Utama Komputer 4 Cara membuat semakan PC Windows 10 anda guna SSD atau HDD...

4 Cara membuat semakan PC Windows 10 anda guna SSD atau HDD tanpa perlu buka casing

10536
1

Berbanding pemacu cakera keras tradisional (hard disk drive, HDD), pemacu keadaan pejal (solid state drive, SSD) menawarkan prestasi yang lebih baik. Peningkatan prestasinya amat ketara dari segi kelajuan ketika waktu boot dan juga kadar pemindahan data.

Untuk mengetahui sama ada komputer desktop atau laptop anda menggunakan SSD atau tidak, anda boleh membuat semakan melalui alatan-alatan (tools) yang telah disediakan di dalam sistem operasi Windows anda.

Selain itu, terdapat juga beberapa perisian percuma yang boleh digunakan untuk membuat semakan jenis pemacu dan juga perkakasan-perkakasan lain pada PC anda.

Anda tidak perlu pun membuka casing komputer desktop atau laptop anda untuk membuat semakan jenis pemacu yang digunakan. Berikut adalah kaedah-kaedah yang anda boleh lakukan pada PC anda:

Cara check SSD atau HDD menggunakan alatan (tools) yang disediakan di dalam Windows

Sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini, anda boleh membuat semakan (check) jenis pemacu anda sama ada ia SSD atau HDD dengan menggunakan beberapa alatan di Windows seperti berikut:

Check guna Task Manager

  1. Buka Task Manager anda sama ada melalui gabungan kekunci Ctrl + Shift + Esc atau melalui klik kanan pada taskbar dan pilih Task Manager dari situ.
  2. Pada tab ‘Perfomance’, klik pada nama ‘Disk’ di sebelah kiri untuk melihat nama pemacu yang akan tertera pada bahagian di sebelah kanan. Nama tersebut biasanya menyatakan sama ada ia adalah SSD atau HDD.

Jika PC anda mempunyai lebih dari satu pemacu di dalam, anda mungkin perlu klik pada kesemua ‘Disk’ yang dipaparkan untuk melihat jenisnya.

Gunakan fungsi “Defragment and Optimize Drive”

Defragmentation tool di dalam Windows 10 secara umumnya digunakan untuk melakukan defragment pada pemacu anda yang mengalami fragmentasi. Selain itu, Defragment tool juga menyediakan maklumat-maklumat tentang hard disk fizikal yang dipasang pada sistem komputer anda. Melaluinya kita dapat mengetahui sama ada komputer anda menggunakan SSD atau tidak.

  1. Pertama, carikan “Defragment and Optimize Drive” di dalam menu Start dan bukakannya.
  2. Sebaik sahaja Defragmentation tool dibuka, anda boleh menemukan seluruh partition-partition komputer anda melaluinya. Pada bahagian “Media Type” anda akan dapat melihat jenis hardisk apa yang dipasangkan pada komputer anda. Jika SSD, ia akan menyatakan “Solid State Drive”. Jika menggunakan hard disk mekanikal, ia akan menyatakan “Hard disk drive”.

Sebaik sahaja anda mengetahui tentangnya, tutupkan terus Defragmentation tool anda. Usah bimbang mengenai status defragmentation hard disk anda kerana Windows akan melakukannya secara automatik mengikut mingguan dan bulanan.

Menggunakan PowerShell

Bagi anda yang tak kisah untuk menggunakan command line, anda boleh melakukannya menerusi Windows PowerShell.

  1. Untuk mendapatkan perincian hard disk, anda perlu membuka aplikasi PowerShell sebagai Administrator. Caranya adalah klik kanan pada ikon aplikasi berkenaan dan pilih pada “Run as Administrator”.
  2.  Di dalam PowerShell, taipkan Get-PhysicalDisk dan tekan Enter untuk melaksanakan arahan tersebut.
  3. Lebih kurang sama seperti melalui Defragmentation tool tadi, anda boleh menyemaknya menerusi bahagian “Media Type”

Cara check SSD atau HDD menggunakan perisian

Gunakan Speccy

Perisian ini khusus untuk mendapatkan maklumat-maklumat terperinci berkaitan perkakasan komputer anda seperti CPU, hard disk, papan induk, peripheral, kad grafik dan sebagainya.

  1. Muat turun Speccy dari laman rasminya dan pasangkannya seperti biasa sebaik sahaja anda selesai memuat turun perisiannya.
  2. Pada perisian Speccy berkenaan, pergi ke “Storage” pada bahagian kiri paparannya. Seterusnya seluruh hard disk dan pendrive (jika terpasang) akan dikesan dan dinyatakan perinciannya. Jika komputer menggunakan hard disk SSD, perisian ini akan terus menyatakannya.

Itu sahaja sebahagian dari cara-cara untuk membuat semakan jenis hard disk apa yang digunakan oleh laptop atau komputer desktop anda. Tinggalkan komen di ruangan di bawah jika anda terdapat sebarang pertanyaan atau pendapat yang ingin dikongsikan.

 

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.