Beberapa minggu yang sudah Microsoft telah menjelaskan keperluan perkakasan yang diperlukan untuk menoperasikan Windows 11. Namun, pada masa yang sama menyatakan PC yang tidak memenuhi spesifikasi masih lagi boleh memasangnya. Namun, hanya melalui fail ISO Windows 11.
Kini, Microsoft menyatakan pendiriannya dengan lebih jelas. Sebarang pemasangan kemaskini melalui Windows Update akan disekat jika mendapati perkakasan PC berkenaan tidak mengikut spesifikasi.
Sungguhpun terdapat pelbagai pendapat mengenai kewujudan dan fungsi Windows Update, kita tidak dapat menafikan kepentingannya untuk tujuan keselamatan. Langkah ini jika dibuat akan mendedahkan lebih ramai pengguna dengan kerentanan sistem operasi di masa depan kerana tidak menerima kemaskini yang terkini.
Buat masa ini tidak dapat dipastikan sebab utama mengapa Microsoft melakukan tindakan sedemikian. Meminjam kata-kata dari The Verge, langkah ini dibuat bertujuan “menyelamatkan punggung sendiri” sahaja. Ini dilihat sebagai bagi mengelakkan dari menawarkan waranti dan sokongan jika PC Windows 11 berkenaan tidak memenuhi spesfikasi.
Harus diingat, Microsoft tidak menyatakan dengan secara berterus-terang bahawa akan menghalang kemaskini Windows 11 sama sekali. Secara teorinya, pengguna yang menggunakan CPU seperti Intel Gen Ke-8 dan ke bawah, atau AMD Zen Gen Pertama dan ke bawah masih boleh mengemaskini. Cuma bezanya, berkemungkinan dapat melakukannya secara manual kelak.
Natijahnya, langkah “mementingkan diri” Microsoft ini boleh dilihat dari beberapa sudut pandang. Antaranya seperti cubaan mengancam pengguna-penggunanya secara halus kerana desakan mengubah keperluan sistem Windows 11. Selain itu, langkah ini juga seakan-akan memaksa pengguna PC menaik taraf perkakasan yang terkini secara tidak langsung.