Pengalaman berjiran dengan jiran yang pandai menggodam rangkaian wifi bukanlah sesuatu yang best. Golongan ini bukan sahaja menjengkelkan pada sesetengah pihak, malah menyebabkan data internet kita santak akibat pencerobohan wifi dari jiran-jiran yang tidak bertanggungjawab. Lagi pula, kebanyakan kita di Malaysia ni melanggan pakej pelan internet yang mempunyai had kuota data penggunaan.
Untuk itu, kebanyakan pemilik rangkaian wifi akan meletakkan kata laluan untuk mengelakkannya dari digunakan sewenang-wenangnya oleh orang yang tidak dikenali.
Namun begitu, walaupun sudah meletakkan kata laluan, insiden pencerobohan rangkaian wifi tetap boleh berlaku. Anda perlukan mengambil tindakan yang lebih proaktif untuk mengatasi permasalahan ini.
Mengikut pandangan peribadi saya, kebanyakan cara untuk menggodam wifi melibatkan pencarian kata laluan dengan penggunaan kamus dan serangan secara brute-force. Cara untuk menanganinya adalah agak mudah bagi kebanyakan pengguna, iaitu dengan meletakkan kata laluan yang sukar.
Misalnya, anda boleh menggunakan kata laluan yang panjang serta menggabungkan nombor-nombor, huruf besar campur huruf kecil, tanda-tanda bacaan dan juga kalau boleh, elakkan perkataan-perkataan yang biasa kita jumpa di dalam kamus.
Juga oleh kerana kebanyakan dari kita menaip kata laluan setiap kali ingin mengakses ke rangkaian wifi, elakkan dari menggunakan huruf kecil L, huruf besar I dan O, serta digit 1 dan 0. Ini bertujuan bagi mengelakkan kekeliruan ketika menaip terutamanya bagi rakan-rakan yang anda kongsikan kata laluan berkenaan.
Anda boleh menguji sejauh mana kekuatan kata laluan berkenaan dengan melakukan semakan di laman web How Secure is My Password. Dari laman ini, turut ditunjukkan jangkaan tempoh masa sesuatu kata laluan itu boleh digodam.
Cuma, masalah dari kata laluan yang terlalu panjang dan sukar ini adalah untuk pengguna sendiri mengingatinya. Mungkin masalah kecil ini boleh diatasi dengan mencatatkannya di atas kertas nota atau menggunakan perisian pengurusan kata laluan.
Kembali kepada masalah kecurian rangkaian wifi tadi, jika anda mendapati jiran anda sudah pun menggunakan rangkaian wifi anda tanpa kebenaran, anda cuma perlu menukarkan kata laluan anda kepada kata laluan yang baru. Selepas itu, jiran yang mencuri itu tidak dapat menggunakan rangkaian anda lagi buat sementara waktu sehinggalah dia cuba menggodam sekali lagi.
Sebagai tambahan, anda boleh menguatkan lagi ciri keselamatan rangkaian wifi anda dengan menggunakan enkripsi WPA2 pada tetapan router anda. Jika router anda tidak dilengkapi fungsi keselamatan ini, anda mungkin perlu membeli router baru yang mempunyai ciri sokongan keselamatan WPA2.
Saya baru tahu pulak ada perisian pengurusan kata laluan. Bahagian perenggan akhir, saya tak faham sangat fasal istilah dan fungsi.
Oh, yang tu kena set kan kat dalam router. Kena akses pakai browser. Biasanya kena taipkan 192.168.1.1 kat address bar tu. Pastu login, dan pergi ke setting. Dalam tu kita boleh nampak Authentication dan tukarkan dari WEP ke WPA2.
baru nak tanya benda sama..thanks explain
Sama-sama 🙂