Kuala Lumpur, Malaysia, 24 Mac 2025 – Kerajaan Negeri Selangor, melalui Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC), dan Google Cloud hari ini mengumumkan pelancaran Teraju AI Selangor, sebuah inisiatif bersama untuk membantu agensi-agensi kerajaan negeri Selangor membina dan melaksanakan penyelesaian AI yang disesuaikan bagi menangani cabaran dunia nyata demi manfaat rakyat dan komuniti.
Dibiayai oleh Kerajaan Negeri Selangor, Teraju AI Selangor akan membolehkan agensi-agensi negeri meningkatkan perkhidmatan awam dalam bidang seperti komunikasi rakyat, pendidikan, penjagaan kesihatan, pengangkutan, dan penyelenggaraan infrastruktur fizikal, serta memajukan projek-projek yang memacu pelancongan dan meningkatkan hasil pertanian.
YAB Dato’ Seri Amirudin Bin Shari, Menteri Besar Selangor, merupakan tetamu kehormat pada pelancaran Teraju AI Selangor. Dalam ucapan perasmiannya mengenai kepentingan inisiatif ini, beliau berkata: “Kami mengiktiraf potensi AI generatif (gen AI) dan AI agentik (agentic AI) dalam membentuk semula perkhidmatan awam dan mempercepatkan transformasi Selangor menjadi sebuah negeri pintar terulung. Oleh itu, kami mengambil tindakan tegas melalui Teraju AI Selangor dengan membekalkan agensi-agensi negeri dengan set alat dan latihan penting untuk membantu mereka memanfaatkan teknologi ini secara berkesan dan bertanggungjawab. Inisiatif ini diusahakan oleh STDC dan Google Cloud, dengan Google Cloud menyediakan keupayaan terbaik dalam kelasnya yang membolehkan pembangunan pantas penyelesaian AI berfungsi dengan kawalan keselamatan yang kukuh. Saya juga ingin menekankan bahawa sepanjang inisiatif ini, kami mengutamakan penggunaan data secara selamat dan beretika, tanpa sebarang kompromi terhadap privasi dan keselamatan data kerana ancaman siber tidak boleh dipandang ringan. Saya berasa gembira melihat kejayaan kerjasama ini dan berharap melalui usaha ini, Selangor dapat membina sebuah sistem pemerintahan yang lebih responsif, sesuai untuk abad ke-21, dan mampu menyaingi antara yang terbaik di Asia.”
Set alat yang memenuhi spektrum penuh keperluan inovasi AI agensi
Di bawah Teraju AI Selangor, Kerajaan Negeri Selangor telah melabur dalam sebuah sandbox inovasi AI yang pertama seumpamanya dalam sektor awam Malaysia. Sandbox ini ditubuhkan oleh STDC dan Google Cloud, dan akan menyediakan akses yang dibiayai kepada agensi-agensi yang mengambil bahagian untuk menggunakan rangkaian teknologi AI bersepadu sepenuhnya milik Google Cloud selama sehingga enam minggu. Dengan akses kepada keupayaan ini melalui persekitaran Google Cloud yang khusus dan selamat, agensi-agensi dapat membangunkan penyelesaian AI generatif dan AI agentik mereka sendiri dengan pantas.
Tumpukan teknologi AI bersepadu sepenuhnya daripada Google Cloud merangkumi:
- Infrastruktur yang diurus sepenuhnya dan dioptimumkan untuk AI yang menawarkan cara yang lebih pantas, cekap tenaga, dan kos efektif bagi organisasi untuk melatih dan menyediakan model AI kompleks secara berskala besar. Ini dicapai melalui gabungan perkakasan berprestasi tinggi yang khusus seperti Google Cloud Tensor Processing Units (TPUs) dan NVIDIA Graphics Processing Units (GPUs), bersama perisian orkestrasi berasaskan sumber terbuka seperti Google Kubernetes Engine.
- Vertex AI ialah platform pembangunan AI serba lengkap yang memudahkan organisasi menyesuaikan model AI dan mengintegrasikannya ke dalam aplikasi. Ia turut menyediakan antara muka untuk pengguna yang tidak mempunyai kepakaran dalam pengaturcaraan bagi mencipta dan menggunakan ejen AI. Dengan lebih daripada 160 jenis dan saiz model yang tersedia dalam Model Garden – termasuk model Gemini 2.0 daripada Google, model Claude daripada Anthropic, dan model Llama daripada Meta – Vertex AI memberikan organisasi fleksibiliti untuk memilih model yang paling sesuai dengan keperluan mereka, serta melaraskan model tersebut menggunakan penapis kandungan dan ciri seperti grounding bagi memastikan ia memberikan respons yang selamat dan boleh dipercayai.
- BigQuery ialah sebuah platform pengurusan dan analitik data bersepadu yang memudahkan organisasi untuk menyusun dan mengawal data multimodal seperti maklumat yang direkodkan dalam pangkalan data, imej, dokumen, dan video yang diperlukan bagi tujuan latihan dan penyelarasan AI (grounding AI) model.
- Gemini Code Assist adalah alat berkuasa AI yang boleh digunakan oleh pembangun untuk mendapatkan cadangan dan panduan pengekodan yang diperibadikan, mempercepatkan pembangunan aplikasi digital mereka.
Memperkukuh keupayaan dan kompetensi pembangunan AI dalaman agensi
Untuk memastikan mereka dapat menggunakan keupayaan yang disediakan oleh sandbox dengan berkesan, agensi-agensi yang mengambil bahagian dalam Teraju AI Selangor akan didaftarkan dalam bengkel sehari ditaja dan dikendalikan oleh STDC dan Google Cloud. Sepanjang bengkel ini, pengamal dan pembangun AI daripada agensi-agensi tersebut akan menerima latihan praktikal yang disesuaikan, bagi membolehkan mereka mengenal pasti kes penggunaan strategik yang boleh ditangani menggunakan AI dan membina sekurang-kurangnya satu prototaip penyelesaian AI.
Dalam tempoh enam minggu akan datang, agensi-agensi ini akan menguji dan memperhalusi prototaip mereka dengan sokongan teknikal daripada STDC, Google Cloud dan Cloud Space. Pada penghujung tempoh ini, agensi-agensi berkenaan akan dikehendaki membentangkan penyelesaian yang berkesan kepada panel daripada Kerajaan Negeri Selangor, STDC dan Google Cloud, yang akan menilai fungsi serta tahap kesediaan penyelesaian tersebut untuk dilaksanakan.
Penyelesaian yang mempunyai potensi paling tinggi untuk memberi manfaat kepada rakyat dan ekonomi Selangor akan dipamerkan pada majlis graduasi Teraju AI Selangor pada akhir tahun ini. Pembiayaan lanjut juga mungkin disediakan oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi menyokong pelaksanaan penuh penyelesaian tersebut.
Teraju AI Selangor bertujuan untuk memacu pembangunan dan pelaksanaan penyelesaian digital berasaskan AI merentasi pelbagai aspek pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor. Ia juga akan melibatkan agensi-agensi utama seperti Media Selangor dan Air Selangor.
Encik Mohd Nazri Bin Noh, Pengerusi Lembaga Pengarah Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC), berkata: “STDC berbangga dapat menerajui pelaksanaan Teraju AI Selangor bersama Google Cloud. Inisiatif daripada Kerajaan Negeri Selangor ini berpotensi menjadi pemangkin kepada transformasi perkhidmatan awam, namun untuk merealisasikan potensi sepenuhnya, ia memerlukan pengalaman sebenar dalam pembangunan dan pelaksanaan penyelesaian AI. Teraju AI Selangor direka untuk memperkasakan agensi-agensi kerajaan negeri dengan set alat AI bertaraf perusahaan dan kurikulum latihan praktikal yang dibangunkan oleh pakar-pakar Google Cloud yang telah lama menerajui bidang ini. Inisiatif ini akan melahirkan tenaga kerja sektor awam yang mampu menterjemahkan potensi teknologi kepada aplikasi dunia sebenar yang memberikan nilai nyata kepada komuniti.”
Serene Sia, Pengarah Negara, Malaysia dan Singapura, Google Cloud, berkata: “Selangor berada pada kedudukan yang tepat untuk menjadi antara penerima manfaat utama daripada pelaburan Google di Malaysia, termasuk keupayaan AI terkemuka kami. Menerusi Teraju AI Selangor, kami memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Negeri Selangor dengan bekerjasama secara langsung bersama agensi-agensi negeri dan STDC bagi mengenal pasti bidang khusus di mana AI boleh digunakan untuk meningkatkan produktiviti, memperkasa proses membuat keputusan, dan menyampaikan perkhidmatan yang memberi impak besar selari dengan keutamaan negeri seperti Rancangan Selangor. Rangka teknologi Google Cloud dibangunkan khas untuk memenuhi keperluan inovasi AI sektor awam secara menyeluruh, termasuk aspek kebolehfahaman, keselamatan dan privasi. Dalam minggu-minggu yang akan datang, kami amat menantikan untuk mempersembahkan penyelesaian AI yang dapat memajukan misi setiap agensi dan membawa perubahan positif dalam kehidupan rakyat.”
Teraju AI Selangor menyertai rangkaian inisiatif Google yang sedang berlangsung dan bertujuan untuk memberi manfaat kepada komuniti di Selangor. Inisiatif-inisiatif ini termasuk pembinaan pusat data Google dan wilayah Google Cloud di Elmina Business Park, projek pemulihan untuk meningkatkan kualiti air dan biodiversiti di Tasik Taman Aman, serta program Future Skills for All yang bertujuan untuk melengkapkan 61,000 pelajar dengan kemahiran digital yang penting untuk pekerjaan masa hadapan.