TM merupakan antara syarikat telekomunikasi yang terawal menyertai Digital Nasional Berhad (DNB) untuk akses rangkaian 5G kebangsaan.
Namun, buat masa ini akses ke rangkaian telekomunikasi generasi terkini ini masih lagi belum ditawarkan kepada pengguna-penggunanya.
Menurut Ketua Pegawai Strategi TM Tengku Muneer Tengku Muzani, pengumuman lanjut mengenai rancangan 5G akan diumumkan selepas pengujian 5G oleh TM tamat pada hujung bulan depan.
TM kini sedang melakukan ujian skala kecil bagi memastikan kestabilan rangkaian berkenaan. Beliau berkata demikian ketika ditanya oleh pemberita dalam sesi pembentangan tahunan JENDELA oleh SKMM awal hari ini.
Buat masa ini, DNB sedang menyediakan akses ke seluruh tapak pemancar 5G kepada syarikat telekomunikasi secara percuma sehingga 31 Mac 2022.
Syarikat-syarikat telekomunikasi utama lain di Malaysia sedang menantikan keputusan dari pihak kerajaan berhubung model pelaksanaan rangkaian 5G. Ketika ini, hanya YTL Communications satu-satunya syarikat telekomunikasi di Malaysia yang menawarkan akses ke rangkaian 5G.













